7 Safar 1433 / 1 Januari 2011

Hari berganti hari, Muharam telah menginjak Safar, manakala Disember pun telah meninggalkan kita. Masa silih menghilang, malam dituruti siang pantas sekali.

Mencari semula nota-nota yang telah hilang dek lemahnya ketahanan bahan ciptaan insan yang takkan terbanding dengan ciptaan Allah yang Maha Kuasa. Sayang, manusia lupa bagaimana untuk memanfatkan sepenuhnya. Akal fikiran, hanya untuk kepentingan diri dan memusnahkan manusia lain, alangkah bodoh, jahil dan ruginya.
Akhirnya jumpa juga. 

Info-info ini, saya petik dari hasil tulisan sifu wa murabbi falak yang tak putus memberi inpirasi. Ustaz, moga-moga keredaan Allah mengiringi setiap langkah ustaz.


Al-kisah..

Apa yang kalian tahu mengenai takwim @ kalender @ tahun. Pernah tak terfikir mengapa harus ada sistem tarikh, hari, bulan, tahun, abad kurun dan apa-apalah yang sewaktu dengannya.

Apa itu takwim?

Perubahan kecerahan dan kegelapan bumi sepanjang hari dan perubahan musim merupakan fenomena alam yang menarik perhatian manusia, kerana fenomena ini berlaku secara berkala dan berulang-ulang dalam tempoh masa tertentu. 
( Kalau tidak, tidaklah bidang fotografi menjadi kegilaan generasi hari ini kan! )


Perubahan siang dan malam serta perubahan musim yang silih berganti ini dijadikan satu kaedah pengukuran julat masa. Dengan ini terciptalah penciptaan takwim.


Penciptaan takwim merupakan salah satu kegiatan manusia sejak zaman dahulu lagi dalam bidang astronomi. Takwim merupakan satu cara pengurusan masa untuk memudahkan mereka merancang aktiviti kehidupan, seperti pertanian, pemburuan, beribadat dan lain-lain lagi bagi memenuhi keperluan kehidupan mereka.


Pada peringkat awal, manusia purba menggunakan apa sahaja bentuk perubahan alam untuk menentukan julat masa atau petanda masa. Dalam era yang lebih maju, mereka mula merujuk kepada fenomena fizikal yang lebih baik. Misalnya, mereka menggunakan kedudukan matahari, iaitu panjang bayang sesuatu objek untuk membuat rujukan tentang masa. Pada peringkat ini jam matahari telah dicipta bagi memenuhi keperluan pengukuran masa.

Takwim atau kalendar adalah satu kaedah purba yang membahagikan masa kepada tarikh-tarikh tertentu bagi sesuatu kaum atau agama.

Tarikh-tarikh itu berdasarkan sesuatu kejadian yang dianggap penting, dipandang suci atau dianggap malapetaka oleh manusia purba. Dengan masa kejadian itulah takwim-takwim sesuatu bangsa atau agama mula dicipta oleh mereka dan terus digunakan sehingga ke suatu masa tanpa had.

Misalnya Takwim Hijrah diasaskan pada tahun hijrah Rasulullah s.a.w. berangkat dari Kota Mekah ke Bandar Madinah. Begitu juga Takwim Masihi (Miladi) diasaskan pada tahun kelahiran Nabi Isa a.s., manakala Takwim China didasarkan pada tarikh lahir agama Buddha oleh Komposius. Tarikh Julian bermula pada zaman pemerintahan Kaisar Roman yang bernama Julius Ceaser dan Tarikh Gregorian bermula pada zaman pemerintahan Pope Gregory dan lain-lain lagi.


Manakala Takwim yang digunakan di seluruh dunia sekarang ini ialah Takwim Masihi. Di samping itu, terdapat juga Negara-negara Islam atau penduduknya yang beragama Islam menggunakan Takwim Hijrah untuk menentukan tarikh dan waktu-waktu ibadahnya.

Sela masa sehari, selama mana? 


Pada permulaan tamadun primitif, hari ditentukan dari Subuh ke Subuh berikutnya, manakala Babylon dan Yunani menggunakan terbit matahari ke terbit matahari hari berikutnya sebagai sela hari.

Masyarakat Islam pula menggunakan masa terbenam matahari dari hari ke hari berikutnya sebagai sela hari. Manakala dalam sistem pengukuran waktu antarabangsa, hari baru dikira bermula tengah malam. Al-Battani (858M-929M) telah memperkenalkan sistem jam yang membahagikan hari kepada 12 jam siang dan 12 jam malam.

Dari mana asalnya nama-nama hari dan bulan tahun Masihi ini?

Dari pecahan hari dikumpulkan menjadi minggu, iaitu jumlah tujuh hari.
Masyarakat Babylon menamakan nama-nama hari dalam seminggu mengikut nama cakerawala yang mereka ketahui, iaitu Sunday (Sun), Monday (Moon), Tuesday (Mars), Wednesday (Mercury), Thursday (Jupiter) dan Friday (Venus).

Dengan kedatangan Islam, unit minggu dikekalkan, tetapi nama hari ditukar menjadi Jumaat, Sabtu, Ahad, Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis.
Dari minggu, unit takwim seterusnya ialah Bulan. Nama-nama bulan dalam Takwim Masihi sekarang merupakan warisan kepada warisan Yunani. 

Semasa itu bulan yang pertama adalah Mac, yang kedua ialah April, yang ketiga adalah Mei dan sehinggalah bulan yang terakhir ialah bulan Februari. Perkiraan ini adalah selaras dengan bilangan angka Roman pada ketika itu. Kemudian perkiraan dan nama-nama bulan telah diubahsuai dalam satu persidangan yang telah diadakan. Akhirnya persetujuan telah dibuat dengan menjadikan Januari sebagai bulan pertama, bulan yang kedua ialah Februari dan seterusnya hingga ke bulan yang terakhir, iaitu Disember. Penentuan bilangan nama bulan ini digunakan sehingga sekarang.

Skala satu tahun pula bersamaan dengan 12 bulan dan kekal digunakan sebagai asas pengiraan tahunan dalam Takwim Masihi. Begitu juga dengan bilangan bulan dalam takwim Hijriyah orang Islam. Ini telah dijelaskan oleh firman Allah s.w.t.:


إنَّ عِدَّةَ الشُّـهُوْرِ عِنْدَ اللهِ اثْنَا عَشَـرَ شَـهْرًا فِى كِتَابِ اللهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّـمَوَاتِ وَالأَرْضَ ، مِنْـهَا أرْبَعَـةٌ حُرُمٌ....

Ertinya: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, antaranya empat bulan yang dihormati. (surah al-Taubah, ayat 36)

Nama bulan-bulan Islam berasal dari zaman Jahiliyah lagi dan dikekalkan oleh Rasulullah s.a.w. dengan beberapa perubahan kecil. Turutan nama bulan mengikut takwim Islam ialah Muharram, Safar, Rabiul Awal, Rabiul Akhir, Jamadil Awal, Jamadil Akhir, Rejab, Sya’ban, Ramadhan, Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah.

 Tahun demi tahun.

Bagi rujukan tahun pula, tamadun Rom memulakan susunan berdasarkan permulaan era Kristian. Tahun pertama diambil selepas tahun kelahiran Nabi Isa a.s. Masyarakat Arab pula lebih cenderung menamakan tahun berdasarkan sesuatu perisriwa besar yang dinamakan tahun banjir besar atau peristiwa serangan tentera bergajah Abrahah ke atas Kota Mekah yang dinamakan Tahun Gajah.

Setelah kedatangan Islam, ketiadaan asas tahun yang tetap dalam empayar Islam yang berkembang luas merumitkan segala urusan, khususnya urusan pentadbiran kerajaan. Oleh itu, peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. telah ditetapkan sebagai asas pengiraan tahun dalam takwim Islam yang dikenali sebagai Takwim Hijriyyah. Penetapan ini telah dibuat semasa pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab selepas 17 tahun berlakunya peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w.

Dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang menjelaskan secara umum pergerakan bulan, bumi dan matahari untuk mengukur masa bagi manusia. Antaranya ialah:



إنَّ عِدَّةَ الشُّـهُوْرِ عِنْدَ اللهِ اثْنَا عَشَـرَ شَـهْرًا فِى كِتَابِ اللهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّـمَوَاتِ وَالأَرْضَ ، مِنْـهَا أرْبَعَـةٌ حُرُمٌ....

"Ertinya: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, antaranya empat bulan yang dihormati..." (Surah al-Taubah, ayat 36)



هُوَ الَّذِىْ جَعَلَ الشَّمْسَ ضِيَاءً وَالْقَمْرَ نُوْرًا وَقَدَّرَهُ مَنَـازِلَ لِتَعْلَمُـوْا عَدَدَ السِّـنِيْنَ وَالْحِسَـابَ.

"Ertinya: Dialah Allah yang menjadikan matahari bersinar-sinar dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu pada tempat peredaran masing-masing, supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa"
(Surah Yunus, ayat 5)


يَسْـئَلُوْنَكَ عَنِ الأَهِـلَّةِ ، قُـلْ هِيَ مَـوَاقِيْتُ لِلنَّـاسِ وَالْحَـجِّ ...

"Ertinya : Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai peredaran anak bulan. Katakanlah peredaran anak bulan itu menandakan waktu-maktu untuk manusia, khususnya ibadah haji"
(Surah al-Baqarah, ayat 189)


وَلَبِـثُوْا فِى كَـهْفِهِمْ ثَلاَثَ مِائَـةٍ سِـنِيْنَ وَازْدَادُوا تِـسْعًا.

Ertinya: Dan mereka (Ashabul Kahfi) telah tidur dalam gua selama 300 tahun (mengikut kiraan suria) dan ditambah 9 tahun lagi (mengikut kiraan qamari).  
(Surah al-Kahfi, ayat 25)

Ilmu itu harus digali sedalam-dalamnya. Bila sudah beroleh asas, teguhkan usaha biar menjadi faqih dan alim. Insyaallah.

Rujukan : Kertas Kerja MIASAT 2008, Us. Mohd Nor. Bin Husain.
                  Sumber gambar : Google, Wikipedia
............................

* Yang pergi COSMIK 11, masih ingat lagi tak cara kita tukar tarikh? 
Sambil-sambil lepaskan tegang bahang imtihan jom main kira-kira, bagi cekap dan kemas serta segar minda.

Jangan pening-pening sudahla ye..

Selamat Meneruskan Perjuangan !!!

0 ulasan: