17 Rabiul Awal 1432 / 22 Mac 2011


Allah, Allah, Allah. Maha Suci .. Maha berkuasa ke atas alam ini. Tiada satu pun yang mustahil baginya..

Alhamdulillah, masih lagi diberi peluang olehNya untuk mencoret di sini. Hampir dua bulan menyepi.. Sepanjang itu, banyak peristiwa yang berlaku. Amat pantas dan silih berganti.

Mesir sudah kembali reda. Sahabat-sahabat pun sudah ramai yang kembali ke Ardul Kinanah. Yaman, Libya, Bahrain, terkini Syiria semakin meruncing.

Allah, Allah, Allah.

Jepun dilanda gempa bumi yang menyebabkan tsunami setinggi 10 meter. Habis meranapkan bangunan, tanah-tanah.. Lebih dahsyat,pusat janaan elektrik berasaskan nuklear meletup dek tempias gempa. Fukushima, dalam waspada radiasi. [ seakan kesan peristiwa letupan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki, ketika perang dunia ke-2, dan letupan pusat Janaan Nuklear di Rusia yang pernah meletup pada tahun 1986 akan kembali ]

Libya, ibarat dilanda perang dunia ketiga, tatkala pemerintah menyerang rakyat,. mengepung dan mengebom rakyat yang menentang, datang pula hujanan bom dari US dan Britain - khabarnya ada juga negara Arab yang ingin sekutu - kononnya membantu atas dasar membawa keamanan semula kepada Libya.

Allah, Allah, Allah,
Siapa tahu agenda sulit mereka. Bayangkan lebih seratus butir misil Tomhawk dipandu ke Libya - kononya tempat strategik bagi tentera Gaddafi.. - tidakkan mustahil rakyat yang tidak bersalah akan turut jua terkorban. Infrastruktur yang sedia ada juga pasti akan mengalami kemusnahan dan kerosakan. Mahu membina semula negara setelah musnah, bukanlah sesenang kata!

( Ingat negara Islam ni medan latihan perang Armegeddon ke?! )

Ahad lepas, melihat satu sisipan berita ( Berita Minggu ) yang disebar melalui facebook seorang teman lama, saya kembali teringat teori yang pernah Ustaz Mohd Nor utarakan semasa kelas falak 6 tahun lepas [ tingkatan 4 rasanya ].

Baca berita ini dahulu : )


Gempa Jepun ubah landskap, diramal cetus Zaman Ais baru


BELUM pun igauan ngeri tsunami yang melanda Aceh pada 26 Disember 2004 terhapus sepenuhnya, kita dikejutkan sekali lagi kehadiran bencana yang melumpuhkan Jepun dalam sekelip mata, minggu lalu.

Bermula dengan gempa bumi berukuran 9.0 pada skala Richter jam 2.46 petang waktu tempatan, tsunami pula menyerang dengan kelajuan kira-kira 800 kilometer sejam dengan ketinggian ombak mencecah 10 meter. Malah ketika rencana ini ditulis, selain berdepan ancaman gempa susulan, Jepun turut dihimpit krisis mengawal kebocoran radiasinya apabila tahapnya 10 kali ganda lebih tinggi daripada biasa, berikutan impak gempa bumi kategori mega itu. Lebih menyayat hati, harapan menemui mangsa yang terselamat terus pudar dengan angka korban dan mereka yang hilang, lebih 12,000 orang.

Namun, hakikatnya, gempa bumi terbesar di Jepun dan kelima terbesar dalam sejarah dunia itu bukan hanya menambah fakta mengenai bencana tetapi turut mengubah landskap dan perjalanan bumi ini.

Di Jepun saja, gempa itu menyebabkan Kepulauan Honshu, yang juga bahagian paling besar di negara itu, berganjak sehingga 2.4 meter.

Tidak cukup itu, paksi bumi pula menyendeng 25 sentimeter dan mempercepatkan kadar putaran bumi lebih sejuta mikro saat.

Perubahan lain termasuk sejumlah kerak bumi jatuh menjunam ke dalam retakan atau rekahan sepanjang 402 kilometer yang membuka jurang seluas 9.6 kilometer di bawah Lautan Pasifik. Impak ini seperti diakui saintis Itali dan Amerika Syarikat sebagai lebih besar berbanding gempa bumi yang melanda Sumatera, sebelum ini.

Pakar fizik di City College of New York di Amerika Syarikat, Michio Kaku, pula melontarkan andaian kemungkinan gempa kuat yang mengubah paksi bumi boleh menjadi punca berlakunya Zaman Ais.


“Impak gempa bumi 9.0 dalam kategori mega itu turut menyebabkan pengagihan semula sejumlah besar kerak bumi, memendekkan hari, selain mengubah paksi bumi dan mempercepatkan pusingan.


“Namun, ketika kepantasan putaran bumi dijangka tidak memberi kesan jangka sederhana atau panjang, perubahan paksi mungkin ada impaknya, termasuk menjadi punca pembentukan Zaman Ais.

“Masih ada perdebatan saintifik mengenai apa yang menyebabkan zaman itu tetapi teori utama ialah gangguan kecil pada paksi bumi ketika ia mengelilingi matahari. Perubahan kecil ini yang menggoyangkan paksi dan mungkin menyebabkan Zaman Ais,” kata Kaku yang dipetik media antarabangsa, baru-baru ini.

Zaman Ais atau tempoh glasier ini berlaku secara tidak tetap sejak lebih dua bilion tahun. Pada zaman Ais, lapisan ais terbentuk di sebahagian besar benua atau muka bumi ini dan biarpun punca sebenar perubahan dunia itu tidak diketahui, ada saintis yang mengaitkannya dengan perubahan putaran bumi.

Selain itu, pakar geofizik Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA), Richard Goss, pula berkata, perubahan yang menyebabkan putaran bumi pada kadar 1.8 juta setiap saat atau 1.8 mikrosaat, adalah satu isu kekal yang perlu dihadapi manusia sejagat.

Saintis Britain, Bethan Harris, sebaliknya menyifatkan impak itu sememangnya ada tetapi amat minimum.

“Ia kedengaran banyak tetapi kecil berbanding saiz bumi. Perubahan satu darjah paksi bumi bermakna ia bergerak kira-kira 110 kilometer.

“Bagaimanapun, ia tidak berhenti di situ. Bentuk muka bumi Jepun bergerak sebanyak empat meter. Selepas gempa bumi itu, berkemungkinan hari yang kita lalui 1.8 juta sesaat lebih pendek disebabkan perubahan itu.

“Kita dapat melihat perubahan itu dalam purata panjang hari disebabkan perubahan lain di bumi dan atmosfera,” katanya.

Seorang lagi pakar geofizik Barat, Richard Gross, pula berkata paksi Bumi tidak sama dengan paksi utara-selatan di ruang angkasa yang berputar sekali sehari pada kelajuan kira-kira 1,604 kilometer sejam.

Hakikatnya, ini bukan kali pertama gempa bumi besar mengubah tempoh sehari bumi iaitu 24 jam. Malah ia semakin pendek disebabkan gegaran kuat sebelum ini. Buktinya, gempa bumi berukuran 8.8 pada skala Richter di Chile tahun lalu turut meningkatkan putaran bumi dan memendekkan hari kepada 1.26 mikrosaat manakala gempa bumi 9.1 pada skala Richter di Sumatera pada tahun 2004 memendekkan hari kepada 6.8 mikrosaat.

Apa yang membimbangkan, ada kalangan saintis ini turut mendakwa impak gempa bumi di Jepun itu mungkin belum lengkap sepenuhnya kerana gegaran susulan yang lemah turut berupaya mengubah panjang hari. Sekurang-kurangnya 20 gegaran susulan berukuran antara 6.0 pada skala Richter atau lebih dilaporkan berlaku.

Pakar gempa bumi Tinjauan Geologikal Amerika Syarikat, Dr Daniel McNamara, juga memberi amaran gegaran itu menenggelamkan paras bentuk muka bumi Jepun dan menjadikan sebahagian negara itu kekal di bawah paras laut.

Lima bandar zon gempa

Gempa bumi Jepun minggu lalu turut mendedahkan risiko yang boleh dialami bandar berpenduduk padat terutama di kawasan berisiko tinggi seperti di sepanjang garisan gelinciran.

Berikut lima bandar raya paling berisiko dilanda musibah dahsyat disebabkan kedudukannya yang mana tiga daripadanya di Amerika Syarikat.


  • Tokyo, Jepun
    Wujud betul-betul di persimpangan tiga plat tektonik iatu Plat Amerika Utara, Plat Filipina dan Plat Pasifik. Sejarah panjang ibu negara Jepun itu dan biasa dilanda gempa bumi mendorong bandar raya berkenaan membina perlindungan tektonik ke paras maksimum. Ia juga dikatakan bandar raya paling bersedia di dunia untuk berdepan musibah gempa bumi.
  • Istanbul, Turki
    Gelinciran Anatolian Utara adalah terpanjang di dunia tetapi bandar raya yang menempatkan prasarana lama dan moden itu mendedahkan 13 juta penduduknya dalam risiko tinggi.

    Gegaran berukuran 7.4 pada skala Richter yang melanda Izmit, 101 kilometer dari Istanbul pada 1999 menjadikan bangunan abad ke-20 yang selalunya dibina dengan konkrit bercampur air masin selain tidak menghiraukan kod bangunan, rebah menyembah bumi yang meragut kira-kira 18,000 nyawa.
  • Seattle, Amerika Syarikat
    Berdepan ancaman gempa bumi besar dan letusan gunung berapi Rainier. Ia terletak di atas sempadan tektonik aktif di sepanjang Plat Amerika Utara, Plat Pasifik dan Plat Juan de Fuca. Pemandangan menakjubkan Gunung Rainier sekadar memberi peringatan yang ia adalah gunung berapi ‘tidur’ atau senyap yang boleh mengatasi Gunung St Helen pada bila-bila masa.
  • Los Angeles, Amerika Syarikat
    Sejak lebih 700 tahun lalu, gempa bumi kuat melanda wilayah berkenaan setiap 45 hingga 144 tahun. Gempa bumi besar terakhir berukuran 7.9 pada skala Richter berlaku 153 tahun lalu. Dalam erti kata lain, Los Angeles cuma menanti masa untuk digegarkan dengan satu lagi gempa besar. Gempa bumi seterusnya akan memberi impak buruk, termasuk memberi kesan kepada keseluruhan California Selatan yang didiami penduduk sekitar 37 juta. Bencana alam besar boleh membunuh antara 2,000 dan 50,000 penduduk dan menyebabkan kemusnahan bernilai berbilion dolar.
  • San Francisco, Amerika
    Mempunyai cuma 800,000 penduduk, San Francisco ialah satu lagi bandar raya besar di sepanjang pantai barat Amerika Syarikat yang boleh musnah akibat gempa bumi dan tsunami besar. Ia terletak berhampiran bahagian utara Gelinciran San Andreas. Ada beberapa gelinciran kecil yang terletak di seluruh bandar raya itu, meningkatkan kemungkinan gempa bumi dahsyat akan berlaku.

  • ( Berita Minggu , 20 Mac 2011 )

    .............................................

    Kenapa saya bicarakan ini.

    Sebenarnya paksi bumi sememangnya sudah semakin condong ke bawah setiap tahun. Namun, kadar darjah perubahan yang berlaku amatlah sedikit dan tidak terlalu memberi kesan kepada peredaran dan putaran bumi.

    Jikalau dikira kadar darjah paksi bumi yang sudah semakin condong ke bawah, kemungkinan untuk paksi bumi benar-benar turun ke bawah ( yakni terbalik dari paksi sekarang ( yang utara berada di selatan dan selatan berada di kedudukan utara ) masih lagi berbaki lebih kurang 70 tahun atau lebih dari sekarang..

    Apa maknanya kalau paksi terbalik?

    Jikalau dilihat pada struktur georafi bumi, 2 tempat yang di'saluti' ais ialah di bahagian kedua-dua kutub Utara dan Selatan. Walaubagaimanapun, masih terdapat penduduk di sebahagian tempat di kutub utara berbanding Antartika. Benua ais yang langsung tidak berpenghuni.

    Hakikatnya, ais lebih ringan dari daratan, [ kurang tumpat dari air ]. Ditambah kepadatan manusia yang mendiami bahagian utara bumi ( bahagian atas ) , serta bermacam jenis pembangunan dan aktiviti yang berlaku kepada struktur kerak bumi, menjadikan bahagian sebelah Utara bumi adalah lebih berat berbanding bahagian tapak/bawah. Maknanya, bumi kita ini berada dalam keadaan yang amat tidak stabil. Di samping bahan galian yang terdapat di dalam perut bumi, sudah hampir habis dikeluarkan, menyebabkan ia sudah tidak upaya untuk menetapkan paksi.

    Apa hikmahnya wujud galian di dalam kerak bumi? Saya pernah terbaca@ mendengar, sebenarnya hasil galian yang berada di dalam plat kerak, membantu paksi bumi berada tetap pada kedudukannya.

    Cuba anda bayangkan sebuah bola di mana ada bahagian pasir di bahagian atas bola [ bahagian berat ]. Apa yang akan terjadi seandainya kita lepaskan bola itu. Semestinya bola itu akan terbalik bagi menetapakan kembali kestabilannya.

    Perkara itulah yang juga akan terjadi pada bumi. Bumi kita bulatkan! Ke empat segi?

    Jikalau gempa kali ini, paksi sudah beralih semakin condong 25 darjah, putaran semakin cepat [ yakni hari semakin pendek ], plat bumi beralih kedudukan dan berubah tempat. Ahli kaji bumi juga telah meramalkan akan ada kesinambungan gempa-gempa bumi juga letusan gunung berapi. Tidak mustahil, kadar kestabilan bumi akan hilang dengan sekelip mata..

    Apa yang akan terjadi waktu itu?

    Menurut ustaz, pada masa bumi sudah terbalik, tidak mustahillah untuk berlaku antara tanda besar kiamat iaitu, terbitnya matahari dari arah barat. Waktu di mana pintu keampunan sudah tertutup. Alangkah celakanya bagi sesiapa yang masih hidup ketika itu.

    Allah, Allah, Allah..

    Bumi sudah sangat-sangat tua. Hanya menunggu masa dan ketika.

    Allah, Allah, Allah!

    Semamangnya kita sedang melalui fasa tanda-tanda akhir Kiamat. Beruntunglah bagi sesiapa yang mengambil iktibar di atas semua petunjuk yang dititipakan Dia kepada kita..

    *catatan bagi suatu ingatan lama, andai ada kesalahan fakta, mohon sahabat-sahabat membetulkan.

    *Ilmu sains, jika disuluh berpandukan iman, tak sedikit iktibar yang boleh kita kutip.

    * Mohon doakan bumi Jordan ini. Moga pemerintahnya insaf dan ingat.. Kalau tak mahu ambil pengajaran dari apa yang berlaku pada jiran, tunggulah kebinasaan. Allah akan memberi jalan pada kebenaran walaupun payah.

    * Tanah air tercinta, kalau masih degil keras hati, tunggu sahaja kebangkitan rakyat. Bermain kotor duniawi. Kamu tidak ke mana.