6 Ramadan 1432 / 6 Ogos 2011

Alhamdulillah, Alhmdulillah, Alhamdulillah.

Tiada nikmat terindah selain untuk terus berada di bawah naungan nikmat Iman dan Islam. Puasa pun sudah meniti hari keenam. Mudah-mudahan, tetap diberi kekuatan untuk terus istiqamah meneruskan amalan. Tawaran hebat yang sangat rugi jika dipandang ia sebelah mata.

Peluang ini hanya sekali dalam setahun.

Daripada Sahl bin Sa'ad berkata: Bersabda Nabi s.a.w. Sesungguhnya di syurga ada pintu yang bernama ar-Rayyan tempat masuk orang-orang yang berpuasa di hari qiamat. Tidak dapat masuk daripada pintu itu kecuali orang yang berpuasa, dipanggil oleh penjaganya: Dimanakah orang “ orang yang telah berpuasa? Dan tidak dapat masuk ke situ kecuali mereka yang berpuasa sahaja, dan jika semuanya telah selesai masuk, maka pintu itu ditutup, dan tidak masuk melaluinya melainkan mereka yang berpuasa sahaja. ( Riwayat Imam Bukhari dan Muslim )

Entahkan mampu bertemu lagi di masa akan datang. Entahkan mampu sampai ke penghujung?

Bulan puasa yang mengajar erti mujahadah. Bukan alasan untuk mengurangkan produktiviti . Teringat pesanan Us. Dr Tolib Surairah semalam, sepatutnya di bulan puasa ini lah kita semakin rajin untuk meningkatkan ibadah. [ Hmm, fasal soifi diawalkan pun disebabkan nak mengelakkan Ramadan ] Bayangkan, banyak pembukaan negara-negara Islam dilakukan dalam bulan Ramadan. Bulan yang memberi motivasi dan semangat perjuangan. Bukan alasan untuk meniadakan kelas hatta Ramadan sekalipun. Bagaimana pula tahun hadapan? Takkan fasal semakin awal, almaklumlah, setiap tahun tarikh bermulanya Ramadan semakin awal..

Tidak dinafikan, bahang keletihan pasti dirasakan. Lebih kurang 15 ke 16 jam berpuasa, pasti boleh menjadi satu cabaran yang besar. Namun, fikirkanlah kembali, memadaikan keletihan puasa dengan hanya tidur atau hanya berehat dan bermalasan sahaja?

Daripada Anas r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: Hendaklah kamu semua makan sahur, sesungguhnya dengan bersahur itu akan beroleh keberkatan.
( Riwayat Imam Bukhari dan Muslim )

Sahur, bukan amalan adat, bahkan sunnah yang sangat dituntut oleh Rasulullah s.a.w.

Zaman dahulu, secicip tamar dan seteguk air, sudah memadai buat bekal sepanjang hari jihad, inikan pula di zaman kita, makanannya melimpah ruah, pelbagai adakah masih tidak cukup untuk membekali puasa seharian?

Seperti mana yang disebut oleh Us Azhar Idrus, di Himpunan Remaja Ramadan sempena Qaryah Ramadan petang 4 Ramadan lalu, kurang ertinya puasa jika kita tidak merasa letih @ lapar @ yang sewaktu dengannya.Usah merasa hebat jikalau kita dapat berpuasa dengan aman dan tenang. Kerna hikmah puasa itu sendiri adalah supaya umat Islam merasa keletihan dan kelaparan sebagaimana saudara-saudara kita yang miskin dan kebuluran.Supaya kita menilai sendiri bagaimana kita jikalau di tempat mereka.

Allah, Allah, Allah..

Sangat beruntung bagi sesiapa yang berjaya memahami dan mengaplikasikan hikmah dan tuntutan puasa. Bulan bukan hanya untuk ibadah kita semata, bahkan terisi di dalamnya jalinan antara manusia jua sebagai hamba.

Bulan pencetus, membersih kekalutan diri yang telah ternoda di bulan yang telah berlalu.

Bak kata Wardina Safiyyah kepada puterinya, Amna: Bagaimana jika kita masih terus bermalasan atau masih lagi terlekat dengan amalan buruk. Tika bulan dibelenggu syaitan ini, masih lagi berbuat kepelikan, hisabilah, tiada yang lain pencetusnya. Kitalah jua yang membuat perkara itu. Malulah, pada Tuhan, masihkan mencari alasan untuk terus berbuat dosa?

Kita hanya insan, menumpang di pinggir kasihNya, Tatkala dihamparkan seluruh kasih dan cintaNya, kemurahanNya, keampunanNya, masihkah ada lagi hambaNya yang bongkak mahu mendabik dada?

Mendidik anak-anak juga perlu dengan kefahaman, bukan semata-mata ikutan. Jikalau tidak, tidaklah syarat Faham itu diletakkan oleh Imam Hassan al-Banna dalam Rukun Baiahnya yang sepuluh itu. Berpuasa, solat dan sebarang ibadah lain. Perlu dengan kefahaman. Barulah segalanya akan lekat menjadi darah daging.

Islam, bukan sekadar anutan, bahkan meresapi dalam setiap titis darah, menjadi denyut nadi dalam kehidupan kita.

Mudah-mudahan, sifat sabar membawa kepada thabatnya kita mengaplikasikan Islam jua menegakkannya di atas muka bumi ini. Juga biar teguh sebagai mahasiswa yang bertaqwa yang mampu diijazahkan cemerlang apabila khirij dari UNIVERSITI RAMADAN ini. Insyaallah..

* Teman-teman ramai yang membilang hari. Hari pulang la, hari ... la, hari graduate la.., hari bergelar ibu la.. macam-macam harilah ya.. [ termasuklah saya juga :) ]

* Wah, ramainya mahu khirij. PERMATA yang bakal pulang menyinari tanah air. Pulang sebagai penegak agama ya sahabat-sahabat semua. Sinarilah ilmu yang kalian kutip di sini buat membersihkan noda dan karat ummah.

> K.ramlah, ukhti juga mahu pulang.. Bagaimana kami nanti.Masih dahagakan teguran dan nasihat akak.. [ seorang demi seorang insan kesayangan pulang, bagaimana diri ini nanti ! ] <

Ya Allah, kuatkanlah diri ini.

0 ulasan: