14 Oktober 2010

Alhamdulillah, sedikit kelapangan yang ada harus dimanfaatkan sebaiknya. Betapa kesyukuran kepadaNya atas segala kurniaan.

Masa lapang dan sihat, dua nikmat yang selalu dilupakan oleh manusia.

Nikmat itulah yang selalu menguji sejauh mana kita ini masih ingat padaNya. Bukan waktu terjatuh, kesusahan itu baru terasa mahu dekat denganNya.

Syawal lalu, kelas Al-Quran yang ditawaquf seketika sepanjang Ramadhan kini bersambung. Sahabat-sahabat pun semua dah kembali ke tanah gersang dan tandus Mu'tah. Sambil-sambil angin sejuk musim luruh sepoi-sepoi bertiup sedikit menggigit.

Cukup rindu dengan Ummu Muhallab. Musyrifah wa Anisah wa Sheikhah..

Sudah hampir setahun belajar mentahsinkan bacaan Al-Quran, membetulkan makhraj yang dulunya masih kemelayuan, dan meng'arab'kan lahjah bacaan menggamit seribu penghargaan yang tidak terhingga.

Betapa diri ini kagum dengan semangat murabbi yang ada pada setiap pendidik Al-Quran kami. Jua pada semangat ibu-ibu yang masih tidak segan duduk bersama mentahsinkan bacaan mereka.

Hari ini, kelas berjalan seperti biasa.

Sedang belajar mengulangkaji pelajaran ilmu tajwid, bab makhraj; tiba-tiba Ummu Muhallab mengajukan satu persoalan.

"Kamu datang belajar ke sini, belajar al-Quran di sini, datang jauh dari negara kamu untuk apa?"

Terdiam seketika. Jawapan apa yang mahu keluar ni?

"Nak faham Al-Quran, nak baca dengan betul, bla,bla.... "

Semua tersengih. Tak kurang ada yang tersenyum. Berebut mahu menjawab. ( nak tunjuk pandai cakap arab ke? )

Ummu Muhallab lantas menyambung.

"Bukankah dituntut di dalam solat untuk membaca Al-Quran dengan betul?"

Ahaa, betul tu. Al-Fatihah tu kan wajib dalam solat.

"Juga sebenarnya dituntut kepada kita, umat Muhammad agar membaca Al-Quran sebagaimana lafaz dan bacaan yang diturunkan dari Langit kepada Nabi kita.."

Terfikir. Betul juga. Itu lah hadaf yang sebenar. Selepas itu, barulah perkara lain yang berkaitan akan datang menyusul.

Bagaimana mahu menghayati keindahan, mengagumi i'jaz setiap ayat Al-Quran andai bacaan kita pun masih lagi merangkak-rangkak, masih lagi banyak kelompangan.

Tiada beza antara hamzah, dan ain, qaf juga kaf.. Bagaimana pula hukum tajwid, dari segi izhar dan ghunnah.. Allah!! Banyak lagi yang perlu lagi dibetulkan.

"Dan apa yang penting, bila kamu semua sudah pulang ke tempat asal kamu, menjadi tugas dan kewajipan kepada kamu semua pula untuk mengajarkan Al-Quran kepada sekalian masyarakat kamu"

Rasulullah bersabda:

"Khairukum.. "

Wah satu kelas mengikut. Mana tidaknya, hadis ini sering diulang-ulang disebut dan disiar. Terpampang megah di logo taman indah di perbukitan hijau Kuala Kubu Bharu yang tetap kemas dalam ingatan.

“Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar Al-Qur’an dan mengajarkannya.”

(Sahih Bukhari)

Begitulah, kita jangan menganggap mudah akan bacaan Al-Quran. Terkadang terasa syok sendiri dengan irama bacaan sampai terlupa mana satu makhraj yang betul, mana juga hukum tajwid yang terkurang.

Jadi, usah segan untuk belajar. Bagi yang berpeluang ke negara Arab, peluang untuk belajar dan mengaji dengan guru Al-Quran yang berlahjah arabiah sepatutnya tidak dilepaskan. Para duat juga tak terkecuali. Ilmu Al-Quran harus kukuh dalam diri.


“Orang yang membaca Al-Qur’an sedangkan dia mahir melakukannya, kelak mendapat tempat di dalam Syurga bersama-sama dengan rasul-rasul yang mulia lagi baik. Sedangkan orang yang membaca Al-Qur’an, tetapi dia tidak mahir, membacanya tersekat-sekat dan nampak agak berat lidahnya (belum lancar), maka baginya akan mendapat dua pahala.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan daripada Abu Musa Al-Asy’aru ra, katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:

“Perumpamaan orang mukmin yang membaca Al-Qur’an adalah seperti buah Utrujjah ( oren ) yang baunya harum dan rasanya enak. Perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca Al-Qur’an seperti buah kurma yang tidak berbau sedang rasanya enak dan manis. Perumpamaan orang munafik yang membaca
Al-Qur’an adalah seperti raihanah ( selasih ) yang baunya harum sedang rasanya pahit. Dan perumpamaan orang munafik yang tidak membaca Al-Qur’an adalah seperti hanzhalah ( sejenis labu ) yang tidak berbau sedang rasanya pahit.”
(Riwayat Bukhari & Muslim)

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amrin Ibnul Ash ra dari pada Nabi saw bersabda:

“Dikatakan kepada pembaca Al-Qur’an, bacalah dan naiklah serta bacalah dengan tartil seperti engkau membacanya di dunia karena kedudukanmu adalah pada akhir ayat yang engkau baca.”

(Riwayat Abu Dawud, Tirmidzi dan Nasa’I, Tirmidzi berkata, hadis ini hasan sahih)


Mudah-mudah diri ini terus ingat, rajin untuk iadah tanpa jemu mentatbiq kefahaman di samping mengislah dan menyebarkan kepada sahabat sekeliling.

Amin, Insyaallah !! Allahumma yassir !!

* Rujukan : Adab Hamalatul Quran oleh Imam Nawawi


0 ulasan: