9 Oktober 2010


Sudah berhari-hari memerap idea. Memutar pemikiran dan rasa. Namun kadang-kadang terasa tidak bercambah lantaran tandusnya input yang melewati pemikiran.

Hasilnya, isu yang diputar hanya berkisar pada tokik-topik yang sama. Malahan, isu-isu semasa yang saban hari mencarik-carik jati diri seorang muslim kian dipandang lesu.

Puncanya?

Adakah kurangnya nilai tambahan input dan pengaplikasiannya dalam permasalahan hari ini menyebabkan kalam bisu ini terus saja senyap dalam dunianya..

Seolah wasilah yang ada tidak digunakan sebaiknya.

Jalannya sebenarnya sudah ada.. Bertitik tolak dari kita sendiri. Menyedari hal itu, tapi untuk berubah terasa agak sukar sekali.

Isunya mungkin terpencil. Tapi bagi seorang yang berangan mahu menjadi pemikir Islam la budda mesti ada sifat ini ada dalam dirinya.

Membaca dan mengkaji.

2 aspek berlainan tapi kerjasama antara keduanya menghasilkan satu natijah yang besar.

Soalnya, bagaimana pula sumber-sumber bacaannya.. Di pasaran sekarang bercambah berbagai jenis bahan bacaan. Ilmiah, falsafah, keagamaan, kekeluargaan, pendidikan, sains, sukan, hiburan, akhbar-akhbar politik dan nyamuk, dan sebagainya. Dari serendah-serendah mutu ke seberat-berat falsafah yang cuba diterapkan oleh para penulis.

Tak dinafikan kecanggihan hari banyak membantu dan memudahkan kita merekodkan jumlah koleksi e-book dalam cakera keras laptop, ataupun taip sahaja di layar sesawang. Mudah, senang dan menjimatkan.

Barangkali saya masih lagi selesa mengaplikasikan cara kuno,( kunokah baca buku tu ?) menyebabkan masih lagi tidak terasa nikmatnya meratah isi-isi penting dari kedua-dua kaedah ini. Tambahan pula koleksi rujukan yang ada sekarang banyak dalam bahasa kedua.. ( lughah arabiah), menjadi satu cabaran besar buat diri.

Beralasankah saya ini?

Falsafah Iqra'

Jalan yang ada sudah pun terbentang. Nak atau tidak sahaja. Pelbagaikan sumber, selarikan dengan kajian ( rujuk juga orang yang ahli/ pakar dalam bidangnya ) agar kita mendapat kefahaman yang betul.

Tak dinafikan membaca/belajar tanpa berguru kelak akan membawa kepada pentafsiran yang salah. Tambah-tambah pula pelbagai jenis aliran pemikiran yang ada sekarang semestinya memungkinkan kita terpengaruh dengannya.

Jua bahan-bahan yang ada kadang-kadang tidak dapat dipastikan kesahihannya.

Apapun, jangan alasan-alasan ini membantutkan semangat dan rasa untuk terus menguliti kitab-kitab yang ada.

Mahu menjana idea? Pemikiran yang kritis takkan lahir semula jadi.

Sumber pula perlu bersesuaian dan tepat.

Seeloknya, hadamilah dahulu kitab-kitab asas, karangan ulama-ulama silam. Yang menjadi rujukan kepada beribu-ribu kutub hari ini.

Memahami sesuatu isu dari luar, tentu tidak seenak menikmati puncanya dari asas. Juga kajian dan tatbiq sesuatu ilmu itu semestinya harus dilatih. Mahu menerima sahaja bulat-bulat tentu sahaja tidak akan mencapaikan kita dengan falsafah iqra' itu sendiri.

Bertanya, mengkaji, membaca, mencerna pemikiran dan idea harus sekali berselarikan kalam wahyu tidak hanya aqli semata.

Semoga pencerahan lahir dari pemikiran yang bersih, input yang berkualiti juga output praktikal yang sentiasa dilazimi.

* Menguliti kitab-kitab pengajian kuliah..
Mahu mencari rasa nikmat dan enak sambil mendambai kasih sayang dan redhaNya. ( semakin tebal dan mencabar.. ada juga yang tidak disuap pensyarah. Berkampung di maktabah la nampaknya merasai sedikit jihad serta juhud pencarian ilmu para ulama' ).

* Membaca bukan hanya untuk imtihan dunia yang kecil sekali harganya, malah moga-moga menjadi ulama' terpandang di sisNya..

Insyaallah.

0 ulasan: