30 Mei 2010

Umur kami tidak jauh beza. Hanya setahun berbeza, dia lebih muda dari saya.

Namun itu tidak menjadi penghalang untuk kami untuk duduk bersama setiap kali dia bersama keluarganya bersama pulang ke kampung saban tahun, terutamanya hari raya. Mudah, rumah kedua neneknya hanya selang serumah.

Malah, ayah long seringkali menjadi tempat rujuk adik beradiknya untuk apa-apa urusan. Maklumlah, anak lelaki sulung dalam keluarga abah.

Seronok mengenang zaman kami membesar bersama. Sama-sama mengira duit raya, teman berkongsi cerita selain pada kakak-kakaknya, yang tidak boleh lupa, menjadi kuli basuh pinggan setiap kali kenduri ( sepupu perempuan lain semua dah besar-besar, dah kahwin, dan ada anak ). Dia anak bongsu, itulah teman maklong ke mana-mana.

Bila sudah dewasa, berlainan persekitaran yang mencorak diri masing-masing, sedang diri ini mula mengenal jati diri, dia pun membawa pemikiran sendiri. Tapi bukan jua penghalang untuk kami sesekali duduk berdua berkongsi cerita..

Ya, satu-satunya teman bicara yang sebaya..

Sehinggalah, tatkala mahu berangkat ke tanah Syam ini pun, diadakan kenduri untuk kami berdua. Dua tema berbeza, namun satu niat.. Jua malam terakhir sebelum terbang, masih terngiang-ngiang pesanannya di corong telefon, supaya bawa bekal biskut raya buat pengubat di perantauan.

Rupanya.. itulah pesanan terakhirnya yang boleh ku dengar. Kenduri itulah kali terakhir untuk ku tatap wajahnya..

Siapa sangka, Allah merancang apa yang kita tidak ketahui. Dia yang mentakdirkan segala-galanya. Siapa kita untuk menolak takdirNya.. Musibah yang menimpanya di Korea hampir dua bulan setengah yang lalu menjadi asbab musabah. Dari detik itu, hanya doa mengiringi agar dia akan kembali sihat, menjalani hidup seperi biasa, meneruskan perjuangan ilmu di Tanah Kepulauan Korea sana.

Dia diterbangkan pulang.. namun masih tak mampu untuk membuka mata menatap, walau ibu dan ayahnya sendiri, walau mok dan mek datang menjenguk. Biar siapa jua yang datang, dia tak pernah mampu untuk membalas.. Hanya mesin hayat penyambung hidup..

Ku tahu hati ayah long, hati mak long, hati adik beradiknya.. Namun, siapa yang mampu menolak takdirNya..

Hari Rabu yang tenang, pagi 26 Mei 2010 dia pergi jua tanpa sempat mengucap salam perpisahan yang terakhir. Dalam tatapan semua ahli keluarga abah, kecuali abah dan cik Pah.. Mujur abangku yang sulung belum balik.. Mewakili keluarga kami menghantarnya ke perjalanan terakhir.. Ya Allah, semoga reda kedua ibu bapanya mengiringi pemergiaan dia ke alam abadi.

Ya Allah, rahmatilah rohnya. Moga dia tenang bersama kaum mukminin di alam baru. Menanti kami, siapakah yang akan menyusul kelak.. Semua insan pastikan merasai saat itu. Tak kira bila, di mana, dan ketika; maut pasti datang menjemput kita..

"dan setiap ummat mempunyai ajal. Apabila ajalnya tiba,mereka tidak DAPAT MELEWATKAN DAN MEMPERCEPATKAN walau sesaat pun"

(Al-A'raf,34)

*Al-Fatihah buat arwah sepupuku, Nur Nazihah binti Abdul Manan yang telah kembali ke rahmatullah minggu lepas..

Perginya kaum kerabatku buat kali ketiga tanpa sempat mataku menatap mereka buat kesekian kali.

Ya Allah, panjangkanlah umur kedua ibu bapaku, serta kedua nenekku, jua seluruh kaum kerabatku dalam amalan dan hidup yang di redaiMu.. Di jalanMu yang lurus dan benar.. Aamin

28 Mei 2010

Semester pertama hampir berakhir dalam dua minggu lagi. Dan sekarang adalah masa untuk menghadamkan kesemua subjek yang telah ditekuni selama hampir 4 bulan ini..

Di antara subjek yang menarik untuk dikongsi tak lain tak bukan ialah... Nusus Jahili..

Mempelajari syair-syair secara khusus, mendalami maksud yang tersirat di sebaliknya.. Rasanya saya telah temui apa yang dicari selama ini. (tak tahulah apa pula pandangan orang lain).

Tambah-tambah pula bila mengkaji nilai-nilai yang ada dalam syair muallaqat, kadang-kadang orang terasa jemu.. Manakan tidak, zaman sebelum Islam. Syair-syairnya banyak berkisarkan soal jati diri, cinta, pujian terhadap arak, pengagungan terhadap kabilah dan perempuan, juga setiap syair tidak boleh lari dari dari menceritakan soal perang sama ada dari segi kudanya, kehebatannya dalam perang dan kelebihannya.

Apakah iman akan bertambah?? ( dengan kata lain, ni je ke faedah belajar syair jahili )

Apapun, saya seronok bila turut sama belayar dalam dunia fantasi syair ni. (sikit-sikit sudah ya). Terima kasih buat Prof Dr Anuar Abu Suwailim yang cukup wadih mensyarahkan setiap bait-bait syair ini.. ( walapun selepas itu saya kena rujuk semula kawan arab untuk mendapat kesatuan kefahaman dan pencerahan :) )

Kalau tanya sahabat sekelas, syair 'Antarah ni cerita pasal apa ye? Semuanya senyum sahaja. Yalah, tentang isu yang cukup orang suka.. Apa lagi kalau bukan soal hati, cinta dan perasaan.

Zahirnya saya tidak menafikan. Memang syair ini menceritakan tentang angan-angan dan impian Antarah terhadap pujaan hatinya. Siapa dia tu...??

Namun, sebenarnya jika kita teliti dengan lebih dalam, sebenarnya syair ini mengungkapkan sebuah sindiran sinis dan tajam yang diolah kemas mengenai perbandingan antara dua kehidupan yang berbeza latar belakang yang menjadi asas dalam masyarakat Arab di zaman Jahiliah. 'Antarah yang berlatarbelakangkan dari golongan hamba dengan cantiknya menyulam bilah-bilah sindiran melalui buaian perasaan cintanya terhadap 'Ablah, seorang perempuan terhormat dari sebuah kabilah Arab.

Mentaliti perkauman, berbeza warna kulit serta cintakan kedudukan yang menyelubungi masyarakat jahiliah ketika itu telah membangkitkan semangat Antarah untuk memperjuangkan penindasan yang dialami oleh kabilah mereka. Revolusi pemikiran ke arah persamaan hak dan taraf.

Ya, 'Antarah bercakap dari hatinya, menzahirkan rasa dari ketidakadilan sekeliling. Dan zaman kemunculan Islam menatijahkan segala impian dan harapan kecil 'Antarah. Merubah hina dina ke semulia insan, meletakkan insan hanya berada di dalam satu ukuran takwa sahaja.

Dr pun puji syair ni. Katanya syair ni adalah antara syair yang paling baik dan cantik dalam kiasannya berbanding syair-syair mu'allaqat lain. ( boleh mengiyakan sahaja lah, nak banding pun, semester ni hanya belajar satu syair mu'allaqat sahaja, ada baki sembilan syair yang melambai-lambai untuk diteliti dan dihayati )

Barangkali isu make up judi bola di Malaysia dihasilkan menggunakan qadiah yang sama. Tapi terbalik. Benda yang sudah dimaklumi akan haram dan buruknya dicantikkan dengan istilah logik dan tambah kemas disulamkan dengan qarar-qarar qanun.. Inilah, ilmu yang baik ikut nafsu, disalahgunakan, merosakkan masyarakat pula.

*Imtihan Nusus Jahili minggu hadapan.. Doakan saya ya!!

Juga tak sabar nak mengulit syair-syair / nusus di zaman era kebangkitan Islam dan Umawiyyah semester depan. Insyaallah.

(Insyaallah, jika ada kesempatan dan ketika saya terjemahkan bait-bait syair ini).

4 Mei 2010

Alhamdulillah fasa pertama imtihan thani dapat dilalui dengan baik.

Mengukur sejauh mana yang telah dapat dihadam setakat ini.. Natijahnya? Doa-doakanlah semoga semuanya najah.. ( tak dapat bayangkan perasaan sahabat-sahabat seperjuangan Maahad Qiraat Al-Azhar.. Ujian diri ini tidak sehebat mereka).

Dalam masa sebulan ini, pelbagai peristiwa yang menitip sejuta ibrah yang dilalui mengenalkan diri apa sebenar tujuan bermusafir di bumi Syam yang penuh rahsia ini..

Menguji niat dan ilmu yang ada.. Adakah masih melekat untuk diamal.. Masih segar untuk dikongsi bersama..

Tak lupa tahniah buat teman-teman atlet Mu'tah. Memecah tradisi. Bawa pulang kejuaraan bermakna dari Mafraq..
( kiranya berbaloilah ye, sakit-sakit urat, terseliuh, melecet ataupun sakit-sakit yang sewaktu dengannya. Harapnya tak melarat. Syafakumullah ! )

Nak cerita apa sebenarnya ni?

Jaulah kecil ke bayt Sofa' ( kalaulah dia pandai BM.. )

Jumaat di musim rabi' ini memang mendamaikan. Akhirnya Allah memberi keizinan kepada kami untuk menziarahi Sofa' dan keluarga di teratak mereka yang berhampiran laut Mati..

Sofa..
Gadis berdarah Palestin yang ku kenali seawal kelas Bahasa Inggeris pertama.. Menemani tatkala diri ini masih takut-takut mengenali dunia Mu'tah..

Perjalanan hampir mengambil masa sejam dari Karak tidak menjemukan. Menghayati pemandangan musim bunga dari dalam coaster sambil mendengar celoteh ammah dan ammu arab. Pohon-pohon anggur mula merimbun. (Terpesona melihat sepohon anggur yang tingginya setinggi rumah dua tingkat ( menghijau di atas sutuh (loteng) Pelik melihat kami bersemangat menuju ke Ghar..

"Kalau melancong, pergilah ke Karak"

Disangka kami ini datang dari Jepun.. Mungkin tak biasa melihat Malayzi kot?

Ghar, tempatnya berhampiran laut Mati.. Kawasan yang lebih rendah dari Mu'tah menyebabkan perbezaan suhu yang agak ketara ( terutama waktu malam)..

Cuma 10 minit untuk ke Laut Mati.. (namun di hujungnya terdapat projek kerjasama dengan Israel = pengestrakan garam ).. Menurut Sofa', sebab itu juga air laut Mati semakin surut.. Tidak sedalam dulu.. Israel yang tamak..

Coaster yang kami naiki berhenti di tepi jalan. Sambil menunggu abangnya mengambil kami, angin hangat menampar-nampar pipi. Sedikit menggigit..

"Lihat sana"

Kami memandang ke arah yang ditunjukkan Sofa.

"Ma za?" ( Nampak macam khemah-khemah.. Eh ada himar.. (teruja melihat himar)

"Perkampungan Badwi"

Berbumbungkan khemah-khemah lusuh.. Ditemani himar di samping gusar hadirnya sang dubuk dan anjing-anjing liar di malam hari..

Senafas itu, semua terdiam.. Terbayang kehidupan kami.. Jauh sekali bezanya..

Cuma sekadar khemah.. Tanpa ada perlindungan.. Berpindah randah tatkala bertukarnya musim. Soifi nanti mereka akan berhijrah ke Karak dan akan kembali menjelang musim sejuk..

Bagaimana kehidupan mereka?

Sangat miskin.. Tiada tanah.. Menjadi buruh untuk sesuap nasi..

Tiadakah kerajaan yang bertanggungjawab? Nada kesal Sofa' menjawab.. Ada, tapi seolah tiada..

Akhirnya, van yang dinanti tiba.. Kemanakah pula kami selepas ini??? Hati ini terasa kurang enak.. Di depan sana seolah-seolah ada pondok pengawal. Van meluncur laju menuju ke arah sebuah kawasan yang berpagar.

Apa ini? Penjara? Kem Palestin??

(bersambung....)

3 Mei 2010

Saat ini masih tiada keputusan..

Dalam getir rasa hati hati mereka menanti sebuah jawapan..

Isu nama mahasiswa/wi Qiraat yang masih belum muqayyad.. Perpindahan pelajar wafidin Al-Azhar Mansourah ke Kaherah..

Kesudahan atas sebuah janji ( mungkin hanya sebuah janji)..

Doa dan harapan masih tak lekang..

Ya Allah, permudahkan usaha mereka. Jangan kau biarkan tangan-tangan rakus yang menyangka mereka dapat memadamkan sinar Islam di bumiMU terus bermaharajalela..

Jangan pula ada yang coba-coba menangguk di air keruh..

Allah Maha Melihat dan Mengetahui apa yang kalian lakukan..

Buat semua sahabat Mahasiswi Maahad Qiraat Fatayat Mansourah dan Mahasiswa Shoubra. Tetaplah pendirian kalian. Semoga Allah mempermudahkan urusan kalian dan menghancurkan segala usaha tangan-tangan kotor yang manis kata-katanya..

Telus dari Ardul Kinanah :

1. Kami bukan budak-budak!!

2. Ibnu Ir fadzil