18 Oktober 2010

Kita,
Mampir di bumi nabi dan syuhada'
Membawa seribu cita dan rasa.

Di tanah ini,
Penuh rahsia menutur bicara,
Bukan ilmu pengajian semata perlu digali.

Haruman syuhada' menghembus,
Membisikkan,
Hidup ini satu perjuangan yang takkan putus,
Walau jalan dilalui berbeza rupa dan ketika.

Teman,
Kita bersama untuk memacu harapan,
Menggalas seribu impian,
Membekali diri,
Agar tidak jemu untuk memberi.

Andai wasilah amanah yang tergalas ini,
Mampu kita harungi,
Mudah-mudahan keredaan dariNya pasti kita kan miliki.

Sahabat,
Andai dikau terasa lemah,
Usah risau, usah gentar,
Dirimu bukan sendiri,
Aku masih ada di sisi,
Mereka tetap ada menghulur memberi harapan.

Ya Allah,
Andai wasilah amanah ini,
Yang mendekatkan aku dan kami,
Ke arah Mu,
Ya Rahim, Kau permudahkanlah,
Kuatkanlah cita ini,
Tika tiada lagi kuasa pengubat,
Tatkala kami tersungkur lemah,
Tak berdaya menongkah.

Ya Allah,
Hanya kepadaMu,
Kami serahkan segalanya,
Mudahan redha, tabah dan semangat takkan pergi,
Seiring masa yang tetap berlalu..

* Mudah-mudahan kita mampu, kuat demi syiar Islam yang tercinta.

*AGM KMKJ ke 15 @ 161010.. Harapan dan cita-cita yang menggunung pada saff kali ini. Mohon doa ya sahabat-sahabat. Ada apa-apa, jangan silu mengatur kata. :)


18 Oktober 2010

Alhamdulillah, AGM KMKJ kali ke 15 yang dirancang oleh pimpinan sesi lepas telah pun selesai dan berjalan dengan baik. Satu pengalaman baru sebenarnya. Walaupun, ianya sudah kali kedua berada di tempat itu. ( Dahulu di taklifat dan suasana lain.. dQ @ Perkemat 2007/2008 )

Masih segar kenangan itu, di mana berdepan dengan wajah-wajah huffaz yang berbeza pemikiran dan kefahaman, namun masih sarat dengan harapan tarbiyah. Memang menggerunkan. Sesungguhnya saat itulah sendiri yang banyak mengajar diri ini erti dan nilai kepimpinan dan perjuangan yang sebenar.

Itu cerita lama, diimbas kembali untuk menghirup sedikit kekuatan.

Kini, amanah yang tergalas semakin memberat. Kalau dahulu hanya memikirkan soal lajnah sendiri, dengan pantauan dan sokongan dari teman-teman sekerja, Alhamdulillah, bahtera kecil yang dikemudi mampu dilayarkan, walau tidaklah selaju sahabat-sahabat lain. Walau ketika itu diuji dengan ombak dan dugaan yang mampu mengubah hala, yang hampir ketika itu tak mampu hendak melayarkan semula bahtera kecil itu, syukurlah Allah masih lagi mendengar rayuan dari hati hambaNya yang sangat daif dan lemah.

Sesungguhnya hamba ini hanya mampu mengharapkan inayah dan nusrah dari Yang Maha Mengetahui setiap perjalanan kehidupan hambaNya.

Sekarang, menjadi pembantu nakhoda sebuah kapal besar, yang diharapkan bakal melahirkan anak-anak kapal yang berwawasan dan berkualiti sememangnya memerlukan satu kekuatan dan persediaan yang bukan sedikit. Hakikatnya, diri ini masih terlalu kecil. Masih berusaha dan belajar untuk memahami dan membumikan setiap fikrah dan kefahaman yang ada di kalangan setiap anak kapal. Apatah lagi berpindah ke kapal baru, masih belum fasih sepenuhnya akan bagaimana mahu mengemudi dengan cara terbaik.

Saya masih ingat tangisan sahabat seperjuangan tatkala membaca ayat ini. Menggetarkan hati-hati kami tatkala kedinginan malam mula menyelimuti diri. Menyedarkan membasahi hati yang alpa.


KEZALIMAN DAN KEBODOHAN MANUSIA IALAH MAHU MENERIMA TUGAS, TETAPI TIDAK MELAKSANAKANNYA.

72. Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat (1) kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh,

73. sehingga Allah mengazab orang-orang munafik laki-laki dan perempuan dan orang-orang musyrikin laki-laki dan perempuan; dan sehingga Allah menerima taubat orang-orang mu’min laki-laki dan perempuan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

( Al-Ahzab, 72-73 )

Ya, bukan sebarang taklifan. Hatta sekecil-kecil jawatan hinggalah sebesar taklifan khalifah.

Apapun, moga taklifat ini menjadi penyuntik semangat dan motivasi untuk bertatih dalam medan sebenar setelah tamat belajar dan memiliki kehidupan sendiri pada masa akan datang. Jua penduga sejauh mana komitmen kepada pelajaran kita dapat dimaksimakan walaupun sekarang masa kita sudah terbahagi dari terus memfokuskan kehidupan di sini yang hanya belajar dan menelaah kitab.

Ilmu bukan datang bergolek, bukan hanya di dalam kelas, bukan hanya dengan menguliti sumber rujukan, bukan semata dari munaqasyah, Bahkan banyak pula bahan ilmu datang dari pengalaman kehidupan jua dari amanah dan taklifat yang tergalas. Moga diri sentiasa tabah dan kuat.

Namun, keyakinan saya pasti yang saya bukan berjuang berseorangan, saya masih ada teman dan sahabat yang tidak jemu menolak, membantu andai tersungkur mahupun tersalah jalan.

Mudah-mudahan, kita semua mampu memikul amanah ini, bersama untuk mengislahkan sebilangan kecil ummat manusia, juga menjadikan wasilah kepimpinan ini sebagai jalan untuk lebih dekat dan taqarrub kepadaNya..

Ya Allah, perkenankanlah dan permudahkanlah segala urusan kami.

14 Oktober 2010

Alhamdulillah, sedikit kelapangan yang ada harus dimanfaatkan sebaiknya. Betapa kesyukuran kepadaNya atas segala kurniaan.

Masa lapang dan sihat, dua nikmat yang selalu dilupakan oleh manusia.

Nikmat itulah yang selalu menguji sejauh mana kita ini masih ingat padaNya. Bukan waktu terjatuh, kesusahan itu baru terasa mahu dekat denganNya.

Syawal lalu, kelas Al-Quran yang ditawaquf seketika sepanjang Ramadhan kini bersambung. Sahabat-sahabat pun semua dah kembali ke tanah gersang dan tandus Mu'tah. Sambil-sambil angin sejuk musim luruh sepoi-sepoi bertiup sedikit menggigit.

Cukup rindu dengan Ummu Muhallab. Musyrifah wa Anisah wa Sheikhah..

Sudah hampir setahun belajar mentahsinkan bacaan Al-Quran, membetulkan makhraj yang dulunya masih kemelayuan, dan meng'arab'kan lahjah bacaan menggamit seribu penghargaan yang tidak terhingga.

Betapa diri ini kagum dengan semangat murabbi yang ada pada setiap pendidik Al-Quran kami. Jua pada semangat ibu-ibu yang masih tidak segan duduk bersama mentahsinkan bacaan mereka.

Hari ini, kelas berjalan seperti biasa.

Sedang belajar mengulangkaji pelajaran ilmu tajwid, bab makhraj; tiba-tiba Ummu Muhallab mengajukan satu persoalan.

"Kamu datang belajar ke sini, belajar al-Quran di sini, datang jauh dari negara kamu untuk apa?"

Terdiam seketika. Jawapan apa yang mahu keluar ni?

"Nak faham Al-Quran, nak baca dengan betul, bla,bla.... "

Semua tersengih. Tak kurang ada yang tersenyum. Berebut mahu menjawab. ( nak tunjuk pandai cakap arab ke? )

Ummu Muhallab lantas menyambung.

"Bukankah dituntut di dalam solat untuk membaca Al-Quran dengan betul?"

Ahaa, betul tu. Al-Fatihah tu kan wajib dalam solat.

"Juga sebenarnya dituntut kepada kita, umat Muhammad agar membaca Al-Quran sebagaimana lafaz dan bacaan yang diturunkan dari Langit kepada Nabi kita.."

Terfikir. Betul juga. Itu lah hadaf yang sebenar. Selepas itu, barulah perkara lain yang berkaitan akan datang menyusul.

Bagaimana mahu menghayati keindahan, mengagumi i'jaz setiap ayat Al-Quran andai bacaan kita pun masih lagi merangkak-rangkak, masih lagi banyak kelompangan.

Tiada beza antara hamzah, dan ain, qaf juga kaf.. Bagaimana pula hukum tajwid, dari segi izhar dan ghunnah.. Allah!! Banyak lagi yang perlu lagi dibetulkan.

"Dan apa yang penting, bila kamu semua sudah pulang ke tempat asal kamu, menjadi tugas dan kewajipan kepada kamu semua pula untuk mengajarkan Al-Quran kepada sekalian masyarakat kamu"

Rasulullah bersabda:

"Khairukum.. "

Wah satu kelas mengikut. Mana tidaknya, hadis ini sering diulang-ulang disebut dan disiar. Terpampang megah di logo taman indah di perbukitan hijau Kuala Kubu Bharu yang tetap kemas dalam ingatan.

“Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar Al-Qur’an dan mengajarkannya.”

(Sahih Bukhari)

Begitulah, kita jangan menganggap mudah akan bacaan Al-Quran. Terkadang terasa syok sendiri dengan irama bacaan sampai terlupa mana satu makhraj yang betul, mana juga hukum tajwid yang terkurang.

Jadi, usah segan untuk belajar. Bagi yang berpeluang ke negara Arab, peluang untuk belajar dan mengaji dengan guru Al-Quran yang berlahjah arabiah sepatutnya tidak dilepaskan. Para duat juga tak terkecuali. Ilmu Al-Quran harus kukuh dalam diri.


“Orang yang membaca Al-Qur’an sedangkan dia mahir melakukannya, kelak mendapat tempat di dalam Syurga bersama-sama dengan rasul-rasul yang mulia lagi baik. Sedangkan orang yang membaca Al-Qur’an, tetapi dia tidak mahir, membacanya tersekat-sekat dan nampak agak berat lidahnya (belum lancar), maka baginya akan mendapat dua pahala.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan daripada Abu Musa Al-Asy’aru ra, katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:

“Perumpamaan orang mukmin yang membaca Al-Qur’an adalah seperti buah Utrujjah ( oren ) yang baunya harum dan rasanya enak. Perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca Al-Qur’an seperti buah kurma yang tidak berbau sedang rasanya enak dan manis. Perumpamaan orang munafik yang membaca
Al-Qur’an adalah seperti raihanah ( selasih ) yang baunya harum sedang rasanya pahit. Dan perumpamaan orang munafik yang tidak membaca Al-Qur’an adalah seperti hanzhalah ( sejenis labu ) yang tidak berbau sedang rasanya pahit.”
(Riwayat Bukhari & Muslim)

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amrin Ibnul Ash ra dari pada Nabi saw bersabda:

“Dikatakan kepada pembaca Al-Qur’an, bacalah dan naiklah serta bacalah dengan tartil seperti engkau membacanya di dunia karena kedudukanmu adalah pada akhir ayat yang engkau baca.”

(Riwayat Abu Dawud, Tirmidzi dan Nasa’I, Tirmidzi berkata, hadis ini hasan sahih)


Mudah-mudah diri ini terus ingat, rajin untuk iadah tanpa jemu mentatbiq kefahaman di samping mengislah dan menyebarkan kepada sahabat sekeliling.

Amin, Insyaallah !! Allahumma yassir !!

* Rujukan : Adab Hamalatul Quran oleh Imam Nawawi


9 Oktober 2010


Sudah berhari-hari memerap idea. Memutar pemikiran dan rasa. Namun kadang-kadang terasa tidak bercambah lantaran tandusnya input yang melewati pemikiran.

Hasilnya, isu yang diputar hanya berkisar pada tokik-topik yang sama. Malahan, isu-isu semasa yang saban hari mencarik-carik jati diri seorang muslim kian dipandang lesu.

Puncanya?

Adakah kurangnya nilai tambahan input dan pengaplikasiannya dalam permasalahan hari ini menyebabkan kalam bisu ini terus saja senyap dalam dunianya..

Seolah wasilah yang ada tidak digunakan sebaiknya.

Jalannya sebenarnya sudah ada.. Bertitik tolak dari kita sendiri. Menyedari hal itu, tapi untuk berubah terasa agak sukar sekali.

Isunya mungkin terpencil. Tapi bagi seorang yang berangan mahu menjadi pemikir Islam la budda mesti ada sifat ini ada dalam dirinya.

Membaca dan mengkaji.

2 aspek berlainan tapi kerjasama antara keduanya menghasilkan satu natijah yang besar.

Soalnya, bagaimana pula sumber-sumber bacaannya.. Di pasaran sekarang bercambah berbagai jenis bahan bacaan. Ilmiah, falsafah, keagamaan, kekeluargaan, pendidikan, sains, sukan, hiburan, akhbar-akhbar politik dan nyamuk, dan sebagainya. Dari serendah-serendah mutu ke seberat-berat falsafah yang cuba diterapkan oleh para penulis.

Tak dinafikan kecanggihan hari banyak membantu dan memudahkan kita merekodkan jumlah koleksi e-book dalam cakera keras laptop, ataupun taip sahaja di layar sesawang. Mudah, senang dan menjimatkan.

Barangkali saya masih lagi selesa mengaplikasikan cara kuno,( kunokah baca buku tu ?) menyebabkan masih lagi tidak terasa nikmatnya meratah isi-isi penting dari kedua-dua kaedah ini. Tambahan pula koleksi rujukan yang ada sekarang banyak dalam bahasa kedua.. ( lughah arabiah), menjadi satu cabaran besar buat diri.

Beralasankah saya ini?

Falsafah Iqra'

Jalan yang ada sudah pun terbentang. Nak atau tidak sahaja. Pelbagaikan sumber, selarikan dengan kajian ( rujuk juga orang yang ahli/ pakar dalam bidangnya ) agar kita mendapat kefahaman yang betul.

Tak dinafikan membaca/belajar tanpa berguru kelak akan membawa kepada pentafsiran yang salah. Tambah-tambah pula pelbagai jenis aliran pemikiran yang ada sekarang semestinya memungkinkan kita terpengaruh dengannya.

Jua bahan-bahan yang ada kadang-kadang tidak dapat dipastikan kesahihannya.

Apapun, jangan alasan-alasan ini membantutkan semangat dan rasa untuk terus menguliti kitab-kitab yang ada.

Mahu menjana idea? Pemikiran yang kritis takkan lahir semula jadi.

Sumber pula perlu bersesuaian dan tepat.

Seeloknya, hadamilah dahulu kitab-kitab asas, karangan ulama-ulama silam. Yang menjadi rujukan kepada beribu-ribu kutub hari ini.

Memahami sesuatu isu dari luar, tentu tidak seenak menikmati puncanya dari asas. Juga kajian dan tatbiq sesuatu ilmu itu semestinya harus dilatih. Mahu menerima sahaja bulat-bulat tentu sahaja tidak akan mencapaikan kita dengan falsafah iqra' itu sendiri.

Bertanya, mengkaji, membaca, mencerna pemikiran dan idea harus sekali berselarikan kalam wahyu tidak hanya aqli semata.

Semoga pencerahan lahir dari pemikiran yang bersih, input yang berkualiti juga output praktikal yang sentiasa dilazimi.

* Menguliti kitab-kitab pengajian kuliah..
Mahu mencari rasa nikmat dan enak sambil mendambai kasih sayang dan redhaNya. ( semakin tebal dan mencabar.. ada juga yang tidak disuap pensyarah. Berkampung di maktabah la nampaknya merasai sedikit jihad serta juhud pencarian ilmu para ulama' ).

* Membaca bukan hanya untuk imtihan dunia yang kecil sekali harganya, malah moga-moga menjadi ulama' terpandang di sisNya..

Insyaallah.

9 Oktober 2010

Semuanya bermula dari kita. Baik niat, perbuatan atau sebagainya.

"What you give you get back!"

Begitu juga hati.

Hati yang iklas untuk memberi akan menatijahkan suatu hasil yang ikhlas. Tiada kekusutan walau ada masalah melanda.

Tenang, walau badai ribut datang menyerang.

Hati-hati kita.

Kalau ditamsilkan ianya suatu gelas jernih yang kosong. Isilah apa jua air ke dalamnya. Air kosong, air jus, air berwarna.

Warna gelas pasti akan mengikut apa yang kita isikan ke dalamnya.

Jua ia ibarat cermin.

Imam Ibnu Qayyim pernah menulis:

Hati itu, ibarat cermin yang memantulkan apa sahaja yang ada di dalamnya. Pandangannya tembus melihatkan apa sahaja.

Andai baik, baiklah apa yang ia jelmakan.

Jua perlu sentiasa digilap. Biar tetap terang memantul imej yang ada. Jika tidak berdebu, hasil yang diimpikan pun tidak secantik yang asal.



Kamu mahu memantulkan kekotoran, hasil yang suram?

Sudah tentu tidak kan!

Jagalah hati jangan kau kotori, jagalah hati cahaya ilahi.

Hati yang bersih, akan begitu mudah memantulkan, membuahkan hasil akhlak dan amal yang indah. Begitulah juga sebaliknya.

Dalam bermuamalah, takkan jua terlepas dari masalah hati.

Cemburu dengan teman, bangga dengan kelebihan sendiri, dan sebagainya ibarat parasit-parasit halus yang hinggap yang akhirnya mampu merosakkan sel yang akhirnya akan membunuh jika tidak di atasi.

Apatah lagi kalau berlainan gender kan.
Apapun pantang mengalah sebelum berjuang, berusaha.

Moga kita sama-sama dan terus berusaha menjaganya, takkan membiarkan hati yang satu ini dari terus teruji yang akhirnya membawa kepada kebinasaan sendiri.

Ya Allah, Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui, hati-hati kami ini telah bersatu di atas jalan MahabbahMu, jalan menuju Ketaatan kepadaMu.. Ya Allah, Kau kuatkanlah ikatan ini ya Allah. Ya Allah, thabatkan qulubuna atas jalanMu, memikul dakwah dan amanah hanya untuk KeredaanMu, jangan Kau pesongkan hati , janganlah Engkau membolak-balikkan hati kami setelah memberi Hidayah kepada Kami.