9 Rabi'ul Akhir 1433


 
PERTAMA VI akhirnya melabuhkan tirainya pada 25 Februari lalu. Medan yang bukan semata tempat kita bertemu menyatu ukhuwwah, bertukar pandangan, bahkan di sinilah juga kita para mahasiswa mengumpul dan membina momentum kekuatan. Dalaman dan luaran.

Segarang warna merah, tona warna yang dipilih sebagai tema persidangan tahun ini, sehangat itulah semangat para peserta, lebih-lebih lagi para AJK pelaksana, tidak terkecuali para pembentang yang dijemput khas. Dua dari mereka diterbangkan dari tanah air tercinta, iaitu Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah dan Ustaz Nazrey Johani. Penampilan ini tambah sempurna apabila digandingkan dengan seorang ilmuan yang tidak asing lagi di bumi Jordan ini, al-Fadhil Us Anhar Opir,calon PhD dari UWISE.

Tahun ke tahun, penganjuran PERTAMA semakin mencerminkan kematangan. Namun, kematangan yang ada itu perlu terpandu dan terpimpin dengan baik. Apabila disoroti tema PERTAMA dari awal penganjuran semulanya, sememangnya dapat dikesan satu demi satu anjakan kematangan mahasiswa yang sama-sama menghuni dataran Syam. Tanah yang sentiasa dikelilingi gelora ini, kita bercanda mengawasi dari jauh kelam kelibut tanah air.

“Membina Kekuatan Mahasiswa”. ( 2008 )

“Ke Arah Kematangan Mahasiswa Muslim” ( 2009 )

“Dakwah Dan Realiti Mahasiswa Timur Tengah” ( 2010 )

“Ke Arah Memahami Fiqh Interaksi Bersama Non- Muslim” ( 2011 )

“Media Dan Hiburan, Urgensi Dan Cabaran Semasa” ( 2012 )

Sedari empat tahun membuka minda kesedaran , mengenalkan siapa diri, dan mencetuskan perubahan pemikiran dalam setiap minda mahasiswa, kiranya amatlah tepat pemilihan tema persidangan pada tahun ini kerna ia menitipkan kita satu pencerahan wasilah yang amat jarang dicernakan mengikut disiplin ilmu yang tersusun.

Kita tahu ramai mahu berubah, namun sayangnya kembali ke tahap asal kerna tiada jalan, tiada lorong yang diketahui untuk dilalui. Justeru kini, apabila kesedaran sebagai seorang ilmuan itu harus menjadi daei dan khalifah kecil sudah didapati, lalu ke mana perlu dilorongkan segala kefahaman itu biar ia tersebar luas? Agar indahnya Islam ini dapat dirasai sama oleh segenap umat manusia.

Kita Dan Media

Apabila memperkatakan soal M.E.D.I.A, apakah yang bakal terbit dari minda kita ?

Televisyen? Internet ? Radio ? Surat Khabar? Majalah ? Buku ?

Apakah itu ?

Bagaimana pula dengan H.I.B.U.R.A.N ?

Adakah hanya terfikirkan konsert-konsert hiburan, sinema yang sesak di kala meletupnya filem-filem dan selebriti ?

..................

Media dan hiburan dari sisi negarawan yang budayawan, dari sudut pandang agamawan dan juga cita dari seorang karyawan.

Sungguh cantik dan kemas percaturan manusia yang tentunya berlaku dengan izin Allah.

Barangkali, ada yang menganggap media dan hiburan adalah candu yang sangat berbahaya yang sewajibnya dijauhi. Walhal, ia perlu diambil sekadarnya hingga bukan ditangkap sebagai ideologi. Dengan bahasa mudahnya, terserahlah kepada kita bagaimana untuk menjadikannya sesuai dengan keperluan.

Kiranya wajarlah falsafah Media sebagai medium ar-Risalah yang dicetuskan oleh Prof Madya Dr.Abu Hassan boleh dijadikan pegangan kepada mana-mana pengamal media Islam.

“Media Islam adalah media ar-Risalah ; iaitu suatu proses mengkomunikasikan informasi melalui medium-medium media sama ada medium tradisi seperti akhbar, radio dan televisyen atau medium baru misalnya blog dan media sosial seperti Facebook dan Twitter dengan pelbagai hal kandungan yang sarat dengan muatan dan sosialisasi nilai-nilai Islam. Media islam sebagai ar-Risalah boleh dikatakan sebagai “crusade media” yakni media yang memperjuangkan nilai-nilai tertentu, yakni nilai-nilai islam. Media islam islam akan mengembangkan teras pemikiran dan perasaan islam iaitu amar ma’ruf nahi munkar”

Menurut professor juga, media Islam hendaklah menjadi pencetus dan pembentuk dalam menjayakan gerakan Islamiah, menjadi perkembangan syiar, berfungsi sebagai sumber pengetahuan dalam membangunkan pemikiran dan kebijakan-kebijakan ekoposial Islam dalam menjadikan sistem penghidupan terbaik buat semua masyarakat dunia. Firman Allah ada menyebutkan :



 
 

 

Medium ini bukan sahaja fungsinya sebagai cerminan kehidupan masyarakat realiti tetapi ia adalah prototaip kepada penghidupan dan kehidupan manusia nyata yang memiliki potensi. Serta bagaimana juga kita mampu memainkan sepenuhnya peranan media serta hiburan hingga mampu menjadi wasilah Pendidik (muaddib), Penegak informasi (musaddid), Pembaharu (mujaddid), Penyatu (muwahhid) dan Pejuang (mujahid).

......................

Justeru TAQWA merupakan nilai asas yang perlu ada pada diri setiap insan dalam menzahirkan media dan memilih hiburan yang bersesuaian kerana medium yang disandarkan kepada nilai inilah sahaja yang menciptakan dan menemukan kebenaran. Dari pentas PERTAMA VI, pertandingan video pendek dan Pementasan teater Si Amanu, menyimpulkan kesemua aspek ini dalam laras falsafah dan penyampaian yang sangat mengesankan.

Kita sedar medium ini perlulah diselarikan dengan tuntutan agama agar setiap jalur yang ditempuh oleh para karyawan, mediawan tidak tersasar dari lunas Islam. Satu hal yang perlu dipandang berat di mana ia memerlukan kepada gabung jalin yang sangat erat di antara golongan ini dengan agamawan. Setidaknya ilmuan agama menjadi penilai dan rujukan dari seenaknya sembrono melontarkan kritikan yang mengakibatkan luka parah karyawan hingga lari sejauhnya dari medan amal Islami. Alangkah ruginya kita jika hal itu yang terjadi.

Sahabat-sahabiah mahasiswa Urdun,

Insan yang mendiami kurun ke 21, diuji merenangi kurun informasi dengan kebangkitan arus teknologi tanpa sempadan. Bersamalah kita bergandingan mengevolusikan diri dan masyarakat dalam mencipta peradaban sempurna yang berteras nilai Islami.

Moga-moga harapan yang dinyatakan Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah, Ustaz Nazrey Johani dan Ustaz Anhar Opir mampu kita realisasikan, sekurang tak mampu menjadi budayawan, mediawan, karyawan, mahupun agamawan ternama, namun ada tetap sumbangannya buat ummah biar tersedar celik dari leka.

Dari sinilah kita harus bermula!

"Bersekutu Membuat PERUBAHAN"




* Sedikit makalah kecil buat perkongsian di web PERMATAJORDAN.

* Moga ada nilai dan manfaat.

0 ulasan: