29 September 2010

Alhamdulillah fasal ini bermula dengan baik. Walau cuaca masih lagi panas dan matahari masih lagi garang memancar ( kalau tahun lepas, waktu sebegini sudah sejuk, matahari malu-malu menyilaukan mata ), tak apa itu cabaran kan. Tak sempurna hidup kalau tak ada cabaran.

Seronok memerhatikan adik-adik generasi baru. Bermacam gaya, membuat saya teringat memori tahun pertama. ( tahun 2 la sangat )

Saban tahun, jumlah masyarakat minoriti ini semakin meningkat. Moga-moga kualiti ulama' dan agamawan yang bakal dilahirkan juga setanding. Insyaallah.

Saya, kita, sahabat-sahabat, juga adik-adik sebenarnya melalui satu fasa yang sama. Walau berbeza tahap pemikiran, umur dan kematangan, hakikatnya fatrah hidup sebagai seorang remaja atau lebih cantik saya katakan sebagai generasi pemuda sedang sama-sama kita jalani.

Zaman remaja atau muda ini memang sangat manis. Semangat dan tenaganya berkobar-kobar. Terpulang mahu memilih jalan mana. Kalau ke arah kebaikan, Alhamdulillah dan kalau ke arah keburukan, sedarlah, masih ada peluang untuk berpatah balik.

Remaja dan pemuda/pemudi

Mengapa soal masa muda ini sangat ditekankan.

Pada hakikatnya usia muda seorang pemuda ialah usia yang penuh dengan cita-cita yang tinggi dan darah yang gemuruh serta idealisme yang luas. Iaitu usia yang memberi pengorbanan dan menebus semula. Usia yang menabur jasa, memberi kesan dan emosional. Oleh itu, menurut pandangan Islam, usia muda seorang pemuda harus dipenuhi dengan tanggungjawab dan nilai yang khusus. Rasulullah s.a.w sendiri kerana itu menekankan supaya pemuda-pemuda merasai dan mempunyai sifat-sifat sedemikian melalui sabdanya:

'Ambillah peluang lima perkara sebelum datangnya lima perkara:- Usia muda kamu sebelum tua,masa sihat sebelum sakit, harta kekayaan kamu sebelum papa, masa hidup kamu sebelum mati, dan masa kosong kamu sebelum sibuk"

Saya tertarik dengan tulisan Almarhum Dr Fathi Yakan dalam bukunya, Generasi Pemuda dan Perubahan yang menyatakan :

"Islam, apabila ia menekankan supaya para pemuda melaksanakan matlamatnya yang menginginkan perubahan, bererti bukanlah diserahkan tugas itu kepada mana-mana generasi sahaja yang tidak mempunyai ciri-ciri tertentu, tetapi terlebih dahulu dimestikan atau dituntut supaya generasi itu mempunyai sifat-sifat Islam dan berpegang teguh dengan prinsip-prinsip Islam iaitu berkehendakkan generasi Islam yang tulen.

Para pemuda yang bersifat Islam adalah suatu hal, dan para pemuda tanpa Islam adalah suatu hal yang lain dan tidak ada apa-apa selain dari itu. Para pemuda dengan Islam bererti pemberi, iaitu kebaikan dan pembinaan dan yang tanpa Islam ialah celaka dan bala'.

Pemuda ialah suatu tenaga yang digunakan oleh Islam untuk membangunkan dan memakmurkan alam tetapi orang lain mempergunakan mereka untuk meruntuhkan umat
manusia.

Sesungguhnya masyarakat manusia hari ini penuh sesak dengan pemuda-pemuda tetapi pemuda-pemuda ini hanyalah yang kosong, hanyut dan terbiar;

Pemuda yang tiada peribadi,bersikap seperti kera;
Pemuda yang tiada mempunyai akhlak, yang lebih dekat dengan binatang ;
Pemuda yang dijadikan tentera oleh kuasa-kuasa jahat dan zalim, disusun oleh parti-parti
kufur dan syaitan;
Pemuda pondan yang tiada kebaikan pada mereka;

Tetapi keberkatan datang bersama pemuda yang tinggi cita-citanya."

Kenapa Perlunya Persiapan Pemuda Islam?

"Ada beberapa gambaran yang berbeza di sekitar tugas seorang pemuda Islam dan matlamat dari persiapan mereka itu. Apakah matlamat utama dari persediaan pemuda Islam ini?

Adakah matlamatnya sekadar memelihara dirinya daripada kecundang oleh hawa nafsu dan dorongan-dorongan fitnah, atau setakat supaya dia menunaikan fardhu-fardhu wajib yang ditaklif oleh Allah dan meninggalkan segala larangan Allah? Adakah itu sudah mencukupi?

Atau adakah matlamatnya untuk membekalkan mereka dengan pengetahuan Islam yang cukup yang membolehkan mereka menulis dan bercakap sahaja?

Dan adakah matlamat persiapan seorang pemuda Islam bagi untuk menjalankan amal-amal kebajikan, memberikan makan kepada orang miskin, merawat orang sakit dan bersimpati dengan mereka yang menderita sahaja?

Atau adakah sekadar mempersiapkan pemuda Islam supaya boleh menjalankan dakwah Islamiah sekadar melepaskan batuk di tangga?

Atau menjadikan mereka itu berada dalam suatu suasana organisasi pemuda Islam dan cukup setakat itu tanpa mengira samada dia menjadi da'i atau pembimbing semata-mata?

Pada hakikatnya kita tidak bebas untuk memilih matlamat-matlamat yang di gariskan itu, pada masa dunia Islam berada di bawah pemerintahan sistem 'Taghut', dan Islam berada jauh dari memegang teraju pimpinan.

Sebenarnya, matlamat utama persiapan pemuda-pemuda Islam hari ini ialah untuk melaksanakan matlamat tercapainya 'Qawamah' (penguasaan) Islam terhadap masyarakat dan dunia. Ini memerlukan tugas para pemuda Islam bagi memindahkan pimpinan umat dari tangan jahiliah ke tangan Islam. Dan juga pemikiran, perundangan dan akhlak jahiliah kepada pemikiran, perundangan dan akhlak Islam.

Amal seperti itu dan apa yang diperlukan olehnya, apa yang berhubung dengannya dan apa yang bercabang darinya atau apa yang dituntut olehnya dan juga tujuan terbesar dari persiapan seorang pemuda Islam tadi maka perkara-perkara ini hendaklah dianggap penting oleh para pemuda Islam. Ini adalah wajib dari segi syara' dan ianya itu tidak akan gugur dari menjadi tanggungjawab mereka sehinggalah Kalimah Allah lebih tinggi, mengatasi kalimah-kalimah orang kafir.

Tujuan 'manhaj' (method) Islam ialah untuk mengembalikan 'ubudiyah' manusia kepada Allah dalam segala urusan hidup mereka. Dalam bidang akhlak dan urusan hidup, dalam bidang undang-undang dan pemikiran mereka. Ini bererti meruntuhkan asas-asas dan pusat-pusat yang menjadi tempat tegak dan berdirinya masyarakat jahiliah dan tamaddun materialisme. Di tempatnya itu pula ditanam asas-asas supaya tertegaknya sistem Islam.

Ini bermakna bahwa tugas dan peranan pemuda Islam ialah melakukan "perubahan" dan bukannya menempel atau memperbaiki, dan inilah yang sewajibnya berlaku. Tugas ini pada hakikatnya adalah tugas yang berat dan sukar tetapi ianya adalah tugas yang dituntut; dan tugas selain dari ini tidak mempunyai nilai. Malah tugas yang lain ini akan mem-bawa bencana yang akan menangguhkan kemahuan para pemuda kepada perubahan, malah akan membawa kepada perjalanan seiring dengan realiti jahiliah yang ada dan cuba hidup bersamanya."

Bukan mudah sebenarnya untuk melahirkan generasi pemuda Islam yang benar-benar berkualiti dan mampu mencetus perubahan. Ia memerlukan banyak persiapan serta persediaan dan tidak kurang pebagai cabaran yang harus ditempuh.

Antaranya :

1) Kesediaan para pemuda untuk disusun atur/menerima arahan

-Tanpa adanya persediaan ini, unsur taat akan hilang dan turut hilang pula unsur bersedia menerima untuk melaksanakan. Maka tidak ada nilai kemampuan rohaniah, fikriyah dan jasmaniah yang boleh dimanfaatkan daripadanya dan ia tidak dapat dikawal atau diarahkan. Ia kadangkala menjadi unsur yang menghancurkan, menyekat dan menghalang.

2) Persediaan dan kesanggupan untuk memberi / produktif / melahirkan natijah

- sifat ini yang menjadikan seorang pemuda Islam itu dalam suasana masyarakat sekitarnya menjadi sebagai pelopor dan bukannya pengekor, yang cergas bergiat dan bukannya malas dan menjemukan. Yakni sifat inisiatif sendiri dalam skop peranan yang diwakilkan kepadanya. Adapun mereka yang hanya bergerak apabila diketuk atau ditekan, maka yang seumpama itu tidak diperlukan sangat oleh Islam dewasa ini. Keperluan hari ini amatlah mendesak kepada mereka yang sanggup memikul Islam bukannya Islam memikul mereka.

3) Kesediaan dan kefahaman erti dan nilai jihad dalam kehidupan

- ertinya persediaan kejiwaan untuk berjihad dan tuntutan jihad sepertiberkorban jiwa dan harta malah segala sesuatu. Sifat jihad yang menjadikan pemuda Islam itu mempunyai persediaan cukup bagi memenuhi bai'ah dengan Allah menurut firmanNya:

"Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin itu jiwa dan harta
mereka dengan ganjaran syurga, mereka berperang pada jalan Allah, maka mereka membunuh dan mereka dibunuh, janji ke atasnya itu benar tersebut dalam Taurat, Injil dan al-Quran, dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain dari Allah dan bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar." (9:111)

Bagaimana? Bersama kita muhasabah bersama, adakah generasi pemuda yang membawa perubahan itu adalah kita??

Jika tidak, ada mahu berpeluk tubuh sahaja mengiakan?

Tepuk dada tanya iman.

* Rujukan : Generasi Pemuda dan Perubahan : Almarhum Dr Fathi Yakan

22 September 2010

Hari baru telah bermula. Tahun baru, moga dengan azam dan semangat yang sentiasa diperbaharui.

Sudah setahun bermusafir di sini. Kalau dulu, kehadiran ke tanah Syam ini disambut para senior, kini tibalah masa untuk kami pula melaksanakan tanggungjawab itu.

Alhamdulillah, adik-adik yang dinanti telah selamat tiba di dataran berpasir Jordan. Perbagai rasa dan gaya yang ditemui. Agaknya, inilah juga yang dilihat oleh kakak-kakak dan senior kami ketika langkah kami mula bertapak di sini.

Harapan diri ini, moga kalian akan terus tabah, sekental tiga syuhada' yang bermusafir dari Tanah Madinah yang berjuang di tanah ini namun tidak sesekali pulang. Merekalah yang akan menemani kalian di sini. Semoga roh jihad mereka akan terus mengalir dalam diri-diri kita, tolabul ilmu bagi mencapai redhaNya..

Jangan sedih-sedih ya!!

Rindu sedikit terubat dengan kehadiran dua muallim yang pernah mendidik diri ini sedari sekolah menengah hingga ke alam kampus. Us Muslim dan Us Sya'bani.. Mohon doanya ustaz. ( Jaulah sakan ustaz di bumi Syam ye )

Jua masih rindu dengan titipan kasih sayang dari ibu Syahidah Julai lepas..

Sekejapnya masa berlalu. Bagaimana pengisian yang telah diperoleh dalam tempoh itu.
Perkhabaran dari tanah air selang seli datang. Alhamdulillah, Sultan Kelantan yang baru telah selamat ditabalkan. Moga Islam terus disuburi dengan jayanya di tanah air tercinta.

Perjalanan..

Sudah tentu akan melalui jalan yang berbagai. Ada yang awalnya berduri, ada juga yang bersimpang siur, ada juga yang terjumpa jalan mati. Terpaksa berpatah balik untuk mencari jalan yang betul.

Begitulah hidup kita takkan sunyi dari pelbagai cabaran. Terkadang semasa tempoh itu, kita akan merasai kesakitan yang teramat hingga tak terdaya untuk berdiri sendiri. Tika itu, kalau ada tangan-tangan yang memberi pertolongan, terasa betapa tulusnya mereka memberi.

Kita takkan mampu melaluinya berseorangan. Perlukan peneman dan sahabat yang setia. Yang akan menegur tatkala kita terlalai.

Namun, setakat ini bagaimana kita telah mencuba untuk menjadi teman dan sahabat yang terbaik. Selalu menuding kepada orang lain, begitu dan begini namun diri sendiri tidak sedar dia juga perlu sama-sama menjadi seperti itu.

Hidup dengan nilai saling memberi. Memberi yang terbaik. Tidak kira dalam apa jua urusan, tanggungjawab atau amanah. Sebagai seorang hamba, seorang anak, seorang pemimpin, seorang pekerja, seorang pelajar, seorang sahabat. Semuanya memerlukan tuntutan yang berbeza.

Insyaallah, kita semua mampu untuk Islam.

27 Ramadhan 1431 H / 6 September 2010

Alhamdulillah, masih bertemu dan dapat bertamu di bulan Ramadhan.

( Cerapan hilal Ramadhan 1431- Rindu Malaysia- Kompleks Falak al-Khawarizmi )

Sedih rasanya, hanya berbaki beberapa hari lagi ia akan pergi. Sudahkah rahmat, keampunan dan pelepasan dari api neraka didapatkan atau Ramadhan ini sama sahaja dengan yang lepas??


Wallahua'alam.

Hampir sebulan rasanya menyepi. Maaflah, imtihan menjengah berganti taklifat yang menanti untuk diselesaikan harus dulu diaulakan.

Esok, genaplah setahun bumi Malaysia ditinggalkan. Kalau dahulu, bertamu di Tanah Syam ini ketika Ramadhan baru bertapak seminggu, hari ini, di sini, terkenang kembali saat itu, tika di bulan barakah ini, berada dalam fatrah minggu terakhir untuk mencari seribu satu rahmat dari Nya. Apapun, bagi saya Ramadhan di Mu'tah ini lebih terasa dzuqnya. Alhamdulillah, 'feeling' nak raya masih belum nak berapa ada.

Itu lebih baikkan. Tenang, dan tidak perlu terkejar-kejar akan raya.

( Iftor bersama orang Arab- Nasi Mandi Jordan-.. sedap sangat )

Yang paling penting, zakat fitrah. Tunaikan sebelum luput waktu.

( first time bayar zakat sendiri. Biasanya abah yang bayarkan. Nak buat macam mana, tahun ini bermastautin di Mu'tah)

Moga-moga hikmah dan ibrah Ramadhan dapat dijadikan pedoman buat penguat diri menempuhi 11 bulan yang mendatang.

* Salam Lebaran dari Tanah Syam. Tetap rindu akan riuhnya rumah tatkala semua adik beradik berkumpul. 7 beradik yang bermacam ragam.

* Mek kata tak dapat nak buat tapai pulut dan ketupat daun palas tahun ini. Ya Allah, sembuhkanlah nenekku.. ( Ketupat Mek yang tetap dalam ingatan)

*Makan ketupat daun palas, biskut raya, ingat-ingatlah kami di sini.

*Tahun pertama beraya, dengan ketiadaan dua orang ahli keluarga.( Bapa Saudara, arwah pakcik Hasyim, dan sepupu, arwah Nazihah)

Ya Allah, Rahmatilah sekalian kaum kerabatku, sahabat handai dan kaum muslimin sama ada yang masih hidup atau yang telah pergi.

Al-Fatihah