18 Oktober 2010

Alhamdulillah, AGM KMKJ kali ke 15 yang dirancang oleh pimpinan sesi lepas telah pun selesai dan berjalan dengan baik. Satu pengalaman baru sebenarnya. Walaupun, ianya sudah kali kedua berada di tempat itu. ( Dahulu di taklifat dan suasana lain.. dQ @ Perkemat 2007/2008 )

Masih segar kenangan itu, di mana berdepan dengan wajah-wajah huffaz yang berbeza pemikiran dan kefahaman, namun masih sarat dengan harapan tarbiyah. Memang menggerunkan. Sesungguhnya saat itulah sendiri yang banyak mengajar diri ini erti dan nilai kepimpinan dan perjuangan yang sebenar.

Itu cerita lama, diimbas kembali untuk menghirup sedikit kekuatan.

Kini, amanah yang tergalas semakin memberat. Kalau dahulu hanya memikirkan soal lajnah sendiri, dengan pantauan dan sokongan dari teman-teman sekerja, Alhamdulillah, bahtera kecil yang dikemudi mampu dilayarkan, walau tidaklah selaju sahabat-sahabat lain. Walau ketika itu diuji dengan ombak dan dugaan yang mampu mengubah hala, yang hampir ketika itu tak mampu hendak melayarkan semula bahtera kecil itu, syukurlah Allah masih lagi mendengar rayuan dari hati hambaNya yang sangat daif dan lemah.

Sesungguhnya hamba ini hanya mampu mengharapkan inayah dan nusrah dari Yang Maha Mengetahui setiap perjalanan kehidupan hambaNya.

Sekarang, menjadi pembantu nakhoda sebuah kapal besar, yang diharapkan bakal melahirkan anak-anak kapal yang berwawasan dan berkualiti sememangnya memerlukan satu kekuatan dan persediaan yang bukan sedikit. Hakikatnya, diri ini masih terlalu kecil. Masih berusaha dan belajar untuk memahami dan membumikan setiap fikrah dan kefahaman yang ada di kalangan setiap anak kapal. Apatah lagi berpindah ke kapal baru, masih belum fasih sepenuhnya akan bagaimana mahu mengemudi dengan cara terbaik.

Saya masih ingat tangisan sahabat seperjuangan tatkala membaca ayat ini. Menggetarkan hati-hati kami tatkala kedinginan malam mula menyelimuti diri. Menyedarkan membasahi hati yang alpa.


KEZALIMAN DAN KEBODOHAN MANUSIA IALAH MAHU MENERIMA TUGAS, TETAPI TIDAK MELAKSANAKANNYA.

72. Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat (1) kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh,

73. sehingga Allah mengazab orang-orang munafik laki-laki dan perempuan dan orang-orang musyrikin laki-laki dan perempuan; dan sehingga Allah menerima taubat orang-orang mu’min laki-laki dan perempuan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

( Al-Ahzab, 72-73 )

Ya, bukan sebarang taklifan. Hatta sekecil-kecil jawatan hinggalah sebesar taklifan khalifah.

Apapun, moga taklifat ini menjadi penyuntik semangat dan motivasi untuk bertatih dalam medan sebenar setelah tamat belajar dan memiliki kehidupan sendiri pada masa akan datang. Jua penduga sejauh mana komitmen kepada pelajaran kita dapat dimaksimakan walaupun sekarang masa kita sudah terbahagi dari terus memfokuskan kehidupan di sini yang hanya belajar dan menelaah kitab.

Ilmu bukan datang bergolek, bukan hanya di dalam kelas, bukan hanya dengan menguliti sumber rujukan, bukan semata dari munaqasyah, Bahkan banyak pula bahan ilmu datang dari pengalaman kehidupan jua dari amanah dan taklifat yang tergalas. Moga diri sentiasa tabah dan kuat.

Namun, keyakinan saya pasti yang saya bukan berjuang berseorangan, saya masih ada teman dan sahabat yang tidak jemu menolak, membantu andai tersungkur mahupun tersalah jalan.

Mudah-mudahan, kita semua mampu memikul amanah ini, bersama untuk mengislahkan sebilangan kecil ummat manusia, juga menjadikan wasilah kepimpinan ini sebagai jalan untuk lebih dekat dan taqarrub kepadaNya..

Ya Allah, perkenankanlah dan permudahkanlah segala urusan kami.

0 ulasan: