12 Jamadil Awal 1433

KARISMA V tinggal berapa jam sahaja lagi akan membuka tirai.

Jom layari web KARISMA V untuk sebarang info dan maklumat terbaru..

Tidak dilupakan, bahang pilihanraya semakin mula membara. Pilihan yang tepat perlu dipandu dengan ilmu yang jelas.

MANUSIA BERHAJAT KEPADA PEMIMPIN BERTANGGUNGJAWAB

1. Manusia yang hidup dalam satu komuniti tidak akan menolak kepentingan wujudnya pemimpin yang mengurus dan mentadbir hal ehwal mereka. Pemimpin ini akan menjadi tempat rujukan mereka untuk segala kepentingan yang berkaitan dengan kehidupan mereka. Terutamanya jika ada isu-isu berbangkit yang boleh menyebabkan perselisihan sesama mereka. Dengan perkembangan dan pertambahan jumlah manusia pula, pemimpin memerlukan pembantu yang boleh melicinkan dan meringankan lagi tanggungjawab kepimpinannnya.


gambar hiasan


2. Hajat manusia kepada pemimpin ini bukan khusus untuk satu kaum tertentu sahaja, atau satu umat tertentu sahaja, tetapi ia menjangkau keperluan dan hajat seluruh manusia di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa selagi manusia masih bernyawa. Kita boleh dapati pelbagai nama jawatan pemimpin dan sistem, seperti presiden, perdana menteri, khalifah, amir dan sultan, begitu juga sistem demokrasi, monarki dan raja berperlembagaan, tetapi semuanya merujuk kepada wujudnya kepimpinan. Ia adalah amalan yang diterima pakai untuk menjaga kepentingan kehidupan bani insan.


3. Kedatangan Islam memberi nilai tambah terhadap hajat manusia ini. Islam menunjukkan kepada kita rupa-rupanya dalam jumlah yang sekecil tiga orang pun, keperluan terhadap pemimpin bukan satu perkara yang ringan, apatah lagi jika satu kampung, negeri dan negara. Diriwayatkan daripada nabi SAW bersabda yang bermaksud:

Jika kamu keluar tiga orang ke satu tempat maka lantiklah salah seorang daripada kamu menjadi ketua. (Riwayat Muslim)


4. Pada hari Rasulullah SAW wafat, para sahabat berbincang di Saqifah Bani Sa’idah untuk memilih pemimpin dalam kalangan mereka untuk menggantikan nabi SAW. Hanya sebahagian sahabat sahaja termasuk Ali bin Abi Talib RA yang menguruskan jenazah nabi SAW. Perkara ini menunjukkan kepentingan pemimpin dalam kehidupan manusia. Manusia tidak boleh hidup dengan baik tanpa pemimpin. Tindakan para sahabat tadi menggambarkan mesej ini.


5. Mungkin ada yang menyatakan, sepatutnya mereka boleh menangguhkan dahulu perbincangan melantik pengganti nabi SAW dan menumpukan kepada urusan jenazah dan pengebumian Rasulullah SAW. Kerana nabi SAW adalah utusan Allah SWT, maka ia lebih penting daripada segala-galanya. Namun, jika kita memahami urusan jenazah yang hukumnya adalah fardhu kifayah, dan hukum wajib serta kepentingan melantik pemimpin, maka tindakan para sahabat adalah tidak salah, bahkan menepati konsep feqh al-awlawiyat (feqh keutamaan). Kerana fardhu ain perlu diutamakan daripada fardhu kifayah.


Tanggungjawab pemimpin

6. Pemimpin yang diperlukan oleh manusia untuk menguruskan kepentingan hidup mereka boleh terdiri daripada sesiapa sahaja, asalkan mempunyai kelayakan. Cara perlantikan juga tidak ditentukan secara pasti dalam Islam. Bahkan nabi SAW wafat tanpa menentukan siapakah penggantinya? Yang pastinya ialah Islam menggariskan tanggungjawab dan peranan seorang pemimpin.


7. Teks-teks ayat al-Qur’an dan al-Hadith secara umum yang menyebut perlunya berlaku adil, amanah, amar ma’ruf nahi munkar dan sebagainya, memberi isyarat kepada tanggungjawab ini. Ibn Khaldun (meninggal 808H) menggambarkan tanggungjawab pemimpin, katanya:
Al-Khilafah (kepimpinan negara) adalah pengganti kepada pemilik syari’at dalam menjaga agama dan mengurustadbir dunia. (Ibn Khaldun, al-Muqaddimah)


8. Tanggungjawab yang dinyatakan ini ada persamaan sebagaimana yang dinyatakan oleh sarjana yang lebih awal seperti al-Juwaini (478H) dan al-Mawardi (450H) yang telah saya nyatakan dalam artikel yang lepas dalam tajuk Politik Mesti Menjaga Agama. Perkataan yang mereka gunakan adalah ‘pengganti pemilik syara’ sama ada Allah SWT atau Rasulullah SAW. Maknanya ia terikat dengan syari’at, dan terikat dengan syari’at bermaksud perlu mengikut agama. Jadi tidak tepat jika dikatakan pemimpin adalah pengganti dan mewakili rakyat secara mutlak dan tidak terikat dengan syari’at.


9. Melihat kepada hajat manusia kepada pemimpin, maka ia menyebabkan pemimpin sebagai satu yang menjadi rebutan. Lebih malang lagi ia telah bertukar menjadi satu tasyrif (kemuliaan) dan bukan lagi taklif (tanggungjawab) sebagaimana konsep asal. Manusia sanggup mengeluarkan modal yang besar dan bermati-matian, tidak kurang yang sangggup menyinsing lengan baju untuk menjadi pemimpin atau mempertahankan jawatannya. Sedangkan tanggungjawabnya bukan sedikit dan kecil, ia bakal ditanya oleh Allah SWT di akhirat kelak. Diriwayatkan daripada nabi SAW bersabda yang bermaksud:

Setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan setiap daripada kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap yang dipimpinnya. (Riwayat al-Bukhari)


10. Syari’at Islam telah mewajibkan ke atas pemimpin dengan dua tanggungjawab utama iaitu menjaga agama dan mengurustadbir dunia. Dua tanggungjawab utama ini cukup besar dan sangat berat sebenarnya. Daripada dua tanggungjawab besar ini, lahir beberapa perincian tanggungjawab yang lebih khusus yang perlu diambil perhatian oleh seorang pemimpin. Al-Mawardi (450H) dalam karyanya al-Ahkam al-Sultaniyah menyenaraikan sepuluh tanggungjawab, antaranya; menjaga agama dengan penerangan dan hujjah, melaksanakan undang-undang, meredakan pertelingkahan, menjaga keamanan nyawa dan harta, melaksanakan hudud, menjaga sempadan daripada musuh, serta mengurus kewangan tanpa boros dan tidak kedekut. Kemudian ditegaskan dengan peringatan daripada Allah SWT dalam surah Sod ayat 26 bermaksud:

Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukuman di antara manusia dengan yang benar (syariat); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari pengiraan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.


11. Maka seorang pemimpin wajib melaksanakan tanggungjawabnya dengan bersungguh-sungguh. Tangungjawab ini adalah amanah yang besar. Selagi mana mampu, maka dia layak menjadi pemimpin, tetapi jika sudah tidak mampu memikul amanah ini, maka hilanglah kelayakannya. Hatta jika seorang pemimpin memerlukan pembantu sekalipun, sama ada timbalan, naib, dan menteri, tetapi pemimpin utama bertanggungjawab untuk memantau dan menyelia terhadap setiap tindakan pembantunya ini. Nah ini Umar al-Khattab RA yang penah menukar beberapa orang pembantunya setelah mendapat aduan daripada orang ramai, seperti yang diriwayatkan:

Umar menggugurkan jawatan ‘Ammar bin Yasir daripada kawasan Kufah dan al-Mughirah bin Syu’bah daripada kawasan Basrah kerana aduan orang ramai daripada kedua-dua kawasan tersebut. (Dr. Wahbah al-Zuhaili, al-Fiqhu al-Islami wa Adillatuh)


12. Pemantauan dan penyeliaan seumpama ini sangat penting agar tanggungjawab menjaga agama dan mengurustadbir negara berjalan dengan baik sesuai dengan syari’at yang diredhaiNya untuk merealisasikan kepentingan umum. Ia akan dianggap satu ibadah yang bakal mendapat ganjaran yang besar daripada Allah SWT.

13. Apabila kita teliti perincian senarai tanggungjawab tadi, maka ia menyentuh banyak aspek dalam kehidupan seharian kita. Antaranya termasuklah hal ehwal agama, keselamatan, politik, ekonomi, pentadbiran, dan sosial. Jika seorang pemimpin melaksanakan amanah tanggungjawab ini, baharulah dia berhak untuk mendapat hak-haknya yang wajib ditunaikan oleh orang ramai yang dipimpinnya, iaitu ketaatan dan pertolongan yang bakal mempertahankan kepimpinannya. Namun jika dia gagal melaksanakan tanggungjawab ini, maka sukarlah untuk mendapat ketataan dan pertolongan.

14. Kesimpulannya, sebagaimana manusia berhajat kepada pemimpin yang amanah menunaikan tanggungjawabnya, pemimpin juga berhajat untuk mendapat ketaatan dan pertolongan. Ia seumpama penjual dan pembeli yang masing-masing akan memberi dan menerima. Cukup signifikan perkataan bai’ah dalam kedua-duanya.
Tinta bernas oleh : al-Fadhil Ustaz Haji Anhar bin Opir, Calon PhD,  UWISE.


0 ulasan: