28 Januari 2009

Alhamdulillah..
Berakhirnya daurah matan memberi satu kepuasan yang tidak terhingga walau pada awalnya dalam keterpaksaan..
Bertemu tamu, ustazah Hasliza dari Amman, dalam fatrah beliau menyambung Phd di sana, menyegarkan kembali bunga-bunga cinta itu..

Menghayati falsafah bahasa.. Membawa diri cinta hanya kepada yang Maha Pencinta..

Sesungguhnya, ini lah kali pertama saya mendapat jawapan yang jelas dan nyata kenapa perlu untuk belajar bahasa.. terutamanya bahasa Arab..

Menelusuri perjalanan hidup ustazah di dalam dunia bahasa arab membuatkan saya rasa kagum.. Kagum dengan prinsip dan falsafah yang dipegang oleh ustazah.

" Kenapa saya tetap terus dalam bidang lughah.. Walau sampai Phd.."

"Kerana saya teramat cinta pada Bahasa Arab"

" Apa tanda kita cinta akan bahasa Arab?"

"Antaranya, apabila kita melihat sesuatu tulisan dalam bahasa Arab kita akan rasa sesuatu kalau ada kesalahan dalam tulisan itu"

Wah, sejauh mana pula kita ini..

Ustazah juga ada menerangkan dengan jelas, apa rasionalnya syair dipelajari apabila mempelajari bahasa Arab. ( walaupun hakikat yang diakui sendiri beberapa pelajar lughah, mereka berasa tiada kepentingan syair itu dihadam dalam kursus ini.. lebih-lebih lagi apabila menghayati syair-syair sab'ah mu'allaqat/ ada pendapat mengatakan 'asyarah mu'allaqat (syair zaman jahiliyyah). Jangan marah ya sahabat-sahabat lughah!)


Bagi saya hal ini sama keadaannya juga dengan bahasa ibunda kita. Yang maruahnya semakin dicarik-carik..

Indahnya mendalami bahasa itu, apabila kita mengkaji asal-usulnya. Menghayati bait-bait puitis, menilai makna yang tersirat yang akhir membawa kita tenggelam dalam keasyikan memahami erti kehidupan dan mengenal Maha Pencipta..

Terlalu dalam kata-kata dalam mengungkap rasa..

Benarlah, Al-Quran itu bukan rekaan bahkan mukjizat teragung anugerahNya kepada kita untuk difahami, dihayati dan diamalkan isi kandungannya..

Ingin saya berkongsi contoh tatbiq ayat dua dari Surah Al-Fatihah yang diterangkan dengan panjang lebar oleh ustazah.

الحمد لله رب العلمين

  • penggunaan kalimah " الحمد " ; kenapa tidak digunakan kalimah "الثناء " walaupun maknanya sama iaitu pujian..
  • Kalimah " الثناء " biasa digunakan untuk memuji kepada benda yakni makhluk selain tuhan.. Sedangkan kalimah " الحمد " lebih sesuai baik penggunaannya dalam menyatakan segala pujian itu hanya untuk Allah, yang memberi dan mencakupi di atas semua nikmat yang kita kecapi selama ini.
  • Ayat ini dimulai dengan jumlah ismiah ( Ayat yang dimulai dengan اسم ( kata nama) lebih hebat makna dan penggunaannya daripada ayat yang dimulai dengan فعل ( kata kerja ) menunjukkan segala pujian itu hanya bagi Allah dulu kini dan selamanya.

Semoga daurah sepanjang dua hari ini mampu menyuntik kesedaran dan menjana momentum kita semua untuk menguasai dan mendalami ilmu alat yang menjadi asas pemahaman ilmu-ilmu yang lain. Ilmu qawaid dan bahasa membantu kita untuk menyelami isi kandungan Al-Quran dengan lebih terperinci serta membantu kita memahami dengan baik ratusan ribu kitab-kitab agama di bumi Anbiya' ini mahupun di tanah air sendiri.
Oleh itu, bukalah hati berilah peluang untuk diri untuk mencari, usah dipandang bahasa Arab ini hanya dengan sebelah mata..

Hanya jauhari yang mengenal manikam!

Buat akhirnya, hayatilah terjemahan petikan syair yang ditulis oleh Ilya Abu Madhi ( penyair ini bukan beragama Islam, akan tetapi falsafahnya mengenai kehidupan ini bolehlah diambil untuk iktibar bersama)


Falsafah Kehidupan ( Ilya Abu Madhi)

Wahai orang yang selalu mengeluh,
Bagaimanakah kamu hendak menghadapi hari esok,
Sedangkan kamu melihat duri dari tangkai bunganya.
Akan tetapi, lihatlah kepada embun yang menghiasi bunga itu, ia bersinar bagaikan mahkota!
Orang yang hatinya tidak cantik, sentiasa hidupnya diselubungi dengan masalah,
Dia tidak akan melihat kecantikan dari apa yang ada di hadapannya.

Berseronoklah kamu dengan pagi hari ini,
Selama mana kamu berada di waktu pagi ini,
Jangan takut, kerna hari ini pasti akan berlalu.

Soal begini, burung pun turut mengetahuinya!
Sangat memalukan, andainya kita tidak mengetahuinya,
Sang burung itu terus menyanyi, walau mengetahui di atasnya ada helang yang akan memburunya,
Masih lagi menyanyi walau umurnya hanya untuk beberapa tahun sahaja..

Adakah kamu masih mahu menangis?
Walhal kamu lebih lama usia dari burung itu..
Marilah berusaha untuk mendapatkan kegembiraan,
Sebagaimana burung-burung mencari dahan pokok tempat berteduh tatkala tengah hari memancar sinarnya...

* Syukur kepada Allah, memakbulkan doa saya supaya ada orang yang akan mengajar dan membacakan kepada saya matan ajrumiah dan kitab tuhfatussaniah. Allah memberi kesempatan melalui wasilah ini. Alhamdulillah..

Sudah lama rasanya tidak melonggarkan sendi-sendi..

Tambah pula jauh di bumi 4 musim ini, pada awalnya dirasakan mustahil..

Yang penting semangat tetap membara..


Terima kasih terutama kepada penganjur dan semua yang terlibat dalam menjayakannya..

Tak sabar nak tunggu KARISMA menjelang.. Dengar kata kali ini di Mafraq..


Muslimah Power untuk UMMAH..


* Jangan pandang muslimah sebelah mata ya! Ada peranannya walau cara dan gaya berbeza

12 Januari 2009

Entah kenapa, berusaha mendapatkan satu data falak membuatkan semangat saya kembali berkobar-kobar.


Tapi sayang, hendak merujuk kembali; kitab-kitab serta risalah pengajian dahulu tidak pula dibawa. Fakta-fakta yang ada di minda pun sudah hampir berhabuk.

Mujur juga laman-laman web astronomi serta beberapa fail versi pdf masih lagi dalam simpanan. Boleh juga diselak kembali. Cuma, praktikalnya sukar sekali dilakukan. Biasalah kekurangan peralatan, bahan, dan rujukan dan yang paling penting, sahabat yang sama minat sedikit sebanyak membantutkan hasrat. Apa pun.. Saya tidak akan mengalah.. Insyaallah.

Sedikit persoalan. (saya harap sahabat-sahabat yang fakih @ tahu boleh berkongsi maklumat dengan saya )


1) Bagaimana penentuan waktu solat mengikut mazhab (yakni mengikut kaedah fiqh). (Mengikut pengetahuan saya yang secebis ini, terdapat perbezaan kaedah penentuan waktu solat antara mazhab Syafiee dan mazhab Hanafi)

Sebarang perkongsian bolehlah terus melalui emel saya : nazmaazmi@gmail.com. Terima kasih

12 Januari 2009


Bermacam-macam isu yang timbul sekarang..

Ada yang sensitif..

Ada yang biasa..

Ada yang penting, tapi dipandang biasa..

Biasalah peredaran zaman..


Di Malaysia sekarang, hangat!

Isu Nama Allah ; digunakan untuk kegunaan agama lain..

Apa respon anda?


Saya bukanlah orang yang sesuai untuk mengulasnya. Dek tandusnya ilmu..

Mengharapkan situasi ini akan dineutralkan dengan baik..


Cuma terfikir,

Adakah bila begini keadaannya, adakah ummat muslimin akan :

1) Kembali ke pangkal jalan

2) Menyedari bahawa teruknya pengamalan dan kefahaman Islam di kalangan masyarakat Muslim

3) Mengislah masyarakat untuk kembali mengamalkan Islam yang sebenar

4) Sedar bahawa rendahnya pandangan orang bukan Islam terhadap kesucian agama Islam sehingga mudah untuk diperkotak-katikkan


Saya tidak mahu menuding kepada mana-mana pihak. Cuma sedikit pesanan kepada semua, bertindaklah mengikut ilmu dan setelah menilai baik atau buruknya tindakan itu.

Ikut emosi, hancur binasalah diri. Nanti menyesal tiada berkesudahan.


*Memohon perkongsian maklumat dari teman-teman yang fakih.


Salam sejahtera buat semua.
Perkhabaran dari laman web Falak Online.
Gerhana Matahari Separa akan berlaku ( mengikut kiraan ahli astronomi ) pada Jumaat ini. (15/01/09)


Kali ini ia merupakan gerhana matahari cincin yang akan dapat dilihat sepanjang laluan 300km yang merentasi benua Afrika, kemudian melalui Lautan Hindi di mana gerhana akan berada pada fasa paling lama iaitu 11 minit 8 saat.


Kemudian ia akan meneruskan perjalanan laluannya ke India, Bangladesh, Burma dan berakhir di China. Di Malaysia, hanya gerhana matahari separa sahaja yang dapat dilihat pada tarikh tersebut. ( Sumber :laman web falak-online.net )
Kuala Lumpur :
Fasa Sentuhan Pertama ( Mula gerhana ) : 3.01 petang
Fasa Maksimum ( 28.6 % matahari tertutup ) : 4.26 petang
Fasa Sentuhan Terakhir ( Tamat gerhana ) : 5.38 petang

Untuk maklumat lanjut klik sini



Buat sahabat-sahabat di Jordan, adakah anda juga teringin untuk menyaksikan salah satu fenomena alam yang membuktikan kehebatan ciptaan Allah ini? Insyaallah anda juga berpeluang untuk melihatnya. Kira-kira sekitar jam 8 pagi ke atas sehingga jam 9.45 pagi.


Memandangkan mungkin keadaan matahari agak cerah, tidak banyak kesan yang dapat dirasa atau dilihat ketika fasa gerhana. Mungkin paling jelas ialah suasana sekeliling akan kelihatan kurang terang berbanding biasa.


* Teruja menantikan dan memerhatikan gerhana, jangan lupa pula untuk menunaikan solat sunat gerhana. Masih segar, kenangan menunaikan solat sunat gerhana di Masjid Darul Quran tahun lepas.. Khutbahnya yang memberi ibrah.. Menggetarkan hati memikirkan kehebatan kuasa Allah.

Ingatkah kalian, tika wafatnya putera Rasulullah, Ibrahim.. juga berlaku gerhana matahari yang menyebabkan ada kaum muslimin menyangka ia berlaku kerana perginya putera nabi s.a.w. Namun, nabi tegas menyatakan itu semua berlaku sebagai tanda kebesaranNya yang perlu difikirkan oleh sekalian umat..

5 Januari 2009.

Imtihan Nihai akan menjelma beberapa hari sahaja lagi. Bagaimana ya persediaanya? Terpulanglah. Mengikut kemampuan masing-masing. Berusaha selagi terdaya. Sekian lama bercuti dari imtihan besar( kali terakhir adalah semasa peperiksaan Akhir Diploma di Darul Quran, bulan dua tahun lepas (jangan kira la imtihan awal dan thani :)).. Merasai suasana imtihan, buat saya terkenang. .

Bagaimana pula untuk kali ini. Semoga kita semua mendapat natijah yang terbaik. Yang penting setelah berusaha sedaya upaya, berdoalah dengan seluruh pengharapan kepadanya. Apa sahaja keputusannya, kita serahkan segalanya kepada Allah serta berusahalah untuk redha atas apa juan ketentuanNya.

Insyaallah, kita mampu untuk berjaya.

Perjuangan.

(Telaga Biru)

Perjuangan itu gerun dan mengerikan,
Hebat dan dahsyat menggerunkan hati,
Bagimu ini di sini harga dan nilai,
Bagimu ini di sini harga dan nilainya.

Perjuangan itu bagai sampan di laut,
Di atas, lapang tiada perlindungan,
Di bawah, air lambung menggulung,
Menongkah gelombang yang datang melanda.

Kiri kanan depan dan belakang,
Angin yang menderu tidak tahu bila datang,
Hujan badai yang datang menyerang,
Bak singa lapar yang garang.

Kadang-kadang terdampar di batu karang,
Penumpang menerima nasib berlainan,
Ada yang jatuh ada yang tenggelam,
Yang pandai berenang berpaut ke sampan.
Ya Allah, bantulah kami hidup di dunia dan akhirat.
Ada yang berjaya berenang ke tepian,
Sekali lagi ia melayar sampan,
Walau perlayaran mungkin tidak berjaya,
Namun harapnya hanya pada yang Esa.

* Hayati maksud yang tersirat di sebalik nasyid ini.. Salam Imtihan. Bittaufiq wan Najah.
Ini baru Imtihan di Dunia.. Di akhirat, kalau tak cukup persediaan, usah difikir ada jalan pintas untuk ke syurga.. Buat renungan bersama.

3 Januari 2010


Coretan ini saya tujukan khas buat sahabat-sahabat Muslimah yang saya kasihi keranaNya.

Isu yang nampak kecil, sering dipandang remeh. Namun, ia jugalah yang akan menjerat kita.

Sudah masuk kali ketiga kes ini ( gangguan seksual) berlaku. Juga setiap kali ia terjadi, bermacam-macamlah pesanan yang dititipkan. Masih jua malas mengambil endah. ( Eh, ini hati batu ke apa?)

Atau memang kalian sendiri mahukan ia terjadi?

Mungkin ada yang berfikir.

"Bukan aku yang kena"
"Kenapalah syabab suka sangat tegur pasal akhawat. Dia sendiri pun sama je. Dua kali lima sahaja"

Semalam, syabab menegur lagi. Aduh.. tebalnya muka. Bersalah juga ada. Diri sendiri seolah tidak berperanan membasmi.

Sukakah kita, andai hal ehwal peribadi kita diteliti orang bahkan lebih mengaibkan ia datang dari kaum berbeza gender.

Saudariku...

Kita ini tolabul ilmi. Bukan sebarang ilmu saudariku. Ilmu ini yang membezakan kita sama ada kita ini taqlid atau beramal kerana faham. Bukan sebarang.. Lebih-lebih lagi ilmu agama. Juga tak terkecuali bidang ilmu yang lain.

Menutup aurat.

Kerana apa saudariku kita berhijab. Menjaga seluruh inci diri dari pandangan mata manusia?
Suka-suka sahajakah? Atau sebab ia menjadikan kita lebih cantik?

Lupakah kita pesanan berharga dari Al-Quran,
" Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka ( daripada memandang yang haram ), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkann kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara perempuan mereka atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kami sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya.
( An- Nur, ayat 30).

"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya ( semasa mereka keluar ); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal ( sebagai perempuan yang baik-baik ) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan ( ingatlah ) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
( Al-Ahzab, ayat 59)

Ambillah iktibar dari kisah-kisah yang melanda sahabat-sahabat kita. Masing-masing sudah ma'ruf akan tuntutan menutup aurat dengan sempurna. Tidak perlulah diajar kembali secara khusus.

Islam tidak pernah mahu menyusahkan umatnya. Sekalipun ia bukan menyekat naluri kita untuk berhias. Namun, biarlah berpada-pada, kena dengan situasi yang kita lalui. Tidak salahkan untuk meninggalkan yang harus untuk mencari yang terbaik demi keredaanNya.

Apa guna cantik sahaja luaran, namun batinnya busuk, sebusuk bangkai.

Berpenampilan cantik tidak salah, cuma penyalahgunaan erti cantik itulah yang sering berlaku.
Berfesyen? Tidak salah. Hanya harus dikawal biar bersyariat dari terlalu mengikut nafsu.

Cukuplah kita berhias sekadar-sekadarnya sahaja.

Terutama sekarang.. Musim sejuk yang mencabar ini semestinya bukan alasan.

Pilihlah pakaian yang sesuai apabila keluar dari rumah. Tiada guna berbaju kurung atau berjubah labuh serta bertudung litup mahupun berpurdah, tetapi tetap tidak segan memakai jaket tebal ketat membalut tubuh ( macam sarung nangka pun ada nampaknya ). Awasi juga tingkah laku dan kata. Mungkin tanpa disedari, ada mata-mata galak memerhati dari jauh.

Ingatan buat muslimahku yang berniqab

Purdah itu adakah menutup muka sahaja, atau perlu sejalan dengan tuntutan syariat yang lain?
Ingat-ingatkanlah kembali saudariku, apa niat awal ketika terdetik hati untuk memakainya. Jelaskah kefahaman kita ketika itu dan sekarang.

Mungkinkah ia hanya satu fesyen mahupun 'uruf yang diikut. Ke sebab seronok tengok orang pakai? Moga-moga tidak ada yang memakainya hanya untuk menutup aib sendiri.
Di tangan kitalah jawapannya. Tepuk dada tanyalah iman.

"Tutup aurat wajib qat'i, purdah pula khilaf. Buatlah yang terbaik wahai akhawat seislam".
"Pakai purdah, tapi akhlaknya.. Masyaallah.

Mudah-mudahan kita bukan akan menjadi asbab kemudaratan dan fitnah kepada orang lain. Berusahalah untuk saling menasihati, mengingati dan yang paling penting berjuang mengislah diri ke arah yang lebih baik.

Kita mampu untuk mengubahnya, saudariku!

Didik jiwa dengan iman,
Moga diri tetap berseri,
Nafsu memang selalu sejalan,
Tahu-tahulah kita membawa diri.

2 Januari 2010

Alhamdulillah.
Allah masih mengizinkan saya.. Memberi kudrat untuk mengutip secebis ilmu dari lautanNya.

Hari ini, ada seminar Takhrij Hadis di PUSKMA. Rasanya terlalu singkat berbanding curahan ilmu yang perlu dihadam.. Pening juga nak faham.. Memandangkan sudah agak lama tidak membuka fakta asas yang telah dipelajari dahulu.

Walaupun saya mungkin tidak akan menelitinya lagi secara khusus selepas ini ( Insyaallah, jika Allah mengizikan pertukaran kursus akhir semester ini, nampaknya saya akan lebih banyak bermain dengan bahasa dan laras-laras bahasa sahajalah), saya amat mengharapkan semoga ilmu yang dipelajari hari ini tidak akan terhenti sahaja setakat itu..

Sesi pertama adalah mengenai pengenalan ilmu hadis. Bab ini merupakan kunci kepada skop-skop lain dalam pembelajaran hadis. Layakkah kita untuk mentakhrijkan hadis andai jenis dan martabat hadis pun tidak dapat dihadam dengan baik?

Kemudian, fasa meneliti ilmu takhrij hadis memang tidak dapat dilupakan.. Serta memberi satu keinsafan pada diri.

Saya terfikir, bagaimanalah keadaan ulama terdahulu. Tak terlawan rasanya sifat juhud mereka.
Bolehkan anda memikirkannya??..
Sekadar mengeluarkan sanad dan menilai rawi sebuah hadis pun sudah memakan masa dua jam (itupun sebenarnya tak sempat siap). Walhal semua kitab ada di depan mata. Menunggu untuk diselak teliti sahaja. Bercampur rasa ketegangan apabila hadis yang dicari tidak pula dijumpai.
Rupanya bukan senang hendak mentarjihkan sesuatu hadis hatta sanadnya sekalipun.. Kelu tidak terkata.

Bayangkan pula usaha ulama-ulama hadis terdahulu dalam menentukan martabat sesuatu hadis itu tanpa ada satu pun kitab-kitab sebagai rujukan. Bagaimana pula dengan penelitian terhadap rawinya sama ada siqah atau tidak?

Sahih Bukhari ditulis beberapa kurun sebelum kitab mengenai hal ehwal perawi hadis (rijal hadis) ditulis. Metod apakah yang digunakan Imam Bukhari dalam menilai hadis-hadisnya? Sungguh, sukar digambar dengan akal semata-mata.. Ribuan hadis bahkan mencecah ratusan ribu kemas tersemat dalam ingatan. Subhanallah.

Betapa hebatnya ulama-ulama silam. Mengembara ke seluruh pelusuk dunia semata untuk mencari dan menilai sesuatu hadis.
Kita pula bagaimana?

Mana lebih utama? Muhaddithin atau Fuqaha'?


Fuqaha' memang berkait rapat dengan golongan muhaddithin.
Muhaddithin menilai martabat sesuatu hadis manakal fuqaha' pula menilai serta mengelaskan hadis itu mengikut kefahaman yang sebenar untuk dijelaskan kepada orang awam.

Sebagaimana para muhaddithin boleh dianalogikan sebagai farmasi pengeluar ubat dan fuqaha' pula diibaratkan sebagai doktor yang menyalurkan ubat kepada pesakit mengikut kondisi rawatan yang perlu diterima(pendapat pembentang ketiga). Walau berbeza disiplin ilmu dan metod, kedua bidang sebenarnya saling melengkapi antara satu sama lain.. Beruntunglah bagi insan-insan yang dapat mengusai keduanya.

Tidak dapat dinafikan, walaupun akan menuntut di kuliyyah yang berbeza ( bidang lughah nanti sememangnya jauh beza dari ilmu syariah) saya merasakan perlu mencari ikhtiar untuk memastikan kemahiran ini dikuasai sepenuhnya. Amatlah rugi seandainya pengajian saya dalam ilmu hadis ini terhenti setakat ini sahaja..

Hari ini, cuma membekal sedikit asas. Untuk menjadi fakih, kita perlu berusaha lebih.. Menjadi luar biasa dalam keadaan biasa? Mungkinkah? Insyaallah semua itu dengan keizinanNya.

Semoga sahabat-sahabat yang menyertai seminar hari ini dapat memanfaatkan segala ilmu yang dicurahkan oleh pembentang-pembentang serta fasilitator kita pada hari ini.

Sedih rasanya, ada antara mereka sudah hampir sekali akan pulang ke Malaysia. Mudah-mudahan segala ilmu yang ditimba di sini dapat dicurahkan sebaiknya bila pulang ke tanah air nanti.

* Menanti kemunculan pengganti mereka yang akan mewarnai permusafiran taffaquh fiddin di sini..

Siapa lagi jika bukan generasi kita pula sahabat!

Mohon maaf jika ada fakta yang diutarakan ada khilafnya. Sesungguhnya saya bukanlah seorang yang alim mengenai ilmu hadis berbanding sahabat-sahabat lain yang sememangnya fakih dan berkecimpung di dalam bidang ini. Sekadar perkongsian dari apa yang dipelajari dari seminar hari ini.