23 Syawal 1432 / 21 September 2011

Saat tanah ini masih dijejak,
Hiruplah nafas sedaya mungkin,
Biar tak lelah,
Mengatur denyut buat melangkah.
Dengar,
Itu kicau alam,
Melambai megah,
Moga tiada yang gusar.

Peluklah rindu sehangatnya,
Air mata perlu,
Bukan untuk mencair diri.

Tataplah wajah-wajah itu, 
Sepuasnya teman, 
tetaplah tekad terus ditanam,
sesekali tiada dibiar rebah,
walau badai cita dan cinta mendatang.

Moga Tuhan terus ada,
mengawal perjalanan insan, 
musafir mencari nilai..

Biar sesak ada sendu, 
Namun, pasak kan terus kukuh..

Insyaallah !!!


22 Syawal 1432 / 20 September 2011


Biar berlinangan air mata,
Ku takkan hentikannya,
Biarkan ia menyembuh luka,
Hilang lah rasa duka..

Tidak ku termampu merentasi liku-liku,
Oh, sungguh ku tak mampu mnghadapi semua itu,
Oh sungguh ku tak upaya..

Jangan dibiarkan jerit perih kehidupan,
Bisa meleraikan iman,
Kan hancur semuanya..

Walaupun menitis air mata darah
Tak bisa merubah segalanya
Melainkan taubat nasuha,
Moga kan diterima..

Ya Rabbi.. Istajib dua'ana..

Namun ku percaya, masih ada kesudahannya,
Kerna Allah itu Maha Kaya Maha Mendengar,
Rintihan hamba-hambanya.

Kerana sesiapa, bertaqwa kepadanya,
Pasti akan ada jalan keluarnya.
Rezeki yang tidak disangka-sangka,
Cukup Allah baginya,
Berkuasa segala-galanya,
Terima seadanya..



Rintihan : Hijjaz

* Allah takkan pernah jemu mendengar.. DIA sebaik-baik tempat kembali, juga tempat segala rintihan didahulukan.

*Mencari nilai diri dan tekad. Hisabi dan muhasabah. Moga Allah selalu memandu jalan yang bakal dilalui dalam redaNya.

* Selamat KEMBALI KE SEKOLAH !!! Menuntut ilmu moga ada barakahnya..


16 Syawal 1432 / 14 September

Terkadang malas mahu menatap peti televisyen itu. Sesak. Tapi, perlu ku ketahui ragam manusia.

Mujur ada beberapa saluran yang benar-benar bermanfaat. 

Sesekali berebut alat kawalan dengan si bongsu, layan sajalah sang wonderpet, sang kembar Upin Upin, tak kurang sama ralit ke fiksyen Conan. [ tinggal dua beradik ni sahaja di rumah ]
Isu sekarang.

Tempias bahang merdeka, ramai mahu terkenal kot?

Ada benar? Ada fakta? Ada bukti ? Ada kenyataan? 

Butakah atau anda telah dibutakan oleh rasa hingga cerita karut marut telah ditambah. Seronoknya mencatat tinta sejarah baru dalam teks.

Barangkali penulis baru perlu dicari. Soalan-soalan sejarah PMR, SPM, STPM, mahupun teks-teks pengajian sejarah sampai PHD pun perlu dikaji semula.

Sempat lagi nak tukar semula kan!

* Kepong, jangan sampai anda terkepung di Bukit Kepong! 

* Kalau mahu merobek semula sejarah, usah pilih kasih mencari hanya sedap didengar mahupun dibaca.

*Benar-benar benci pada pengarut dan pereka cerita / sejarah. Juga seronok, ramai mula prihatin pada sejarah. Bukan mahu A+++ saja kan dalam sijil..

Ya Allah bukakanlah pintu hati mereka, campakkanlah hidayahMu pada mereka..


14 Syawal 1432 / 12 September 2011

Alhamdulillah, tiada lagi kesyukuran melainkan untuk Allah semata. Mengatur perjalanan manusia dengan sebaik-baik perancangan.

Mungkin hikmahnya masih belum tersingkap sepenuhnya.

Hampir sebulan bermukim di teratak kecil, di tengah kampung, sambil-sambil menikmati haruman kasih sayang keluarga yang tentu tiada nilainya. Perlu dihirup sepuas-puasnya, biar tak gundah dalam melangkah. Insyaallah sudah melimpah ruah.

Begitu cepat masa berlalu. Menimbang-nimbang, mencanai rasa, juga berfikir. Banyak perlu ku singkap sendiri kali ini.

Ya Allah, permudahkan cita-cita kami dan harapanku.

Benar, kepulangan ini banyak menguji. Hati, jua inspirasi. Semangat buat bekal, biar tak gundah melangkah terus.

Along ; masih ingat saat ini ?

................

Ayah long berkata, sewaktu menyambut detik awal jejakku di tanah air,

" Dua tahun, iya terlalu banyak yang telah berlaku.. Banyak peristiwa sudah berlalu"

Yang pasti titis jernih air mata pasti gugur tatkala bercerita tentang arwah. Oh, bagai mimpi mereka sudah tiada di sisi.. Memang, ada rasa kosong itu.

Syukur, Aidilfitri kali ini, sempat pulang menjenguk pusara arwah atuk, dan semestinya datuk moyangku, juga arwah abangku.. Bermacam rasa. Bersama meniti kisah dunia yang pasti takkan surut. 

Hati berdesir,
" Ulama itu, kami anak cucu hanya mengenang kehebatan, jua karamah yang Allah kurniakan.. Barangkali ada juga sudah lupa ceritera lama kebanggaan keluarga. Siapa yang mahu menghidupkan kembali? "

Memori lama kian terimbau. Menelusuri perjalanan kehidupan yang bukan sedinar saja harganya.

....................

Sahabat dan sahabiah di Jordan,

Pasti kalian sedang berperang dengan kelelahan, tidur yang entah bila lenanya, tenaga yang bukan sedikit telah terguna.

Maafkanlah diri ini tidak mampu bersama kalian, bersama menguntum senyum buat para tetamu Dataran Syam ini, bersama mengangkat bagasi, menunjuk jalan biar adik-adik jua tetamu kita tidak rasa keseorangan di tanah ini.

Mudah-mudahan, Allah memberi segala kemudahan, jua rasa nikmatNya yang tak terbilang dan terkata dengan bicara.

Resah, biar kita rasa bersama, walau bercerai jiwa, pasti akan ada kasih yang Allah bakal tautkan buat kita semua.

....................

Adik- adikku, jua sahabat, tetamu Dataran Syam yang dinanti..

Kembara ilmu ini pasti bernilai.. Usah sia-siakannya !

Kalian bakal penerus perjuangan Ilmu, membawa inspirasi Nubuwwah, biar bumi ini tetap ada penyubur penyambung perjuangan Baginda s.a.w.

Tanah berdebu ini, kalian baru jejaki, usah sedih, usah segan, usah takut.
Ikhlaskan niatmu, melangkah ke tanah ini, tanah juang para Anbiya' jua pejuang Agama Allah yang tidak pernah putus sejak ribuan tahun lamanya.

Tanah ini, bumi para anbiya', medan tempur syuhada' menyimpan sejuta rahsia. Hanya yang benar-benar mencari pasti ketemu emas, berlian yang tersimpan.

Kuatlah kalian, tabahkan hatimu, Allah pasti ada bersama mengiringi langkah kalian.

Ahlan wasahlan wa marhaban bikum ila ardil syam

 ...............................

* Barakallahulakum buat teman-teman yang sudah berikat setia, melafaz janji. Semoga impian syurga mawaddah wa rahmah baitul muslim kalian menjadi kenyataan.
* Selamat belajar, memulakan sesi pengajian bagi semua sahabat tolabul 'ilmi. [ Cemburu juga ramai teman sebaya sudah melangkah ke tingkat sarjana. Tak apalah, ilmu perlu dicari sampai ke liang kubur. Umur hanya angka kan! ]

* Yang sudah bekerja, mudahan bernilai ibadah.

* Semoga Allah memberi kemudahan atas semua urusan-urusan kita.

Ya Allah, letakkanlah dunia ini hanya di tangan bukan di hati kami ..