26 Rabi'ul Awal 1433

Simposium Tarbiah 2012.

Terbaik. Input yang kalian dapat itu, mudah-mudahan tersebar jauh ke luar, menusuk hati yang tidak berkesempatan untuk turun bersama.

Syabas buat semua AJK Pelaksana dan adik-adik REONIS yang mantap dan sangat berkomitmen.

Mudahan tak jemu berusaha, kita semua dalam mengislah diri ke arah yang lebih baik. Usrah, TDI itu salah satu wasilah kita menjana diri. Mengenal diri, menikmati nikmat ukhuwwah yang sebenar-benarnya dengan tulus.

Ingat, usah terlalu mengarap dan menerima sahaja, kerna ia juga perlu lahir dari kita. Memberilah untuk ISLAM. 

Walau hanya sesuatu!



JOM LAYAN ..



Ini juga ^-^



BERTDI HINGGA KE SYURGA TAU !

26 Rabi'ul Awal 1433

Bumi Barakah itu, sudah hampir tiga tahun ditinggalkan. Namun amanah yang ditaklifkan di tanah itu sesekali tidak akan luput sampai bila-bila.

Kerna ianya adalah cita-cita untuk meraih cinta tertinggi, membenteng diri dalam menjalani hidup, juga penguat tatkala jatuh dan lemah.

Terima kasih ya Allah, masih mendengar doaku. 

Tiada pilihan, kerna itu sudah menjadi tekad, wajib diusahakan biar ia bersebati dalam diri. 

Ya Allah, ingatkanlah aku untuk selalu mengulang, mengamalkan segala isi kandungan KalamMu yang Maha Agung ini seterusnya dipercikkan kefahaman kepada jiwa-jiwa yang kosong.

Ya Allah, permudahkan urusan kami ini...

.............................

Kaedah Mengulang Hafazan Yang Telah Lama Diperolehi


بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Bagi seseorang hafiz yang telah rasikh hafazannya, kekuatan mengulang bergantung kepada kekuatan daya ingatan yang dimiliki. Ada setengah-setengah hafiz yang betul-betul rasikh, mereka hanya mengulang satu juzuk dalam sehari, bermakna setiap bulan mereka khatam al-Quran sekali. Cara ini hanya dapat dilakukan oleh hafiz yang setidak-tidaknya sudah puluhan tahun dari masa khatamnya.

Walau bagaimanapun, secara umumnya kekerapan mengulang bagi mereka yang rasikh adalah dua atau tiga kali khatam dalam masa sebulan. Ini adalah cara mengulang yang sederhana dan tidak membebankan sekiranya mereka betul-betul berdisplin dan beristiqamah.

Adalah menjadi tanggungjawab seorang hafiz untuk mengulang bacaan mereka setiap hari. Tanpa pengulangan ayat-ayat al-Quran, hafazan akan lupa secara beransur-ansur sekalipun seseorang itu mempunyai ingatan yang kuat.

Dalam mengulang-ulang hafazan yang telah lama diperolehi, Abu Najihat al-hafiz (2001:77-78) telah memberi beberapa peringatan kepada seorang penghafaz al-Quran:

A. Untuk lebih mendisplinkan masa dalam melaksanakan pengulangan, sebaiknya seorang hafiz mempunyai keyakinan bahawa memelihara dan menjaga hafazan adalah suatu kewajipan istimewa yang ada hubungan secara langsung dengan Allah s.w.t. 

B. Adalah menjadi suatu kesalahan bagi seorang hafiz sekiranya dia mempunyai semangat bermusim dalam mengulangkaji hafazan. Janganlah sekali-kali mengulang satu kali khatam dalam satu hari ketika rajin kemudian dalam masa yang lama seperti tiga atau empat minggu tidak melakukan pengulangan kerana dilanda perasaan malas. Kebiasaan sebagaimana di atas dapat menjejaskan hafazan dan boleh jadi lambat laun akan lupa hafazannya kerana diselimuti perasaan malas yang berterusan.

C. Kebiasaan menunda dan menangguhkan pengulangan hanya akan menambah perasaan malas pada hari yang berikutnya. Hal ini sebenarnya merupakan pembawaan nafsu malas itu sendiri yang mengajak kepada menangguh-nangguhkan tugasan dari satu masa ke masa yang berikutnya. Untuk mengelakkan kemalasan ini, usaha pengulangan hendaklah dijadikan kewajipan khas setiap hari pada satu masa yang telah ditentukan sebagaimana ketentuan waktu di dalam solat lima waktu.
Tiga perkara di atas adalah sangat penting untuk diambil berat oleh golongan huffaz yang ingin berjaya dengan cemerlang dan mendapatkan syafaatnya pada hari kiamat kelak.

Kaedah Mengekalkan Hafazan (Muraja'ah/I'adah)  

Pengekalan hafazan (Muraja'ah/I'adah) merupakan peringkat di mana mengekalkan hafazan yang tersimpan dalam ingatan. Bagi seorang hafiz al-Quran, adalah amat penting dan menjadi kewajipan supaya dia menjaga dan memelihara hafazannya agar terus kekal dalam ingatannya.

Berikut adalah beberapa kaedah yang boleh dipraktikan mengekalkan hafazan iaitu:

A. Bergaul dengan mereka yang telah menjadi hafiz.

Kebiasaannya pada suatu tahap tertentu akan timbul rasa jemu dan malas untuk mengulangkaji hafazan walaupun pada awalnya semangat tersebut amat berkobar-kobar. Di sinilah fungsinya bergaul dengan orang-orang yang sedang atau sudah menghafaz al-Quran. Ia dapat membantu seseorang itu untuk konsisten dalam mengulang-ulang ayat-ayat al-Quran kerana wujudnya semangat persaingan untuk berlumba-lumba membacanya. Selain itu, mereka turut berperanan sebagai pemberi motivasi kepada seseorang yang mula malas dan lesu untuk mengulang hafazan.

B. Mendengar bacaan hafiz al-Quran.

Mendengar bacaan dari seorang hafiz al-Quran dapat memberi semangat kepada seseorang yang ingin mengekalkan hafazannya. Hal ini boleh dilakukan dengan mendengar kaset-kaset rakaman, radio ataupun cakera padat al-Quran. Sekiranya ingin memperolehi manfaat yang lebih banyak, seseorang hafiz itu boleh mendengar dengan teliti bacaan-bacaan yang diperdengarkan dengan memerhatikan hukum-hukum tajwidnya, ghunnah-ghunnahnya serta alunan irama bacaannya.

C. Mengulang hafazan bersama orang lain.

Cara ini merupakan cara popular yang digunakan oleh para ulama zaman dahulu untuk mengingati ilmu yang telah mereka pelajari. Begitu juga bagi seorang hafiz yang melakukannya secara konsisten, hafazan al-Quran lebih mudah dikekalkan. Malah pada masa yang sama, ketika berlaku ketidaklancaran pada bacaan salah seorang antara mereka, rakannya dapat membetulkan bacaan tersebut.

D. Selalu membaca ayat yang dihafaz di dalam solat.

Seringkali membaca ayat-ayat yang telah dihafaz di dalam solat sudah tentu akan memudah dan melancarkan lagi hafazan seseorang. Ini kerana suasana solat itu sendiri memerlukan konsentrasi dan keseriusan dalam melaksanakan ibadat tersebut. Maka seorang hafiz perlulah membuat pengulangan bacaan yang intensif dan melapangkan waktu yang agak panjang. Walaupun demikian, ini bukanlah bermakna tidak terdapat langsung kesalahan seperti kesilapan bacaan ataupun terlupa ayat yang hendak dibaca semasa membacanya di dalam solat. Namun apabila perbuatan ini menjadi rutin, lama-kelamaan akan terhasil juga satu sistem hafazan ayat-ayat suci al-Quran yang amat lancar.

E. Menyertai Musabaqah ‘Hifz al-Quran’.

Dengan mengikuti pertandingan seumpama ini menyebabkan seseorang itu mendapat motivasi untuk mengulang hafazannya secara berulangkali. Ini kerana pertandingan tersebut dianggap satu suasana ujian yang amat genting. Melalui pertandingan yang disertai ini, penghafaz bukan sahaja dapat menguji kemampuannya dalam menghafaz ayat al-Quran malah turut memperolehi pengalaman yang berharga apabila dapat bertukar-tukar ilmu dan buah fikiran dengan peserta daripada daerah dan negeri lain.


Dipetik dari: KEBERKESANAN KAEDAH HAFAZAN DI PUSAT TAHFIZ

PENYELIDIK-PENYELIDIK:

USTAZ ABDUL HAFIZ BIN HAJI ABDULLAH
PROF. MADYA AJMAIN BIN SAFAR
USTAZ MOHD ISMAIL BIN MUSTARI
USTAZ AZHAR BIN MUHAMMAD
USTAZ IDRIS BIN ISMAIL

UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA
2003

حسبي الله ونعم الوكيل ولا حول ولا قوة إلا بالله العليّ العظيم
Penulis : [ Wan Mohd Al Hafiz bin Wan Mustapa ]
                [ cendekiawanalhafiz@gmail.com ]

.......................

* Dengungan ibarat lebah dan kumbang, dihembus bayu. Masih mekar, basah dan segar!

 

25 Rabi'ul Awal 1433


Salju tak malu turun rupanya,
Berhembus garang,
Menampar pipi,
Namun halus terdampar.

Salju putih ini,
Bersih dari noda,
Langsung sang dedebu,
Secalit pun,
Tiada diberi izin.

Derap kaki laju mengatur,
Biar hati punya bicara,
Tak bisa basah,
Kerna tika ini,
Ia beku.

Rona bermacam tona,
Entah kenapa,
Bersalut kelam warna.

Kali ini daku pasti
Tiada akan  dibenar lagi,
Ia singgah semula,
Kerna aku punya cita.

..............

Adakah semudah kata?

Hanya yang mengerti,
Akan selami.

Kabus, pergilah dikau,
Pawana jua akan menyambut aku,
Secerah mentari,
Sebiru langit,
Yang tetap akan senyum,
 Di gerbang bahagia.

Selamat kembali ke sekolah. Rajinnya semua orang pegi Jamiah pagi-pagi ^-^


Sang salju yang tak malu-malu turun.

Kuliyyatul Adab , my beloved department!




Saujana mata memutih.. Subhanallah, Allahuakbar !


Jom balik ! Dah penat main :)
..........................

* Setiap orang punya cerita mereka sendiri. Begitu juga diri ini.

25 Rabi'ul Awal 1433

Di sebuah masjid di perkampungan Mesir, suatu petang. Seorang ustaz sedang mengajarkan murid-muridnya membaca Al-Qur’an. Mereka duduk melingkar & berkelompok. Tiba-tiba, masuk seorang anak kecil yang ingin menyertai di lingkaran mereka. Usianya kira-kira 9 tahun.

Sebelum menempatkannya di satu kelompok, ustaz itu ingin tahu kemampuannya. Dengan senyumnya yang lembut, dia bertanya kepada anak yang baru masuk tadi, ” ada ayat yang kamu hafal dalam Al-Qur’an?”

“Ya,” jawab anak itu singkat.

” Kalau begitu, cuba bacakan salah satu ayat dari juz ‘Amma?‘ pinta ustaz
Anak itu mengalunkan beberapa ayat, fasih & betul tajwidnya. Merasa anak tersebut mempunyai kelebihan, guru itu bertanya lagi,“Adakah kamu hafal surah Tabaraka?” (Al-Mulk)

Ya,” jawabnya lagi, & segera membacanya. Baik & lancar. Ustaz itu pun kagum dengan kemampuan hafazan si anak kecil itu, meski usianya lebih muda berbanding murid-muridnya yang ada.

Dia pun cuba bertanya lebih jauh, “kamu hafal surat An-Nahl?”

Ternyata anak kecil itu menghafalnya dengan sangat lancar, sehingga kekagumannya semakin bertambah. Lalu ustaz itu pun cuba mengujinya dengan surah-surah yang lebih panjang.

“Adakah kamu hafaz surat Al-Baqarah?”

Anak kecil itu kembali mengiyakan dan membacanya tanpa sedikitpun kesalahan. Dan ustaz itu semakin teruja dengan pertanyaan terakhir, “Anakku, adakah kamu menghafal Al-Qur’an ?”

“Ya,” jawabnya dengan jujur.

Mendengar jawapan itu, seketika ustaz itu mengucapkan, 
“Subhanallah wa masyaallah,tabarakkallah”


Setelah hari itu menjelang maghrib, sebelum ustaz tersebut menamatkan kelas mengaji, secara khusus dia berpesan kepada murid barunya,” Esok, kalau kamu datang ke masjid ini, tolong ajak juga ibubapa mu. Ustaz ingin berkenalan dengannya”.

Esok harinya, anak kecil itu kembali datang ke masjid. Kali ini dia bersama ayahnya, seperti pesan ustaz kepadanya. Melihat ayah dari anak tersebut, si ustaz bertambah kaget kerana gayanya tidak langsung seperti orang alim, kehormat & pandai.

Belum sempat dia bertanya, ayah si anak sudah menyapa terlebih dahulu, “Saya tahu, mungkin ustaz tidak percaya bahawa saya ini adalah ayah dari anak ini. Tapi rasa hairan anda akan saya jawab, sebenarnya disebalik anak kecil ini ada seorang ibu yang sekuat seribu lelaki. Dirumah, saya masih mempunyai 3 anak lagi yang semuanya hafal Al-Qur’an. Anak perempuan saya yg kecil berusia 4 tahun, dan sekarang sudah menghafal juz Amma”.

“Bagaimana si ibu itu boleh lakukan itu?” tanya si guru tanpa boleh menyembunyikan kekagumannya.”

Ibu mereka, ketika anak-anak itu sudah pandai bercakap, si ibu membimbing anak kami menghafal Al-Qur’an dan selalu memotivasi mereka melakukan itu. Tak pernah berhenti dan tak pernah bosan. Dia selalu katakan kepada mereka,

“Siapa yang hafal lebih dulu, dialah yang menentukan makan malam ini,

“Siapa yang paling cepat mengulangi hafalannya, dialah yang berhak memilih ke mana kita boleh bersiar – siar nanti”
Itulah yang selalu dilakukan ibunya, sehingga tercipta semangat bersaing dan berlumba-lumba antara mereka untuk memperbanyak dan mengulang-ulang hafalan Al-Qur’an mereka,” jelas si ayah memuji isterinya.



Sebuah keluarga biasa yang boleh melahirkan anak-anak yang luar biasa. Hanya seorang ibu yang biasa. Setiap kita dan semua ibubapa tentu bercita-cita anak-anaknya menjadi generasi yang soleh, cerdas dan membanggakan. Tetapi tentu perkara itu tidak mudah.

Apatah lagi membentuk anak-anak itu mencintai & mencintai Al-Qur’an. Memerlukan perjuangan, perlu kekuatan. Mesti tekun & sabar melawan rasa letih dan susah tanpa kenal batas. Maka wajar jika si ayah mengatakan,”Disebalik anak ini ada seorang ibu yang kekuataanya sama dengan seribu lelaki.”

Ya, perempuan yang telah melahirkan anak itu memang begitu kuat & perkasa. Sebab membuat permulaan yang baik untuk kehidupan anak-anak, adalah tidak mudah. Hanya orang-orang yang punya kemahuan & motivasi yang boleh melakukannya. Dan tentu modal pertamanya adalah kesolehan diri. Tidak ada yang lain.

Ibu si anak cerdas ini, dia adalah lambang seorang perempuan solehah yang mewariskan kesolehannya ke dalam kehidupan rumah tangganya. Dialah contoh perempuan yang pernah diwasiatkan Rasulullah saw kepada kaum lelaki untuk mereka jadikan pendamping hidup diantara sekian banyak wanita.

Dengan menangggalkan keutamaan harta, kecantikan & keturunannya, seperti sabda Rasulullah saw, “Wanita dinikahi kerana 4 perkara : kerana hartanya, keturunannya. kecantikkannya, & agamanya. Maka pilihlah wanita yang taat beragama, nescaya engkau beruntung.”(HR.Bukhari & Muslim). 

Perempuan yang dikenalkan kepada kita dalam cerita diatas, dia sebenarnya tidak memulakan kerja kerasnya ketika anak-anaknya baru belajar bercakap. Tidak. Tetapi jauh sebelum itu, tenaganya telah ditumpahkan untuk mengakrabkan mereka dengan bacaan-bacaan Al-Qur’an semasa mereka masih janin.

Dalam keadaan kehamilannya yang berat, ibu ini hampir setiap hari selalu meluangkan waktu untuk membaca Al-Qur’an, memperdengarkannya janin yang ada dirahimnya, dalam keadaan berbaring, duduk/pun bersandar. Perjuangan itulah yang berat tapi itu pulalah yang kemudian memudahkan lidah anak-anaknya merangkai kata demi kata dari ayat-ayat Al-Qur’an, saat mereka sebenarnya baru mulai belajar bicara.

Semoga dari kisah diatas dapat kita ambil pelajaran & jadikan teladan.

Rujukan dari sebuah majalah TARBAWI ” MENUJU KESOLEHAN PERIBADI & UMAT.
 
..................
* Ya Allah, jadikan kami para akhawat seperti ibu itu. Lorongkanlah kami ke arah itu. 
Muslimah Solehah, sebaik-baik perhiasan dunia..

* Salin dan tampal dari Muka Buku  ^ , ^


25 Rabi'ul Awal 1433

Alhamdulillah di atas segala nikmat kurniaan Allah. Masih memberi sepicing nafas untuk bermukim di atas dunia.

Hari ini, salju turun lagi. Membeku. Dari malam tadi, bumi Urdun dihujani fros yang akhirnya menata salju yang membeku sampai ke hari ini.

Allah, Allah, Allah.

Maha Suci dan Agung KuasaMU.

Maka, jika tiada hati yang bergetar memikirkan segala-gala yang terpampang di depan mata, ayuh bersama koreksi semula. Rugilah nikmat akal fikiran, iman, hati dan jiwa sebagai muslim. Tiada yang mustahil kan bagi Nya.

Dalam keseronokan menadah salji, usah putus dan jemu menitipkan doa buat mereka. Saudara kita di bumi Suriah. Tak jauh, hanya di sebelah kita sahaja.

Bumi adik beradik yang terpisah dek semangat nasionalisme ciptaan musuh, lemahnya umat Islam yang telah hanyut.


Tanah Syam ini, tanah yang pernah didoakan Nabi s.a.w. Tanah jejak para Anbiya'. Debu-debu yang disapu oleh derap kaki mujahidin fisabilillah .

..................

Minggu pertama kembali belajar. Menoroti sejarah-sejarah ummah. 

Sejarah pahit Andalus. 

Sejarah hitam terpisahnya 4 beradik Tanah Syam. [ Palestin, Syiria, Lubnan dan Jordan ]


Tidakkan boleh terbayar dengan darah, mahupun emas. Kerna daulah yang sudah tenat, menunggu masa rebah ditambah suntikan berbisa jahiliyah, itulah saat kehancuran yang pahit sedang menanti.

Tika menatapi teks dan perenggan muqarrar, perit hati. Dihiris-hiris.

Lihatlah apa yang telah terjadi. Ummah disembelih, dibunuh, ditembak sesuka hati. Bagaikan tiada nilai. Apa yang berlaku hari ini adalah sejarah yang berulang. Sejarah kekuasaan yang dibina dengan darah. Bukan baiah yang diterima dengan penuh reda oleh semua muslimin. 

Sungguh, ujian yang paling besar bagi manusia adalah ujian kuasa, kepimpinan, pengaruh, pangkat dan harta jua zuriat.

Khilaf itu rahmat, namun salah meniti khilaf itu juga yang menghancurkan manusia.

Menghapuskan khilaf dengan mata pedang, mungkin dianggap senjata ampuh. Buta melihat insan-insan di sekeliling. Hingga tidak sedikit khalifah yang menyesal dengan tindakan bodoh mereka di akhir hembusan nafas.


Wahai pembesar kerajaan taghut, ingatlah jika dunia kau yang pilih, pangkat dan nama yang kau kejar, tak kemana jangkaanmu, kau tetap akan kembali menjadi debu juga.

Doa rakyat yang dizalimi tetap ada dalam perhatian Tuhan.

Mati mu nanti sia-sia. Ratapan konco-koncomu itu akan jadi azab padamu.

19 Rabi'ul Awal 1433

Perjuangan mengislah, dakwah, memberi kesedaran bukan tugas bermusim. Bukan hanya meledak bila ada isu-isu hangat. Bukan semata itu, perlu seiringkan dengan pembinaan Fardul Muslim yang sebenar-benarnya. 

Masih ramai lagi Muslim yang sedang hanyut ditelan arus duniawi.

Sungguh sayu, andai Rasulullah ada sedang melihat kehancuran ini. Walhal umatnya tidak sesekali tidak dilupakan dalam ingatan baginda. 

Adakah ummah yang ada pada hari ini ingat semua doa-doa Rasulullah pada kita. Kita sibuk mengata itu dan ini, kita sibuk dengan kelancangan dunia, sibuk dengan hal sendiri, sibuk membahagiakan yang tercinta, tanpa menjajarkan kecintaan dan kesibukan itu untuk terus menegakkan Risalah tinggalan Rasulullah.

Cukupkah kecintaan itu buat menata syafaat dari Rasulullah?

Adakah Rasulullah sudi untuk memandang kita tika itu? 

Sedang hakikatnya, kecintaan kita dibuai dunia telah melebihi kecintaan kepada yang utama untuk dicintai. Allah dan RasulNya.

ِAllah, Allah, Allah..

Malunya aku sebagai hambaMu..





يَا بَدْرَ تِمٍّ حَازَ كُلِّ كَمَالِ # مَاذَا يُعَبَّرُ عَنْ عَلاكَ مَقَالِىْ

أنْتَ الَّذِيْ أشْرَقَتْ فِىْ أفُقِ العُلَى # فَمَحَوْتَ بِالأنْوَارِ كُلَّ ضَلالِى

وَبِكَ اسْتَنَارَ الكَوْنُ يَا عَلَمَ الهُدَى # بِالنُّوْرِ وَالإنْعَامِ وَالإفْضَالِ

صَلَّى عَلَيْكَ اللهُ رَبِّيْ دَائِمًا # أبْدًا مَعَ الإبْكَارِ وَالآصَالِ

وَعَلَى جَمِيْعِ الآلِ وَالأصْحَابِ مَنْ # قَدْ خَصَّهُمْ رَبُّ العُلا بِكَمَالِ


WAHAI PURNAMA

Wahai purnama…..wahai purnama
Yang indah lagi sempurna
Bagaimana….bagaimana
Nak ku luah dengan kata-kata

Engkau menyinar di alam tinggi….di alam tinggi….
Terangi kegelapan dan kebatilan…

Dengan mu alam bergemerlapan….bergemerlapan…
Zahir batin nur nikmat dan kemuliaan

Selawat Allah ke atasmu selama-lamanya….
Siang dan malam jua…..siang dan malam jua

Selawat jua pada ahlimu dan sahabatmu….
Mereka yang istimewa dan amat sempurna….

* Sumber : klik
............................
* Qasidah yang sangat indah menyusup ke sanubari. 

* Pastikan doa, Qunut Nazilah, solat jenazah ghaib tak pernah putus dari kita. Terus mendoakan dan cakna isu ummah dekat mahupun jauh..

* Selamat belajar dengan penuh keazaman. Jihad Ilmu bagi memastikan syiar Islam terus tertegak. 

19 Rabi'ul Awal  1433

Sudah lebih setahun konflik kekejaman ini berlaku, dan akhirnya ia telah semakin memuncak awal tahun ini.

Memang tak sanggup untuk melihat gambar-gambar dan video yang telah tersebar di Facebook dan Youtube.


Entah ke mana pula selepas ini. Sedang musuh Islam senyum sumbing bergelak ketawa. Agenda menghancurkan Islam lebih mudah. 

Bagai, buih-buih hanyut yang bertaburan di lautan.

Sejarah yang lama berulang kembali. Pentas dan pelakon sahaja yang berbeza. Rakyat menjadi mangsa dan korban. Mahalnya harga sebuah kekuasaan yang menjadi ketamakan manusia. Pangkat yang menguji iman dan jati diri. Tak kira di mana-mana, masa dan ketika sejak kewujudan manusia di dunia ini. Berzaman-zaman.



 
Peristiwa kekejaman, berlaku satu demi satu, semuanya menggadaikan nyawa ummat Islam yang tidak terkira banyaknya. Dari Tunisia, Libya, Mesir dan sekarang Syiria. Apa yang lebih menyedihkan, ia berlaku di bulan Maulid Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w.

Apa tindakan kita?

Isu ini bukan isu rakyat Syiria sahaja. Ini isu saudara seislam kita.



Bangkitlah umat Islam, binalah persiapan anda. Bina dari diri anda. Sekurang tidak membantu secara zahir, sumbangkanlah walaupun sedikit dari segi material, doa, dan terus menyedarkan umat Islam tentang perlunya kita cakna terhadap isu yang melanda saudara-saudara kita seantero alam.




14 Rabi'ul Awal 1433


Rindu ummat mahabbah Rasulullah,
Selawat bertalu nian indah,
Jalan telah dirintis sudah,
Mahukan terus takkan rebah.

Kisah hari ini buat ibrah,
Terkadang cekal sekuat tabah,
Rupanya leka tertimpa musibah,
Teruskan langkah usah lelah.

Tangis biarlah berlalu sudah,
Jalan ini bukan mudah,
Hidup hanya kerna ibadah,
Ingat selalu waspada padah.




* Be careful and sentiasa berserah, Allah jua sebaik-baik pengawas.

12 Rabi'ul Awal 1433

Permintaan dari sahabat, cuba dipenuhi. Maaf walau tak semampunya memenuhi hasrat, sekurang buat inspirasi pun cukuplah.

Aku sudah lelah mengadap dunia,
Ceriteranya bercampur dusta,
Teman, mahu ku khabarkan kisah,
Sudikah kau ralit bersama,
Mencari nilai rasa?

...........................

Itu Insani lupa,
Tiada bererti ilmu melangit,
Dek nafsu melata,
Kepentingan buat diri terpalit.

Lihatlah tamadun kebanggaan,
Apa khabar ia,
Jadi cerita watan,
Diselak di balik lembar catan,
Tinggal tunggul diracik zaman



Kitakan generasi kebangkitan.
Pasti kan mampu.

Dikau,
Ulul Albabkah kalian?
Telusuri mimpimu itu semula.

Kau bukan jilul Qu'ran didikan baginda,
Bukan generasi Salahuddin penebus Baitul Maqdis,
Tidak juga ummah terbaik pasca al-Fateh

Hanya ummat akhir zaman,
Jauh sekali yang dirindukan Rasulullah,
Tika hayatnya masih ada!

Hanya saf belum mampu dipenuh,
Tatkala azan fajar mengisi alam,
Manakan pula terbanding tengah hari Jumaat.

Musuh durjana,
selamanya akan ketawa,
Kita masih bangga meralit ilusi,
Terawang realiti entah ke mana.

…………………

Inilah alam,
Ini kisah,
Ini ceritera
Ini bukan dongengan,
Selamanya bukan tiada nilai.

  Bangunlah jiwa yang lena,
Ini bukan masa harapan
Ini bukan masa angan-angan.

Ingatan lampau buat dicanai,
Perlu kita gerak,
Tiada masa bertangguh lagi.
Sekarang kita mula!