26 Safar 1433

Pagi Jumaat Barakah. Penghulu segala hari. Moga ketenangan akan berhembus seiring dengan bayu yang bertiup.

Jom sama-sama tilawah, tadabbur Surah al-Kahfi. 

Rasa lebih 'jeliro' tatkala menatapi baris-baris ayat, muka demi helai. Terima kasih yang tidak terhingga buat Dr. Talib Surairah yang memberi inspirasi, mempertajamkan fikiran supaya dengan lebih teliti menekuni kata-kata indah Kalamullah.

Tatkala mencari-cari, saya terjumpa satu slide yang sangat mengujakan minda.Tak reti nak hurai sendiri, kalian tatapilah dengan mata hati.



Juga tulisan dari Us Hasrizal

.......................


FUNGSI SURAH AL-KAHF



Menurut Sahib Tafseer fee Dhilaal al-Quran, Surah al-Kahf berfungsi melindungi orang-orang yang beriman daripada fitnah Dajjal kerana ia menyediakan ‘tools’ untuk menghasilkan tiga perkara:

(تصحيح العقيدة) Membetulkan sistem kepercayaan (Aqidah)
(تصحيح منهج الفكر و النظر) Membetulkan metod berfikir dan memerhati (Pandangan Hidup)
(تصحيح القيم بميزان العقيدة) Membetulkan sistem nilai dengan pertimbangan kepercayaan (Nilai)

CHECK LIST

Justeru, usai membaca Surah al-Kahf, jawab soalan-soalan berikut sebagai menilai keberkesanan isi kandungan Surah itu kepada kehidupan kita:

Apabila mempercayai sesuatu dalam hidup ini, atas asas apakah ia dipercayai? Aqidah, Ibadah, urusan jual beli dan kepenggunaan, bagaimanakah kita menetapkan pendirian tentang keputusan ‘buy-in’ kita terhadap sesuatu yang datang ke dalam hidup?
Bagaimanakah kejadian-kejadian di dalam hidup ini diberikan makna? Kerjaya, keluarga, perancangan hidup, adakah ia sekadar makna kulit bagi setiap perkataan itu atau ada makna yang lebih besar? Jika sistem ganjaran terhadap kerjaya dan keluarga gagal memenuhi jangkaan diri, bagaimanakah ia diatasi dan di sisi manakah kita mendapatkan kepuasan mengenainya?
Apakah yang baik, berguna, penting dan utama dalam hidup ini? Bagaimana pertembungan di antara pelbagai komitmen ke atas diri yang satu, disusun atur antara yang perlu disusun atur, atau dibuang dan diabaikan seandainya tidak perlu? Bagaimanakah keputusan untuk hal-hal ini dibuat? Atas pertimbangan apakah keputusan itu dibuat?

Ini adalah soalan kehidupan yang boleh digunakan untuk menilai, sama ada ‘tools’ yang terdapat di dalam Surah al-Kahf berjaya digarap atau sebaliknya.

Fitnah Dajjal tidak datang dalam bentuk ancaman fizikal. Ia muncul dalam keadaan kita pun mungkin tidak sedar dengan kemunculannya. Ia menyelinap masuk mengganggu gugat kepercayaan, merosakkan sistem fikir dan sistem nilai.

MUHASABAH

Muhasabah KEPERCAYAAN anda (cetusan kisah Ashaab al-kahf).

Muhasabah HARTA anda (cetusan kisah lelaki kafir pemilik dua kebun).

Muhasabah ILMU anda (cetusan kisah Musa dan Khaidir).

Muhasabah KUASA anda (cetusan kisah Zulqarnain).

Adakah setiap satunya itu ASET atau LIABILITI?

Jika setiap satunya membawa kita kepada Allah, maka ia adalah aset yang penting bagi pelaburan hidup dunia dan Akhirat.

Jika setiap satunya gagal membawa kita kepada Allah, maka ia adalah liabiliti yang mengundang musibah dunia dan Akhirat.

Ia mesti berhubung dengan Allah.

Terputus hubungan dengan Allah, semua kepercayaan, harta, ilmu dan kuasa akan melekat di dinding Materialisma.

Mazhab Dajjal.

................................

Terima kasih juga buat semua teman-teman yang memberi pencerahan kepada saya. Almaklumlah, ilmu syariat tidak saya dalami secara serius, perlulah kita rujuk kepada yang lebih alim. [ kalau nak tanya syair ke qawaid ke, boleh la kot menjawab setakat termampu].

Eh tidak, ini adalah cabaran buat kita walaupun tidak mengambil jurusan pengajian Ilmu Syariah Islam, namun bukan alasannye untuk tidak mahu faqih dalam bidang agama. 

Wajib belajar, wajib amalkan, wajib sebarkan pada orang lain. 

Jadi, yang mana pilihan kita itulah yang akan membawa kita ke destinasi seterusnya..

........................

* Tengok video Ashabul Kahfi, kemudian jelajah Jerash, Kota a-Rabad, Ajloun dan juga Umm Qais memang memberi seribu satu rasa.

Terawang bagai kembali ke zaman Rom, melihat kota-kota kemegahan tersergam. 

Sekilas, batu batu buruk terhampar bertaburan. Tapi bukan batu itu dicari makna, tersiratnya perlu menerus fikir dan zikir.

Makhluk tiada ada apa hebatnya jika enggan mengaku bahawa yang sebenar punya Kuasa, punyai kekayaan itu hanya Allah yang Maha Esa.

* Jom manfaatkan cuti sebaiknya. Nikmat masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Ingat-ingat ye teman. Berjaulah dengan iman Insyaallah ada barakah menghujani.

0 ulasan: