12 Zulhijjah 1432 / 8 November 2011


Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar. Walillahilhamd.

Takbir bergema memecah keheningan malam yang semakin sejuk. Angin malam menderu, menampar-nampar jaket yang dipakai. Barangkali mahu hujan.

Bersemangat keluar bersama ahli bayt, meredah hiruk pikuk pekan kecil yang kelihatan meriah. Pakcik mak cik Arab pun bawa keluarga shopping raya. Ada jualan murah kot .. :)

Ada bermacam rasa, bermacam cerita, bermacam peristiwa. Setiap orang pasti berbeza.

Solat 'Isya' berjemaah bersama, beralun irama takbir barangkali ada jiwa yang tersentuh. Siapa yang tidak rindu keluarga dan tanah air. Cuma, barangkali sudah kali ketiga disambut di perantauan, terasa sedikit lali.

Tidak sedar, bila titisan jernih dari langit turun mendinginkan lagi bumi. Mungkin dipanaskan dengan padatnya PUKSMA. Alhamdulillah, semoga tidak kosong diri dengan nasihat dan pedoman. Taujihat dari sahabat-sahabat yang bakal pulang, membasahi benak fikiran. Perkongsian 'ibrah haji dan pengalaman mereka, memujuk rasa hati. Bersabarlah, semoga Allah menyampaikan juga kami para akhawat ke Haramain, meneguk Rindu beribadah di bumi Barakah, mengutus salam secara terus kepada Rasulullah, di pinggiran Raudah. Apa yang lebih mengharukan, menjejak kaki di tanah yang pernah menjadi saksi perjuangan baginda. Subhanallah.. Ya Allah, sampaikanlah kami sebelum mata ini dipejam buat selama-lamanya.

.............................

Lihat, Rancang dan Memberilah!

Melihat bahan mentah yang bergelimpangan di sudut dapur, mula merancang tindakan yang perlu. Apa yang penting, rencana harus segera siap, tatkala malam pun sudah semakin tua.

Jangan tiru aksi ini di rumah atau di mana sahaja!
Syukur, Allah memudahkan segala urusan kami berlima, sambil dalam diam semua berdoa, moga perjalanan esok hari berjalan sebaiknya.

Subuh itu, sayup kedengaran suara takbir memenuhi ruang angkasa. Allah, Allah, Allah.. Agungnya Kuasa Allah. Masih menitipkan nyawa bagi meneruskan kehidupan.

Sang khatib bersemangat berkhutbah di Mimbar. Meresapi hati-hati yang basah. Mungkin ada yang mengimpi berada serta menghayati khutbah hari Eidul Adha di samping Baitullah, di samping melaksana rukun dan kewajipan haji. Namun, apakan daya. Takdir Allah lebih sempurna mengatasi perancangan manusia. Insyaallah, ada rezeki yang lebih baik bakal dikurniakan.

[ Agak ramai jemaah syabab tahun ini berbanding sebelumnya. Tiada rezeki untuk pelajar Malaysia-Jordan sama-sama berangkat ke Tanah Suci lantaran keterhadan visa akibar qarar baru yang digariskan pihak Jordan. ] 

Sabar ye syabab..

Pulang dari masjid, bermulalah aktiviti ziarah dan terjah. Semestinya Bayt Fuqaihah di hujung kampung Mu'tah menjadi tumpuan setiap tahun. Almaklumlah, banglo comel itu paling dekat dengan masjid. Kedatangan kami disambut dengan beberapa ekor kambing yang bakal ditumbangkan bagi melengkapkan ibadah korban adik beradik seJordan. Alhamdulillah. Tuan rumah senyum mesra girang. Adik beradik yang paling banyak memahami, berkorban, memberi dan berkongsi. Merekalah!

Allah mengira setiap  titisan darah, peluh jerih perit yang jatuh keranaNya. Mudahan penghapus segala dosa dan noda.


Nasi dagang pelengkap selera,
Menggamit imbauan keluarga tercinta,
Walau rindu masih membara,
Cukuplah sebagai peneguh cita.

[ Jazakumullahu khairan kathira ye ahli Bayt Fuqaihah, Bustan dan Underground]

Bermacam cerita, berkenalan dengan adik-adik junior, memesrakan dan membungakan kembali ukhuwwah. Mahalnya kasih saudara seIslam, kuatnya ikatan ini, berharganya masa itu, semua dalam perhatian Allah yang Maha Pengasih juga Penyayang.

Tiadalah kegembiraan yang paling besar, tatkala sahabat-sahabat memberi salam, melangkah masuk ke rumah, dengan penuh senyuman. Tiada kata, hanya tahmid yang perlu sentiasa diucapkan, menitipkan kami rasa bahagia itu.
Comel tak kami. Nama kami kuih seri ayu @ puteri ayu la. Bukannya KUIH HIJAU.. alahai!
Hidangan sekadarnya sama-sama dicicipi, mudahan mengalir segala kasih sayang, penguat lagi ikatan saudara antara kita. Mudahan segala yang kelat mahupun pahit, hilangkan ia dengan lafaz kemaafan dan keredaan.

Sucinya hari ini, jangan sekali kita rosakkan. Teruskan anjuran agama, memurnikan saat yang dilalui.

Moga segala amal yang kita lakukan, terpandang bernilai di sisi Tuhan dan ahli langit. Insyaallah

Salam Aidil Adha, Kullu 'Am wa Antum Bikhair. 

Salam kemaafan, dan juga semestinya Salam Kerinduan buat ahli keluarga tercinta di Tanah Air.

..............................

* Moga teman-teman tak segan lagi untuk bertandang. Bayt kami sentiasa terbuka menyambut kunjungan kalian.

* Warna warni cerita Mujahidah Penjaga Kambing vs Skuad Tangkap Kambing. Semoga segalanya bernilai Ibadah.

Hurm, kisah anak perantau ini seringkali tak terbayang di minda. Serba serbi ada!


0 ulasan: