18 Sya'aban 1432 / 19 Julai 2011

Telah diriwayatkan dalam sebuah hadits sahih dari Rasulullah s.a.w bahawasanya baginda bersabda:

“ Barangsiapa di antara kamu yg melihat kemungkaran hendaklah ia mengubah dengan tangannya, maka apabila ia tidak mampu hendaklah dengan lisannya, dan sekiranya tidak mampu, maka cegahlah dengan hatinya, yang demikian ialah selemah-lemah iman”.



Sengaja mahu memcahkan post ini kepada dua. Rasnya jika terlalu panjang, apa yang mahu disampaikan tidak mampu dihadam dengan baik.

Barangkali, drama-drama mahupun filem pop cinta Islami yang sebegini mahu memberi sindiran pedih. Khususnya buat golongan ilmuan dan agamawan. Yang masih duduk selesa di kerusi empuk, di dalam pendingin hawa, setelah dijamu hidangan bagai di syurga dunia.

Saya tidaklah mahu mempersoalkan kewajaran penerbit, penulis skrip, pelakon-pelakonnya, mahupun siapa saja di sebalik tabirnya. Allah lebih mengetahuinya.

Mahu berfikir, tidak hanya tahu mengkritik.

Kita sedang menuju kebangkitan. Kesedaran masyarakat untuk mencari alternatif yang lebih baik, seharusnya diambil peluang oleh para dai'e dan ilmuan. Barangkali melihat kepada perubahan minat masyarakat, cepat sahaja diambil peluang oleh penerbit-penerbit dan syarikat perfileman. Namun, keuntungan tentu saja lebih menjadi idaman.

Golongan agama mungkin masih hanya mahu memandang dan mengkritik. Melihat, merasa tergugah dek aksi yang banyak tidak selari. Mungkin melenting juga.

Itulah, jiwa masyarakat meronta mahu melihat dai'e bertingkah sebagaimana Jilul Qur'an di zaman Rasulullah dan sahabat. Namun realitinya, yang terpacak di hadapan mereka, banyak daie [ sepatutnya ] yang tidak kenal bahkan tidak pernah sedar dia membawa imej agama dek palitan ilmu mahupun ijazah yang digenggam.

Dek melihat dan kecelaruan yang ada, boleh menjadi satu idea yang cantik, sedap dimanipulasi oleh golongan yang berkepentingan yang jauh sekali dari mengenal titisan wuduk dan solat. Apatah lagi kewajipan lain.

" Kita jugakan manusia, pastikan ada salah silapnya. Kenapa masyarakat, mahukan kita menjadi terlalu sempurna. Terimalah kita sebagai manusia biasa! "

Pasti ada yang mengeluh begitu. Ya, memang kita manusia akhir zaman tidak pernah sempurna.

Marilah kita sama-sama bermuhasabah, tatkala masih lagi dalam permusafiran ilmu, mahupun di alam realiti. Jalan dakwah ini bukan mudah, bukan selalu dihampar permaidani merah.. Muhasabahlah sebagai orang yang menuntut ilmu lebih-lebih lagi ilmu agama. Sejauh manakah kita telah berusaha untuk tidak menjadi fitnah kepada ilmu din ini. Sama-samalah terus meperingati walhal ramai sekali yang teruji dengan ilmu ini. [ kita masing-masing tahu apa yang telah berlaku.. waima baik atau buruk, positif mahupun negatif ]

Ya Allah, bukan senang mahu beroleh sempurna, jauh sekali menempah tiket syurga.

Dakwah di era ini, sudah memerlukan dai'e yang kritis, kreatif, rencam serta fleksibel. Eloklah berfikiran jernih walau sekusut mana pun badai yang melanda.

Saya juga merasakan, sudah semestinya para ilmuan yang fakih serta faham mula merapatkan diri terjun ke bidang media. Tidak hanya seorang pastinya. Bukan semata berpencak di pentas siasah dan dakwah yang biasa, bahkan perlu mencipta fenomena baru yang mampu membuka mata masyarakat menilai kembali, serta menarik mereka untuk menyemai nilai murni agama yang sebenarnya sahih.

Media, perfileman kita masih ketandusan pakar yang bernilai Islami tulin juga masih ketandusan dana yang bersih. Lumpur-lumpur likat pekat, kotor masih terpalit kemas dalam industri ini. Alternatif perlu dijana, tidak hanya pada tradisi. Ambillah contoh dari seberang, walau berbagai selut lumut yang pernah mewarnai kisah-kisah media, keberanian mencipta arus baru dari golongan ilmuan agama mereka perlu kita teliti dan hayati.

Bermuhasabahlah, tidak hanya ralit meratah syawarma, mahupun mandii ditambah buzoh yang sejuk yang selalu membuat kita leka.

*Allah, peringatan ini memang mencalar. Menegur insani diri.

Teguhkanlah pendirian kami ini ya Allah.. Jangan sesekali Kau balikkan hati-hati kami setelah Engkau memberi hidayah kepada kami. Ampunilah kami, berilah rahmatMu kepada kami. Jangan engkau biarkan kami terus berada dalam kelekaan dan kesesatan.

* Maaf, andai ada tidak kena, hanya mampu mentafsir kata lewat catatan-catatan maya, juga di rakaman cerita yang baru diterjah lewat kebisingan kata dan pena sahabat-sahabat.

Salam imtihan nihai yang makin resah menggigit.. :)

0 ulasan: