26 Rejab 1432 H / 28 Jun 2011


Mentari bangganya memancar,
Sekian lama ia teguh,
Bersaksi atas segala kisah ummat.

( Manuskrip Mushaf Al-Quran Andalus, kurun ke 12)

Hari ini,
Ku jejaki bumi Andalus,
Lewat bisikan hikmah,
Tunduk tafakur meratap.

( Empayar Cordova, tahun 1000 M, di zaman Al-Mansur )

Ku soroti kisah silam,
Berbagai warna dan rencah,
Diselit warna darah,
Calar basah,
Selaju air bah,
Mengalir,
Selebat air mata,
Jatuh menangisi alpa.

Ya Allah,
Ingatkanlah kami pada kisah,
Moga ibrah kemas tertancap,
Tak hilang walau jasad menyembah!

A later illustration, depicting the Jewish Soldiers fighting alongside the forces of Muhammed IX, Nasrid Sultan of Granada,
at the Battle of La Higueruela, 1431.

* Sumber Foto : Wikipedia

25 Rejab 1432 H/ 27 Jun 2011

Alhamdulillah ala kulli ni'amihi.

Bila disoroti kehidupan yang telah dilalui sepanjang permusafiran ke tanah ini. Terlalu banyak yang dapat dipelajari. Secara langsung dan tidak langsung.

Di samping menghadapi pembelajaran yang agak melaju semester ini, ia memberi satu rasa berbeza berbanding semester lepas. Sedikit-sedikit memberi nilai berlainan dari sebelumnya. Semakin mencerahkan diri dalam mengenal erti kematangan dalam berfikir dan setiap tindakan. Terkadang jerih pengalaman membuat kita selalu lupa apa yang ada pada kita. Seringkali dibiar emosi mencalar, hingga memakan diri sendiri.

Menghadapi muhadharah di tengah hari yang panas, sememangnya menuntut satu pengertian yang tidak sedikit. Namun, itulah cabarannya kan! Imtihan pun sudah bermula minggu ini. Bila diingat-ingat semula walaupun ada kalanya perit kehidupan yang dilalui, telah dititipkan pelbagai nikmatNya yang kebanyakannya jarang disedari.

Pengalaman belajar di Tanah Arab ini bukanlah sesenang dan apatah lagi sehebat di Malaysia. Realitinya, pembelajarannya adalah lebih tersusun dan praktikal. Tambah-tambah di Jordan dengan exam 3 kali sefasal. Memang agak memenatkan. Pergi jamiah dari pagi hingga ke petang. Rutin yang sama berhari-hari. Mungkin!

Renungkanlah kembali apa yang telah dilalui di sini, maka beruntungnya bagi sesiapa yang memanfaatkan masanya semasa waktu belajar ini.

Saya terfikir sejenak. Mungkin sahaja kaedah masih tradisi, mendengar dan mencatit isi-isi penting membuatkan kebiasaan akhirnya bertukar menjadi kebosanan. Terasa bagai masih di bangku sekolah. Betapa ruginya jika tidak memanfaatkan sebaiknya doktor yang mengajar saban hari. Belajar dengan pensyarah yang kesemuanya berpangkat PHD dalam bidang masing-masing. Pakar! Paling kurang, masing-masing sudah mempunyai buku nukilan sendiri. Kecil sekali bila berada di sisi mereka.


Walaupun demikian tingginya taraf mereka, perwatakan tetap sederhana. Lembutnya kami dilayan. Bagai ayah dan ibu yang selalu melambai di mata. Ya Binti, ya Bunayya... Aduh, selalu membuat hati menjejak pulang. Sahabat di Kuliyyah Syariah juga tidak kurang. Berdampingan dengan ulama besar, yang mungkin dilihat biasa berkemeja dan berkot kemas. Allah! Bertuahnya saya dicampakkan ke sini.

Sudah adatnya di rantauan, mahu atau tidak, perlu belajar untuk berdikari. Mua'llim sebagai penunjuk jalan, mendasarkan asas-asas yang wajib dipelajari, agar kita tidak tersalah catur dalam menetapkan kefahaman. Kelebihan berada lubuk ilmu, pusat segala pengetahuan usah disia-siakan. Jangan terlalu rigid hanya menatap nota belajar tanpa rasa ada kemahuan menambah dan merujuk kepada kitab-kitab asal dan yang berkaitan.

Berada di dalam sistem yang lebih berorientasikan peperiksaan, terkadang menggugat tujuan asal permusafiran ini. Belajar, terfokus kepada kehendak soalan bukan semata untuk ilmu. Alangkah ruginya apabila keihkhlasan yang cuba tertanam tergadai dengan hanya kiraan markah. Apakah gunanya markah tinggi melangit, menjadi kebanggaan namun tiada satu pun lekat di kepala, tidak terhadam baik melalui tingkah laku dan sikap. Tidak menafikan, kejayaan dan muaddal yang tinggi itu adalah 'booster' untuk wasilah yang lebih baik bagi peringkat yang akan datang, cuma lebih kesal jika ia sudah bertukar menjadi hadaf utama.

Yang lebih penting, keberkatan dari Dia itu yang lebih baik untuk didambakan.. Saya teringat kisah-kisah duka beberapa keputusan imtihan yang tidak begitu memuaskan pada semester lepas. Barangkali merasa kita ini siapa untuk diuji sebegitu, perlukah diperlakukan sedemikian. Walhal, mua'llim yang berada di depan itulah sebaiknya untuk ditekuni dan dihormati. Pesanan Dr Syafiq hari ini, menembus ke sanubari.

"Kamu mungkin boleh belajar dari orang yang kamu benci, akan tetapi kamu tidak akan belajar sesuatu dari seseorang yang kamu tidak hormati!"

Islam sendiri sangat menekankan adab-adab sebagai muallim dan muta'llim.

Tunggu untuk diamalkan sahaja. Sungguh, diuji dan teruji.

Mudah-mudahan Allah menetapkan kita untuk terus teguh di atas jalan ini. Tidak mudah tergugat dek badai yang mendatang. Juga sentiasa ingat dan sedar untuk terus bersyukur. Tetapkanlah kami untuk sentiasa termasuk di dalam golongan ini :

قليلا ما تشكرون


* Semangat BERSIH memBERSIH kekotoran Ijtima' yang semakin tenat. Mulakan dari golongan umara' moga tembus menikam ke jiwa ummat!

Ya Allah, perkenankanlah doa-doa hamba-hamba yang tulus berjuang di jalan jihad ilmu ini serta yang istiqamah mempertahan agamaMu untuk terus gemilang.

24 Rejab 1432 H / 26 Jun 2011

Soifi ini, tak ramai yang bermukim di dataran ini. Barangkali kerinduan, juga bermacam-macam misi dan tujuan, makin surut wajah-wajah anak musafir di perantauan.

Terkadang, rasa lemah datang menyapa. Sedih mahu mengalirkan air mata, tiada yang mahu berada di sisi. Namun, usah terasa lemah.

Kerana jika kita meletakkan Allah sebagai tempat sandaran yang terutama, Insyaallah pasti ada yang Dia bakal titipkan.


Mudah-mudahan madah-madah yang bakal saya sertakan di bawah mampu menyuntik sedikit tasyji kepada kita semua.

KATA - KATA HIKMAH KHULAFA' UR RASYIDIN

1) Abu Bakar r.a.

Orang yang bakhil itu tidak akan terlepas daripada salah satu daripada 4 sifat yang membinasakan, iaitu:
Ia akan mati dan hartanya akan diambil oleh warisnya, lalu
dibelanjakan bukan pada tempatnya.
Hartanya akan diambil secara paksa oleh penguasa yang zalim.
Hartanya menjadi rebutan orang-orang jahat dan akan dipergunakan untuk kejahatan pula.
Adakalanya harta itu akan dicuri dan dipergunakan secara berfoya-foya pada jalan yang tidak berguna.

2)Umar Al Khattab R.a.

Orang yang banyak ketawa itu kurang wibawanya.
Orang yang suka menghina orang lain, dia juga akan dihina.
Orang yang menyintai akhirat, dunia pasti menyertainya.
Barangsiapa menjaga kehormatan orang lain,
pasti kehormatan dirinya akan terjaga.

3)Othman Ibnu Affan R.a.

Antara tanda-tanda orang yang bijaksana itu ialah:

Hatinya selalu berniat suci
Lidahnya selalu basah dengan zikrullah
Kedua matanya menangis kerana penyesalan (terhadap dosa)
Segala perkara dihadapainya dengan sabar dan tabah
Mengutamakan kehidupan akhirat daripada kehidupan dunia.


4)Ali Karramallahu Wajhah R.a.

Tiada solat yang sempurna tanpa jiwa yang khusyu'.
Tiada puasa yang sempurna tanpa mencegah diri daripada perbuatan yang sia-sia.
Tiada kebaikan bagi pembaca al-Qur'an tanpa mengambil pengajaran daripadanya.
Tiada kebaikan bagi orang yang berilmu tanpa memiliki sifat warak
(memelihara diri dan hati- hati dari dosa).
Tiada kebaikan mengambil teman tanpa saling sayang-menyayangi.

Nikmat yang paling baik ialah nikmat yang kekal dimiliki.

Doa yang paling sempurna ialah doa yang dilandasi keikhlasan.

Barangsiapa yang banyak bicara, maka banyak pula salahnya,
siapa yang banyak salahnya, maka hilanglah harga dirinya,
siapa yang hilang harga dirinya, bererti dia tidak warak.
Sedang orang yang tidak warak itu bererti hatinya mati.

18 Rejab 1432 / 20 Jun 2011

Ini catatan yang tertangguh.

Dah lama terperap di ruangan draf. Moga-moga membasahi kembali jiwa dan roh yang kekeringan pengisian..

Di dalam kitabnya, Generasi Pemuda dan Perubahan, Almarhum Dr Fathi Yakan menceritakan bahawa persediaan untuk pemuda Islam bagi menghadapi cabaran dan melakukan perubahan Islam yang dicita-citakan sewajibnya menjadikan mereka mampu untuk membentuk 'Syahksiah Islamiyyah' seperti mana yang digambarkan dalam Islam.

Namun begitu, apa yang kita lihat hari ini sememangnya bertentangan dengan risalah Islam yang sebenarnya. Baik apa yang diamalkan oleh penganutnya, juga tidak kurang propaganda yang semakin hebat menyerang umat Islam. Malaysia juga tidak terkecuali.

Almarhum juga menerangkan persepsi buruk yang berlaku kepada Syakhsiah Islamiyyah dan persediaan yang mesti diberikan perhatian yang khusus oleh pemuda Islam ialah:-

1- Penguasaan Idealisme Negatif terhadap Islam

Ianya adalah pemisahan yang berlaku terhadap sebahagian pemuda Islam di antara idealisme yang berbentuk teori yang menjadikan mereka terlupa untuk mempraktikkan nya. Akibatnya tidak ada kesan langsung di bahagian luaran diri mereka.

Sebahagiannya pula menyepikan diri mereka di dalam kongkongan Idealisme yang menyebabkan mereka tidak akan sampai kepada kepada kehidupan realiti. Hasilnya, tenaga yang ada tidak dapat digunakan sepenuhnya dan dan lebih malang, hilangnya daya inovasi dan idea-idea baru.

Diriwayatkan sebuah kisah, di mana ada seorang muslim pada zaman Nubuwwah telah mengasingkan dirinya di atas sebuah bukit. Maka dia berjumpa dengan Rasulullah saw lalu baginda bersabda:

'Kesabaran seseorang dari kamu satu saat di suatu tempat jihad lebih baik daripada beribadat enam puluh tahun.'

Rasulullah saw tidak akan memilih antara dua, kecuali jalan tengah selagi ia tidak bertentangan
dengan syariat Allah. Antara wasiat Rasulullah saw yang masyhur:

‘Sedikit yang berterusan lebih baik daripada banyak yang berputus-putus.'

2- Penguasaan Teori ke atas Realiti

Selain itu, pemikiran statik yang sesuai @ tidak dengan waqi' (realiti) mahupun dengan realiti lain. Natijahnya, mereka akan terpisah itu dari realiti kehidupan, serta gagal dalam mengubah realiti (waqi'), kerana mereka tidak memahami atau mengkaji realiti yang sebenar. Perubahan Islam tidak mungkin tercapai melalui teori yang jahil dengan realiti dan mahupun dengan kekuatan-kekuatan yang menguasai suasana itu.

Kadangkala golongan ini menganggap kegagalan mereka sebagai takdir dari Allah, dan cukuplah hanya menjadi 'ghuraba' (dagang) pada akhir zaman dan berada di jalan 'haq' walaupun mereka tidak dapat menguasai kebatilan atau mengubahnya. Pada hakikatnya mereka tidak mengambil sebab-sebab serta tidak menggunakan sunnatullah yang ditentukan Allah untuk mencetuskan perubahan. Mereka menganggap sesuatu perubahan itu sebagai suatu keadaan mukjizat yang mungkin berlaku tanpa penat dan payah, seolah-olah mereka tidak mengambil ingatan terhadap firman Allah swt:

Menghubungkan sebab dengan musabab, serta menggunakan segala sebab yang ada khususnya dalam peranan penting seperti Perubahan Islam ini merupakan suatu kaedah asal dalam agama Allah yang tidak harus diambil mudah. Ini disebut sendiri oleh Al-Quran:

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah nikmat yang diberikan kepada sesuatu kaum melainkan mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka."8:53

3- Berlebih-lebihan sehingga mengatasi kesederhanaan

Gejala ini mungkin merupakan gejala yang paling merbahaya kepada harakah Islamiyyah malah kepada Islam sendiri.

- Kadang-kadang gejala ini wujud dalam skop keyakinan peribadi terhadap Islam, yang akan
membawa kepada 'ghuluw' (melampau). Rasulullah saw telah mengingatkan:

‘Sesungguhnya agama itu keras, maka masuklah kamu ke dalamnya dengan lemah-lembut.
Berjagalah! Binasa orang yang berjalan meraba-raba.’

- Kadang-kala gejala ini timbul dalam bentuk amal dakwah dan usaha menarik orang kepada Islam, yang membawa kesan sebaliknya. Ianya menjadikan orang bertambah liar bukan bertambah dekat. Ini adalah bertentangan dengan sunnah Rasulullah saw seperti yang ditunjukkan oleh al-Quran:

"Serulah (manusia) kepada jalan tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan berbincanglah (berdialog) dengan mereka itu dengan cara yang lebih baik." S 16.125

"Sekiranya kamu bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekeliling kamu." "Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mu'min." 9:128 -

Kadang-kala gejala ini timbul di dalam keadaan menghapuskan kemungkaran, samada secara serpihan (juzi'i) atau keseluruhan (kulli), iaitu sebelum cukup sempurna persediaan yang perlu untuk kerja tersebut. Maka ini menyebabkan harakah menerima 'mihnah' (tribulasi) dan cabaran yang lebih besar yang mana harakah Islam ini belum lagi bersedia untuk menghadapinya. Pada hakikatnya, gejala ini banyak mengandungi risiko terhadap harakah Islamiyah pada zaman sekarang dan terpaksa dibayar dengan harga yang mahal. Paling sedikit gejala ini akan melambatkan amal dan menghentikan perjalanan sama ada secara juzi'i atau kulli (separuh atau keseluruhan).

4- Penguasaan Juziyyah ke atas Kulliyyah

Gejala ini jug memburukkan wajah gerakan Islam dengan adanya sebahagian dari pemuda Islam yang hanya menekankan suatu bahagian tertentu dari Islam dan tidak memandang kepada sudut-sudut lain. Ada di antara mereka yang hanya menekankan kepada pakaian Islam dan apa-apa yang berhubung dengannya sahaja, atau yang lain menekankan soal janggut, tasbih dan kayu sugi (siwak) dan tidak yang lain, sedangkan sebahagian lain pula menekankan cara kekerasan dan kekuatan material dan tidak kepada yang lain, manakala yang lain pula menekankan kepada kehidupan secara rahib dan tasawuf, malah ada juga hanya menekankan fiqh dan tafaqquh. Kesemuanya mendakwa bahawa merekalah yang benar dan orang lain salah.

Sepatutnya dalam pentarbiyahan pemuda hendaklah ditekankan supaya mengambil Islam keseluruhannya dan sekaligus. Mengikut prioriti yang lebih perlu diberikan keutamaan serta meletakkan setiap perkara itu pada skop dan kedudukannya yang sesuai dengan kehendak syara'.

5-Penguasaan Peribadi ke atas Ideologi

Antara gambaran buruk lain ialah ikutan kepada peribadi, melampau dalam taksub kepada manusia di mana ada segolongan pemuda Islam yang taksub meletakkan kebergantungan mereka hanya kepada figur-figur tertentu bukannya kepada prinsip (mabadi'). Inilah sebab utama mengapa tidak ada penuh kesetiaan atau kepatuhan (wala') kepada Allah. Berpihak kepada puak, taksub kepada individu-individu dan nama-nama, bukannya kepada apa yang disyariatkan oleh Allah.

Kesan-kesan wujudnya gejala ini :

1. Berlakunya percanggahan dan pecah-belah dalam tubuh Harakah Islamiyyah

2. Timbulnya penyakit yang banyak dalam amal Islami serta banyak wadah dan bendera.

3. Rosaknya neraca hukuman syarak atau menghukum menurut kaca mata Islam, di mana taksub kepada individu dan hawa nafsu telah mengganti tempat yang sepatutnya diisi oleh taksub kepada prinsip dan nilai.

4. Mendedahkan mereka ke arah penyelewengan terus natijah daripada apa yang telah sebutkan di atas.

Mudah-mudahan kalian semua mendapat manfaat dari perkongsian saya kali ini.

* Rujukan : Generasi Pemuda dan Perubahan : Almarhum Dr Fathi Yakan

14 Rejab 1432 / 16 Jun 2011

Alhamdulillah, minggu pertama permulaan fasal telah berlalu.

Banyak peristiwa yang berlaku minggu ini.

Semalam, Gerhana bulan penuh. Teruja melihat satus fb teman-teman, saya selak langsir dari dalam bilik. Terlupa baru malam 14 Rejab. Nun di atas langit , sang bulan sedang mengalami fasa-fasa gerhana. Syukran binokular, membantu pengamatan dengan lebih jelas.

Ni gambar cerapan dari Malaysia. Tak tahulah ada ke tak warga Urdun yang merakam aksi ini.

Dq Jakim

Balai Cerap Dr. Rawi

Pesanan syariat juga tak harus diabaikan. Alhamdulillah, bagi mereka yang berkesempatan menunaikan solat sunat khusuf malam tadi.

Belek lagi FB hari ini. Waduh, ada cerita lagi hebat. Karikatur di Utusan. Hmm, bagaimana ya tanah airku. Sudah makin teruk nampaknya.

Moga-moga Allah memberi hidayah kepada mereka.

Jalan-jalan lagi, isu BERSIH 2.0 pulak.

Sungguh, kita bukan sahaja memerlukan manusia yang faqih agama, bahkan cakna akan isu sekeliling malah lebih baik mencanai kesemua kes yang berlaku mengikut pentafsiran yang betul melalui wasilah yang betul.

Islam, menuntut kita mengambilnya secara keseluruhan.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu. ( Al-Baqarah: 208 )


Inilah akibat yang terjadi. Kita semua harus mengambil peranan. Tidak kiralah anda berada di posisi bagaimanapun. Guna wasilah yang ada.

Walaubagaimanapun, menghadapi isu global yang tiada sempadan, jadikanlah peringatan Allah ini sebagai ingatan.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.
( Al-Hujurat :6 )


Semoga kita sentiasa ingat dan sedar. Ilmu yang menggunung andai tidak ada nilai faham dan sedar, bagai buih lalu di lautan. Jauhkanlah kami ya Allah!

Salam mujahadah buat teman-teman seperjuangan di seantero dunia. Warga Jordan, selamat bersemangat mengutip ilmu buat bekalan ke sana. Menjaga ahli kita dari seksa api Jahannam. Nauzubillah.

Akhir kalam, terimalah 2 rangkap pantun ( pantun ke, tak ikut skema DBP nih ).. Buat dicanai bukan semata dengan rasa.

.....................
Bila sesekali menerawang ke laman sesawang,
Terawang-awang melihat cerita yang tinggi mengawan,
Oh, sketsa kehidupan yang sudah jauh dari tuhan,
Bercakap mengikut rasa bukan dengan kefahaman..

Malam sudah gerhana memberi pedoman,
Hidupnya manusia dalam caturan,
Kalau sudah mahu melawan Tuhan,
Usah tunggu sana, sekarang pun boleh Dia bgi balasan.

Lupanya manusia sekalian,
Gerhana yang kerap itu juga tanda alam hampir ditelan!!!



7 Rejab 1432 / 9 Jun 2010


Senja berlabuh,
Segaris merah menyala,
Samar cahaya yang makin suram.

Hening petang yang berlalu,
Dihembus bayu,
Nyaman, sepikan gusar.

Lirik matamu,
Mengundang cerita,
Tidak satu bahkan beribu.

Aku tidak setegamu,
Tak jua mampu mentafsir,
Kalam bicaramu tetap segar,
Walau berbaur lesu,
Menggigit sanubari.

Allah,
Pemberi segala rasa,
Tak kurang segala peristiwa,
CaturanNya nafas kita.

Walau selalu sesak menikam,
Tidak pernah lupa utusanNya,
Juga kiriman cintaNya,
Mengalir syurga rindu,
Sesekali tiada pernah berhenti,
Pasti wangiannya akan terus tersebar,
Walau garis duka,
Mencoret hati.

Moga tetap teguh,
Menghirup kasih sayangNya!

Allah maa'k ya ukhti mahbubah!


6 Rejab 1432 / 8 Jun 2011

Hari cuti yang sedang dilalui berlalu dengan pantas. Ditambah dengan waktu cuti terpendek yang pernah dilalui. [ hmm, jamiah mengawalkan buka dan akhir semester menyebabkan banyak perancangan berubah dari apa yang dijangkakan.. Apapun , Alhmdulillah,boleh la bermukim lama sikit di tanah air..Insyaallah ]

Imtihan sudah berakhir, kepimpinan baru pun sudah mengambil alih tanggungjawab. Semoga Allah memberi nusrah kepada mereka untuk melaksanakan tallifat ini dengan sebaiknya. Apapun, sebagai rakyat yang berada di bawah , bukan setakat sokongan kata perlu dihulur, dokongan dengan tenaga jua khidmat perlu diteruskan bagi mencapai visi dan misi bersama. Takkan dilupakan segala khidmat dan jasa sahabat-sahabiah sesi lalu. Allah sahajalah yang lebih layak membalasnya.

Bermacam aksi dan cerita telah dirasa bersama. Ada masam, ada manis, ada pahit, tak kurang juga masin. Cerita senyum dan air mata kemas dalam ingatan.

Semester ini, ramai sahabat-sahabat senior telah menamatkan pengajian. Khirij dengan meninggalkan pelbagai kenangan. Oh, angah sudah mahu pulang ke Malaysia. Sedihnya.

Soifi ini juga,ramai yang pulang ke Malaysia. Tak sabar rasanya menunggu waktu itu tiba. Mu'tah juga semakin sunyi. Bulan Rejab, usah lupa sedang melaluinya.

Menunggu Ramadhan yang bakal menjengah, menggamit kerinduan yang tidak bertepi. Ya Allah, pertemukanlah kami dengan Ramadhan..

* Rindu tak bertepi mula singgah. Rindu ada keluarga, pada ahli keluarga yang sudah pergi, rindu pada semua teman-teman seperjuangan.

* Ramai sudah bertukar status, tahniah ya kalian. Semoga Allah memberkahi impian syurga mawaddah wa rahmah kalian. Tak putus-putus ku terima perkhabaran. Barakalllahulakum wa baraka alaikum wa jama'a alaikum fil khair..

Sayonara syita'.. melalui rabi'... merintis soifi