25 Rejab 1432 H/ 27 Jun 2011

Alhamdulillah ala kulli ni'amihi.

Bila disoroti kehidupan yang telah dilalui sepanjang permusafiran ke tanah ini. Terlalu banyak yang dapat dipelajari. Secara langsung dan tidak langsung.

Di samping menghadapi pembelajaran yang agak melaju semester ini, ia memberi satu rasa berbeza berbanding semester lepas. Sedikit-sedikit memberi nilai berlainan dari sebelumnya. Semakin mencerahkan diri dalam mengenal erti kematangan dalam berfikir dan setiap tindakan. Terkadang jerih pengalaman membuat kita selalu lupa apa yang ada pada kita. Seringkali dibiar emosi mencalar, hingga memakan diri sendiri.

Menghadapi muhadharah di tengah hari yang panas, sememangnya menuntut satu pengertian yang tidak sedikit. Namun, itulah cabarannya kan! Imtihan pun sudah bermula minggu ini. Bila diingat-ingat semula walaupun ada kalanya perit kehidupan yang dilalui, telah dititipkan pelbagai nikmatNya yang kebanyakannya jarang disedari.

Pengalaman belajar di Tanah Arab ini bukanlah sesenang dan apatah lagi sehebat di Malaysia. Realitinya, pembelajarannya adalah lebih tersusun dan praktikal. Tambah-tambah di Jordan dengan exam 3 kali sefasal. Memang agak memenatkan. Pergi jamiah dari pagi hingga ke petang. Rutin yang sama berhari-hari. Mungkin!

Renungkanlah kembali apa yang telah dilalui di sini, maka beruntungnya bagi sesiapa yang memanfaatkan masanya semasa waktu belajar ini.

Saya terfikir sejenak. Mungkin sahaja kaedah masih tradisi, mendengar dan mencatit isi-isi penting membuatkan kebiasaan akhirnya bertukar menjadi kebosanan. Terasa bagai masih di bangku sekolah. Betapa ruginya jika tidak memanfaatkan sebaiknya doktor yang mengajar saban hari. Belajar dengan pensyarah yang kesemuanya berpangkat PHD dalam bidang masing-masing. Pakar! Paling kurang, masing-masing sudah mempunyai buku nukilan sendiri. Kecil sekali bila berada di sisi mereka.


Walaupun demikian tingginya taraf mereka, perwatakan tetap sederhana. Lembutnya kami dilayan. Bagai ayah dan ibu yang selalu melambai di mata. Ya Binti, ya Bunayya... Aduh, selalu membuat hati menjejak pulang. Sahabat di Kuliyyah Syariah juga tidak kurang. Berdampingan dengan ulama besar, yang mungkin dilihat biasa berkemeja dan berkot kemas. Allah! Bertuahnya saya dicampakkan ke sini.

Sudah adatnya di rantauan, mahu atau tidak, perlu belajar untuk berdikari. Mua'llim sebagai penunjuk jalan, mendasarkan asas-asas yang wajib dipelajari, agar kita tidak tersalah catur dalam menetapkan kefahaman. Kelebihan berada lubuk ilmu, pusat segala pengetahuan usah disia-siakan. Jangan terlalu rigid hanya menatap nota belajar tanpa rasa ada kemahuan menambah dan merujuk kepada kitab-kitab asal dan yang berkaitan.

Berada di dalam sistem yang lebih berorientasikan peperiksaan, terkadang menggugat tujuan asal permusafiran ini. Belajar, terfokus kepada kehendak soalan bukan semata untuk ilmu. Alangkah ruginya apabila keihkhlasan yang cuba tertanam tergadai dengan hanya kiraan markah. Apakah gunanya markah tinggi melangit, menjadi kebanggaan namun tiada satu pun lekat di kepala, tidak terhadam baik melalui tingkah laku dan sikap. Tidak menafikan, kejayaan dan muaddal yang tinggi itu adalah 'booster' untuk wasilah yang lebih baik bagi peringkat yang akan datang, cuma lebih kesal jika ia sudah bertukar menjadi hadaf utama.

Yang lebih penting, keberkatan dari Dia itu yang lebih baik untuk didambakan.. Saya teringat kisah-kisah duka beberapa keputusan imtihan yang tidak begitu memuaskan pada semester lepas. Barangkali merasa kita ini siapa untuk diuji sebegitu, perlukah diperlakukan sedemikian. Walhal, mua'llim yang berada di depan itulah sebaiknya untuk ditekuni dan dihormati. Pesanan Dr Syafiq hari ini, menembus ke sanubari.

"Kamu mungkin boleh belajar dari orang yang kamu benci, akan tetapi kamu tidak akan belajar sesuatu dari seseorang yang kamu tidak hormati!"

Islam sendiri sangat menekankan adab-adab sebagai muallim dan muta'llim.

Tunggu untuk diamalkan sahaja. Sungguh, diuji dan teruji.

Mudah-mudahan Allah menetapkan kita untuk terus teguh di atas jalan ini. Tidak mudah tergugat dek badai yang mendatang. Juga sentiasa ingat dan sedar untuk terus bersyukur. Tetapkanlah kami untuk sentiasa termasuk di dalam golongan ini :

قليلا ما تشكرون


* Semangat BERSIH memBERSIH kekotoran Ijtima' yang semakin tenat. Mulakan dari golongan umara' moga tembus menikam ke jiwa ummat!

Ya Allah, perkenankanlah doa-doa hamba-hamba yang tulus berjuang di jalan jihad ilmu ini serta yang istiqamah mempertahan agamaMu untuk terus gemilang.

0 ulasan: