5 Ramadhan 1434


Saya masih teringat lagi senarai rujukan yang diberikan oleh pensyarah saya, yang merupakan Rais Diwan Kuliyyatul Adab, Duktur Syafiq Raqab ketika kelas Syair Andalus dan Mamluki dalam mengkaji latar belakang sejarah dan sosiologi masyarakat zaman tersebut. Terlalu banyak sumber-sumber turath yang dikemukakan. Namun, itulah yang sebaiknya dalam mengkaji sejarah tamadun seterusnya memahami nas syair yang dipelajari. Sungguh tak rugi menyimpan naskhah-naskhah kitab turath buat rujukan. Biar terang lagi bersuluh, lebih dekat dengan zaman. Kerna tahap sekarang bukan lagi sekadar mencicip enak buku sekunder, bahkan kita mahu menjadi lebih baik dari itu!



Jom, kita teliti ulasan Us Hasrizal mengenai kitab ini !

.........................

Historiografi atau penulisan sejarah Daulah Uthmaniah mempunyai sejarah yang amat panjang bermula daripada era vak’a-inüvislik (pencatat peristiwa) hinggalah kepada disiplin historiografi moden (Aral 2013). Kajian mengenai sejarah Daulah Uthmaniah, amat memerlukan penerokaan sumber-sumber primer yang dihasilkan oleh sejarawan di era itu sendiri. Selain daripada kepentingan menyandarkan kajian kepada sumber yang berotoriti, penulisan yang merujuk kepada sumber primer Uthmaniah mempunyai keunikan yang menarik untuk diterokai apabila banyak daripadanya, ditulis di dalam Bahasa Arab biar pun sukar untuk diperolehi (Escovitz 1977).


Antara sumber awal penulisan sejarah Daulah Uthmaniah adalah karya Dervis Ahmet Ibn Şeyh Yahya Ibn Şeyh Salman Ibn Aşik Paşa atau lebih dikenali sebagai Aşıkpaşazâde (1393-1481), iaitu Tevārīḫ-i Āl-i ʿOsmān. Demikian juga karya Mehmed Neşrî (meninggal dunia 1520M) iaitu Kitab-ı Cihannüma (Ortayli 2012). Bahasa Arab digunakan secara meluas sebagai bahasa pengkaryaan ilmuan ketika itu, menjadikan sumber-sumber sejarah Daulah Uthmaniah turut dicatat oleh sejarawan di dalam bahasa ini, dan salah satu daripadanya adalah Kitab Jami’ al-Duwal oleh Müneccimbaşı Ahmed bin Lutfullah.



PENGENALAN DIRI

Dilahirkan sebagai Ahmed bin Lutfullah, beliau yang kemudiannya dikenali sebagai Müneccimbaşı merupakan seorang tokoh ilmuan, tasauf dan sejarah yang terkemuka di kurun ke-17 Daulah Uthmaniah (Atsız 1940). Bapanya, Lutfullah, berasal daripada Ereğli di Konya, meninggalkan kampung halaman dan berhijrah ke Salonika untuk meneruskan pencarian rezeki mereka sekeluarga.


Ahmed dilahirkan di Salonika (kini dikenali sebagai Thessaloniki di Greece) pada tahun 1041H (1631/1632M). Semasa kecil, beliau banyak membantu bapanya mengusahakan perniagaan guni. Tetapi minat yang mendalam oleh Ahmed kepada ilmu pengetahuan, bapanya telah melepaskan beliau untuk menumpukan perhatian belajar daripada tokoh tempatan yang terkenal di Salonika ketika itu, iaitu Sheikh Mehmed Efendi.


Di sinilah Ahmed bin Lutfullah mengembangkan ilmu pengetahuannya. Selain daripada ilmu-ilmu yang asas, beliau juga meluangkan banyak masa mendalami tarikat Mevlevi yang dilazimi oleh gurunya. Lanjutan daripada itu, Ahmed telah berpeluang menerima tunjuk ajar daripada Mufti Salonika pada masa tersebut iaitu Sheikh Abdullah Efendi. Daripada beliau, Ahmed mendalami ilmu-ilmu Islam khususnya di bidang Fikah dan Tafsir.

KEILMUAN

Pada usia 23 ke 24 tahun, Ahmed bin Lutfullah berhasrat untuk melanjutkan pengajian beliau ke peringkat yang lebih tinggi. Dengan sokongan gurunya, antara tahun 1653 ke 1654, Ahmed telah berhijrah ke Istanbul untuk mencapai cita-citanya. Di ibu kota Daulah Uthmaniah itu, Ahmed telah menyertai Galata Mevlevi Tekkesi dan menuntut bersama Arzi Dede Afendi serta berkhidmat untuk beliau. Di sini, Ahmed mendapat lebih banyak peluang bertemu dan menuntut ilmu dengan para ilmuan terkemuka termasuk Sheikh al-Islam ketika itu, Minkarizade Yahya Efendi, serta Mevlana Ibrahim el-Kurdi dan Sheikh Ahmed Nahli. Daripada mereka ini, Ahmed mempelajari ilmu tafsir, hadith dan cabang-cabang ilmu Islam yang lain. Dengan pencapaiannya yang cemerlang, Ahmed bin Lutfullah telah diterima menyertai institusi ilmu dan Tarikat Mevlevi terkemuka iaitu Kasımpaşa Mevlevihane. Di situ, beliau menjadi anak murid kepada Halil Dede Efendi, melaziminya selama 10 tahun termasuk 15 tahun beliau berkhidmat sebagai pembantu kepada gurunya itu.


Ahmed bin Lutfullah mempelajari Mesnevi, ilmu tafsir, hadith, usul dan ma’ani daripada Sheikh Halil Dede Efendi. Walau bagaimanapun, kencenderungan yang tinggi oleh Sheikh Halil Dede Efendi kepada orientasi tasauf dan kehidupan yang zuhud, beliau enggan mengajar Ahmed ilmu mantik dan falsafah. Beliau sebaliknya, menyerahkan ia untuk dipelajari oleh Ahmed daripada Sheikh Salih Efendi. Semasa menuntut ilmu dengan Sheikh Salih Efendi, Ahmed bin Lutfullah turut mendapat peluang belajar ilmu perubatan dan sains tabi’i melalui para tabib yang turut sama menjadi anak murid kepada Sheikh Salih Efendi. Melalui mereka, Ahmed mempelajari ilmu astronomi, astrologi dan matematik serta cabang-cabang sains yang lain.

KERJAYA

Penguasaan Ahmed bin Lutfullah di dalam bidang astronomi telah membawa kepada perlantikan beliau sebagai Müneccimbaşı iaitu Ketua Astrologi apabila mentornya, Şekibi Mehmed Efendi meninggal dunia pada tahun 1667-1668. Semenjak itu, Ahmed bin Lutfullah lebih dikenali di dalam karya-karyanya sebagaimana yang dicatat oleh sejarawan sebagai Müneccimbaşı. Kepakaran beliau di dalam menjalankan tugasnya sebagai Ketua Astrologi bagi Sultan Mehmed IV (memerintah daripada 1648 hingga 1687) telah menarik perhatian ramai dan beliau menjadi perhatian pelbagai pihak yang memantau perkembangannya, terutamanya di Harem-i Hümayun. Müsahib Mustafa Paşa yang merupakan ipar kepada Sultan Mehmed IV telah mencadangkan agar Müneccimbaşı dinaikkan pangkat dan lebih efisyen dalam memberikan sumbangannya kepada istana.


Pada tahun 1668, Sultan Mehmed IV telah melakukan satu tindakan untuk menguji keupayaan Müneccimbaşı. Baginda telah berpakat dengan seorang pemilik Enderun (sebuah sekolah yang dikendalikan oleh komuniti Kristian Uthmaniah) dan memerintahkan kepada Müneccimbaşı untuk mencari seketul batu kristal yang hilang. Beliau telah menggunakan kepakarannya, membuat kiraan seperti yang diarahkan dan akhirnya berjaya menemui ketulan kristal tersebut. Kejayaan Müneccimbaşı telah menerima pujian dan penghargaan tinggi Sultan. Semasa menyediakan laporan kepada Sultan yang ingin tahu bagaimanakah Müneccimbaşı berjaya menemui ketulan kristal itu, beliau telah menulis di bahagian belakangnya tentang senarai hutang yang membebani hidup Müneccimbaşı. Sultan telah berkenan mengurniakan beliau sejumlah harta untuk membantu Müneccimbaşı menyelesaikan hutangnya yang masih berbaki.

Semenjak itu, Müneccimbaşı mempunyai hubungan yang akrab dengan Sultan Mehmed IV. Pada sekitar tahun 1675-1676, Müneccimbaşı telah diterima sebagai Musahibh-i Padishah menyertai kumpulan orang kanan yang rapat dengan Sultan. Hubungan yang akrab antara beliau dan Baginda Sultan berlangsung untuk untuk satu tempoh yang panjang. Müneccimbaşı telah diterima dengan begitu baik di sisi Sultan Mehmed IV kerana karakter beliau sendiri yang bijak bergurau dan mesra dengan orang ramai yang berada di sekelilingnya. Dalam masa yang sama kemahiran beliau di dalam ilmu astrologi menjadikan hubungannya begitu akrab dengan Sultan bilamana Sultan sentiasa merujuk kepada Müneccimbaşı untuk mendapatkan pendapat beliau tentang kesesuaian pemilihan tarikh semasa hendak melaksanakan bukan hanya tugasan-tugasan yang berat seperti perlantikan menteri, malah dalam hal-hal peribadi seperti keluar berburu dan sebagainya.

Catatan sejarah memperlihatkan tentang kedudukan istimewa telah diberikan kepada pakar astrologi yang hakikatnya berperanan sebagai ‘tukang tilik’ dan perkembangan kedudukan jawatann müneccimbaşı itu sendiri menjadi indikator ahli sejarah pada menyaksikan kemerosotan pegangan sultan-sultan Uthmaniah kepada ajaran Islam apabila elemen-elemen sebegini menyerap masuk ke dalam amalan kebiasaan para sultan di era yang menyusul, tidak sebagaimana yang boleh kita temui di dalam istana para Sultan pada kurun-kurun sebelumnya (Varlı 1997).

Baca selanjutnya di SINI

0 ulasan: