8 Zulhijjah 1432 / 4 November 2011

Ilmu falak direbut oleh peserta negara luar

Kursus Sijil Tinggi Falak Peringkat Serantau kali ke 2 anjuran Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah disertai oleh para peserta dari negara MABIMS iaitu Malaysia, Brunei, Republik Indonesia dan Singapura.

Kursus yang bermula pada 10 Oktober 2011 dan berakhir pada 28 Oktober 2011 telah mengumpulkan seramai 31 orang peserta yang terdiri daripada 3 orang peserta dari Indonesia, 2 orang peserta dari Singapura, seorang dari Brunei Darussalam dan 25 orang dari Malaysia. Mereka adalah antara yang merebut peluang keemasan dan bakal dianugerahkan Sijil Tinggi Falak Serantau oleh Jakim.

Y.Bhg. Datuk Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah Jakim telah meraikan para peserta dalam Majlis Ramah Mesra dan penyampaian sijil pada 25 Oktober 2011, jam 9.00 malam bertempat di dewan makan ILIM.

Kursus Sijil Tinggi Falak ini diadakan adalah bertujuan untuk memantapkan pengetahuan mengenai nas-nas syarak berkaitan falak, teori asas peredaran objek samawi (khususnya bumi, bulan dan matahari) dan konsep taqwim hijri, waktu solat dan arah qiblat dikalangan pegawai-pegawai falak terlatih.

Selain itu, kursus ini dapat meningkatkan kemahiran penyediaan taqwim hijri, waktu solat dan qiblat dari aspek hitungan dan pengendalian peralatan. Di samping itu, ilmu yang dikongsikan di dalam kursus ini dapat memberikan pendedahan secukupnya mengenai aplikasi-aplikasi terkini dan cara pengoperasian bagi kegunaan lapangan. Malah yang paling menarik, para peserta dapat melihat serta menghayati kebesaran Allah melalui aktiviti cerapan bintang dan cekerawala.

Para pensyarah yang terlibat merupakan pakar dalam bidang falak iaitu Prof. Dato’ Dr. Hj. Mohd Zambri Zainuddin (UM), Prof. Madya. Dr. Mat Rofa Ismail (UPM), Dr.(H) Kassim Bahali (Jab. Mufti Melaka), Dr. Azahari Mohamad (JUPEM), Tuan Haji Mohamad Saupi Che Awang (UTM) dan Tuan Haji Hanafiah Abd Razak (Jab. Mufti Johor). Turut diundang pegawai Jakim iaitu Ustaz Mohamad Zakuwa Rodzali dan Ustaz Shahril Azwan Hussin.

Selain sesi kuliah, aktiviti praktikal seperti mempelajari penentuan arah kiblat serta penentuan waktu solat melalui bayang matahari turut diadakan untuk menambah kefahaman. Sepanjang tempoh kursus berlangsung, para peserta telah dibawa melawat ke Balai Cerap Al-Khawarizmi, Melaka, Balai Cerap Sabak Bernam, Selangor serta Baitul Hilal, Teluk Kemang Port Dickson, N.Sembilan untuk menyaksikan kerja-kerja cerapan dilakukan.

Malah apa yang menguntungkan lagi ialah para peserta berpeluang meningkatkan pengetahuan serta menambah rangkaian kenalan ahli falak ketika menyertai Konvensyen Falak Peringkat Negeri Selangor yang diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam pada 15 Oktober 2011 yang lalu.



Mudah-mudahan suatu hari nanti saya juga akan ada di kalangan mereka..
Alangkah seronoknya jika sudah pakar. Kendalikan alat sudah tiada lagi masalah !
Setiap orang pasti ada persepsi masing-masing setelah melihat ini. [ KOSMIK 11, ada komen selepas lihat dengan mata sendiri? ]
Aplikasi Teodolit
:)
Ahli falak Aspirasi Ummah :)

 

Sumber : Web JAKIM

 

0 ulasan: