18 Rejab 1432 / 20 Jun 2011

Ini catatan yang tertangguh.

Dah lama terperap di ruangan draf. Moga-moga membasahi kembali jiwa dan roh yang kekeringan pengisian..

Di dalam kitabnya, Generasi Pemuda dan Perubahan, Almarhum Dr Fathi Yakan menceritakan bahawa persediaan untuk pemuda Islam bagi menghadapi cabaran dan melakukan perubahan Islam yang dicita-citakan sewajibnya menjadikan mereka mampu untuk membentuk 'Syahksiah Islamiyyah' seperti mana yang digambarkan dalam Islam.

Namun begitu, apa yang kita lihat hari ini sememangnya bertentangan dengan risalah Islam yang sebenarnya. Baik apa yang diamalkan oleh penganutnya, juga tidak kurang propaganda yang semakin hebat menyerang umat Islam. Malaysia juga tidak terkecuali.

Almarhum juga menerangkan persepsi buruk yang berlaku kepada Syakhsiah Islamiyyah dan persediaan yang mesti diberikan perhatian yang khusus oleh pemuda Islam ialah:-

1- Penguasaan Idealisme Negatif terhadap Islam

Ianya adalah pemisahan yang berlaku terhadap sebahagian pemuda Islam di antara idealisme yang berbentuk teori yang menjadikan mereka terlupa untuk mempraktikkan nya. Akibatnya tidak ada kesan langsung di bahagian luaran diri mereka.

Sebahagiannya pula menyepikan diri mereka di dalam kongkongan Idealisme yang menyebabkan mereka tidak akan sampai kepada kepada kehidupan realiti. Hasilnya, tenaga yang ada tidak dapat digunakan sepenuhnya dan dan lebih malang, hilangnya daya inovasi dan idea-idea baru.

Diriwayatkan sebuah kisah, di mana ada seorang muslim pada zaman Nubuwwah telah mengasingkan dirinya di atas sebuah bukit. Maka dia berjumpa dengan Rasulullah saw lalu baginda bersabda:

'Kesabaran seseorang dari kamu satu saat di suatu tempat jihad lebih baik daripada beribadat enam puluh tahun.'

Rasulullah saw tidak akan memilih antara dua, kecuali jalan tengah selagi ia tidak bertentangan
dengan syariat Allah. Antara wasiat Rasulullah saw yang masyhur:

‘Sedikit yang berterusan lebih baik daripada banyak yang berputus-putus.'

2- Penguasaan Teori ke atas Realiti

Selain itu, pemikiran statik yang sesuai @ tidak dengan waqi' (realiti) mahupun dengan realiti lain. Natijahnya, mereka akan terpisah itu dari realiti kehidupan, serta gagal dalam mengubah realiti (waqi'), kerana mereka tidak memahami atau mengkaji realiti yang sebenar. Perubahan Islam tidak mungkin tercapai melalui teori yang jahil dengan realiti dan mahupun dengan kekuatan-kekuatan yang menguasai suasana itu.

Kadangkala golongan ini menganggap kegagalan mereka sebagai takdir dari Allah, dan cukuplah hanya menjadi 'ghuraba' (dagang) pada akhir zaman dan berada di jalan 'haq' walaupun mereka tidak dapat menguasai kebatilan atau mengubahnya. Pada hakikatnya mereka tidak mengambil sebab-sebab serta tidak menggunakan sunnatullah yang ditentukan Allah untuk mencetuskan perubahan. Mereka menganggap sesuatu perubahan itu sebagai suatu keadaan mukjizat yang mungkin berlaku tanpa penat dan payah, seolah-olah mereka tidak mengambil ingatan terhadap firman Allah swt:

Menghubungkan sebab dengan musabab, serta menggunakan segala sebab yang ada khususnya dalam peranan penting seperti Perubahan Islam ini merupakan suatu kaedah asal dalam agama Allah yang tidak harus diambil mudah. Ini disebut sendiri oleh Al-Quran:

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah nikmat yang diberikan kepada sesuatu kaum melainkan mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka."8:53

3- Berlebih-lebihan sehingga mengatasi kesederhanaan

Gejala ini mungkin merupakan gejala yang paling merbahaya kepada harakah Islamiyyah malah kepada Islam sendiri.

- Kadang-kadang gejala ini wujud dalam skop keyakinan peribadi terhadap Islam, yang akan
membawa kepada 'ghuluw' (melampau). Rasulullah saw telah mengingatkan:

‘Sesungguhnya agama itu keras, maka masuklah kamu ke dalamnya dengan lemah-lembut.
Berjagalah! Binasa orang yang berjalan meraba-raba.’

- Kadang-kala gejala ini timbul dalam bentuk amal dakwah dan usaha menarik orang kepada Islam, yang membawa kesan sebaliknya. Ianya menjadikan orang bertambah liar bukan bertambah dekat. Ini adalah bertentangan dengan sunnah Rasulullah saw seperti yang ditunjukkan oleh al-Quran:

"Serulah (manusia) kepada jalan tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan berbincanglah (berdialog) dengan mereka itu dengan cara yang lebih baik." S 16.125

"Sekiranya kamu bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekeliling kamu." "Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mu'min." 9:128 -

Kadang-kala gejala ini timbul di dalam keadaan menghapuskan kemungkaran, samada secara serpihan (juzi'i) atau keseluruhan (kulli), iaitu sebelum cukup sempurna persediaan yang perlu untuk kerja tersebut. Maka ini menyebabkan harakah menerima 'mihnah' (tribulasi) dan cabaran yang lebih besar yang mana harakah Islam ini belum lagi bersedia untuk menghadapinya. Pada hakikatnya, gejala ini banyak mengandungi risiko terhadap harakah Islamiyah pada zaman sekarang dan terpaksa dibayar dengan harga yang mahal. Paling sedikit gejala ini akan melambatkan amal dan menghentikan perjalanan sama ada secara juzi'i atau kulli (separuh atau keseluruhan).

4- Penguasaan Juziyyah ke atas Kulliyyah

Gejala ini jug memburukkan wajah gerakan Islam dengan adanya sebahagian dari pemuda Islam yang hanya menekankan suatu bahagian tertentu dari Islam dan tidak memandang kepada sudut-sudut lain. Ada di antara mereka yang hanya menekankan kepada pakaian Islam dan apa-apa yang berhubung dengannya sahaja, atau yang lain menekankan soal janggut, tasbih dan kayu sugi (siwak) dan tidak yang lain, sedangkan sebahagian lain pula menekankan cara kekerasan dan kekuatan material dan tidak kepada yang lain, manakala yang lain pula menekankan kepada kehidupan secara rahib dan tasawuf, malah ada juga hanya menekankan fiqh dan tafaqquh. Kesemuanya mendakwa bahawa merekalah yang benar dan orang lain salah.

Sepatutnya dalam pentarbiyahan pemuda hendaklah ditekankan supaya mengambil Islam keseluruhannya dan sekaligus. Mengikut prioriti yang lebih perlu diberikan keutamaan serta meletakkan setiap perkara itu pada skop dan kedudukannya yang sesuai dengan kehendak syara'.

5-Penguasaan Peribadi ke atas Ideologi

Antara gambaran buruk lain ialah ikutan kepada peribadi, melampau dalam taksub kepada manusia di mana ada segolongan pemuda Islam yang taksub meletakkan kebergantungan mereka hanya kepada figur-figur tertentu bukannya kepada prinsip (mabadi'). Inilah sebab utama mengapa tidak ada penuh kesetiaan atau kepatuhan (wala') kepada Allah. Berpihak kepada puak, taksub kepada individu-individu dan nama-nama, bukannya kepada apa yang disyariatkan oleh Allah.

Kesan-kesan wujudnya gejala ini :

1. Berlakunya percanggahan dan pecah-belah dalam tubuh Harakah Islamiyyah

2. Timbulnya penyakit yang banyak dalam amal Islami serta banyak wadah dan bendera.

3. Rosaknya neraca hukuman syarak atau menghukum menurut kaca mata Islam, di mana taksub kepada individu dan hawa nafsu telah mengganti tempat yang sepatutnya diisi oleh taksub kepada prinsip dan nilai.

4. Mendedahkan mereka ke arah penyelewengan terus natijah daripada apa yang telah sebutkan di atas.

Mudah-mudahan kalian semua mendapat manfaat dari perkongsian saya kali ini.

* Rujukan : Generasi Pemuda dan Perubahan : Almarhum Dr Fathi Yakan

0 ulasan: