22 Julai 2010

Hari ini dan semalam. Alhamdulillah udara dan suhu agak rendah berbanding sebelumnya. Tapi, teriknya panahan matahari masih lagi lagi menikam mata.

Sudah hampir sebulan kelas bermula. Terkadang rasa penat itu datang. Maklumlah, kelas yang sama setiap hari.

Tapi tak apa. Cabaran belajar.

Syukur, tak sia-sia rupanya mengambil subjek Nusus fi Sadr Islam wal Umawi dalam semester soifi. Ditambah pula, statusnya sebagai madah kunci untuk madah syair-syair zaman seterusnya menyebabkan tidak dapat tidak, subjek ini harus diteliti dengan baik.

Sudah 4 syair dipelajari setakat ini. Satu tempoh yang singkat sebenarnya sebulan itu. Bayangkan, setiap satu syair paling kurang ada 50-80 bait. Kami harus bertungkus lumus memahaminya. Bukan apa, kelas setiap hari dan syair yang lepas tidak akan diulang.

Mujurlah doktor menyertakan ringkasan dalam kitab pengajian. Jika tidak, mahu kami bertujuh terkapai-kapai mencari arah dalam memahami tema setiap syair ini. Hari ini pun belajar nasar baru. Khutbah Al-Batraa' ucapan Ziyad bin Abiihi kepada penduduk Iraq.

Agak laju pembelajaran semester ini.

Bermula dengan pengenalan asas mengenai perkembangan syair di zaman permulaan Islam sehingga zaman Khilafah Umawiyyah.

Sebenarnya, syair telah mengalami zaman kemerosotan dalam periwayatan syair dan juga penerapan unsur kesenian yang ada di dalam syair juga dikatakan telah berkurang ketika zaman ini. Puncanya, pada zaman permulaan Islam, kebanyakan penyair atau umat Islam lebih tertumpu kepada usaha penyebaran dakwah Islam, pembelajaran serta penghayatan yang lebih khusus terhadap kitab suci Al-Quran. Ini menyebabkan keutamaan masyarakat Arab kepada syair telah berkurang di samping usaha islah mereka sendiri terhadap kefahaman agama.

Ini bukan bermakna tiada langsung syair diriwayatkan pada zaman permulaan Islam, bahkan Rasulullah sendiri mempunyai sahabat-sahabat yang terdiri dari golongan penyair. Berfungsi melawan kembali syair-syair musyrikin yang menghina Rasulullah, juga sebagai satu wasilah untuk menyebarkan lagi Islam. Tiada dalil pun yang menyebut tentang pengharaman syair. Melainkan jika syair itu digunakan untuk menghina Rasulullah dan Islam.

Syair pertama:
Banat Suad- oleh Kaab bin Zuhair.


Secara umumnya syair ini menceritakan tentang perasaan / keadaan yang dialami oleh Kaab sebelum dan selepas memeluk Islam. ( Kaab dikenali sebagai penyair mukhadramin- iaitu penyair yang melalui dua zaman, iaitu zaman jahiliah (sebelum Islam) dan selepas kebangkitan Islam.

Jika diteliti dengan dengan lebih jelas, unsur seni yang terdapat dalam qasidah ini masih lagi menggunakan sebahagian unsur /uslub syair yang banyak terdapat dalam kebanyakan syair zaman Jahiliah.

Menurut doktor, ada tiga bahagian utama dalam qasidah ini. Pertama, pengenalan qasidah yang berunsurkan uslub luahan perasaan cinta, kemudian pujian terhadap Rasulullah dan akhir sekali pujian terhadap kaum muhajirin.

Bahagian pertama: Mukaddimah berunsurkan cinta.

Jika anda (maksud saya pelajar B.Arab) perasan, kebanyakan penyair zaman Jahiliah menggunakan uslub ini dalam penghasilan syair-syair mereka. Contohnya syair Antarah. Fokusnya cinta bukan?

Namun, dalam qasidah ini, bukanlah tujuan Kaab menggunakan uslub ini sebagai fokus penceritaan, cuma apa yang dijelmakan di dalam sifat-sifat Sua'd merupakan perumpamaan/ syibih terhadap apa yang dialami oleh diri Kaab sama ada sebelum dan selepas keislaman beliau.

Juga perjalanan hidup yang dilalui sebelum menerima cahaya Islam. Hal ini disyibihkan dengan perjalanan/pengembaraan seekor unta yang melalui pelbagai jalan yang susah dan adakalanya melalui jalan yang mudah sebelum sampai ke destinasi pengembaraan.

Bahagian kedua: Pujian terhadap Rasulullah.

Kaab memeluk Islam, agak lewat dari sahabat-sahabat Rasulullah s.aw. yang lain. Di mana, ketika masih belum memeluk Islam, beliau merupakan salah seorang penentang Islam yang kuat. Sehinggalah, ketika pembukaan Kota Mekah, nama beliau disebut sebagai salah seorang musyrikin yang layak untuk dibunuh ketika mana Rasulullah memberi pengampunan kepada seluruh rakyat Kota Mekah.

Bagaimana kemurahan hati rasulullah dan kaum muslimin memaafkan segala kesalahan dan kekejaman beliau dengan syahadah yang dilafazkan. Betapa lapang dan tenang hatinya dirasai, sehingga beliau tidak lagi kisah akan dipinggirkan oleh teman-teman seperjuangan yang masih lagi kufur akan kemurnian Islam.

Indahnya hidup bertuhankan Allah, berasulkan Nabi Muhammad s.a.w dan bersaudarakan seluruh kaum muslimin.

Sebesar-sebesar nikmat dan kebahagiaan yang dianugerahkan kepada Kaab.
Itulah yang tergambar dalam bait-bait syair ini.

Bahagian ketiga : Pujian terhadap kaum Muhajirin


Sebagaimana yang kita sudah ma'ruf, kaum muhajirin merupakan di antara pendokong yang sama-sama berjuang dengan Rasulullah s.a.w sejak dari awal kebangkitan Islam. Sama-sama merasai susah dan senang perjuangan Islam bersama nabi.

Kesanggupan meninggalkan segala kesenangan untuk sama-sama berhijrah ke Madinah sememangnya tidak dapat digambarkan betapa hebatnya pengorbanan mereka terhadap dinul Islam, tambah meninggalkan suatu perasaan kagum Kaab kepada golongan Muhajirin.

Sama-sama berperang dengan Rasulullah, sedia dipersaudarakan dengan Ansar, kemudian bergabung untuk lebih menguatkan Islam.

Semuanya terangkum indah dalam bait-bait puitis qasidah Kaab.

Seronok kan belajar syair.. Kiranya saya boleh menyetujui pendapat Ustazah Hasliza (bakal bergelar Dr.), antara manfaat yang boleh diambil dari belajar syair, menambahkan rasa cinta terhadap pencipta.

Subhanallah, indahnya Bahasa Arab, Lughatul Qur'an dan Jannah.

Ayuh, bagaimana pula qasidah kedua?? Nantikan sambungannya.

*Sedikit tasawwur ringkas dari kefahaman saya mengenai syair ini.. Andai ada tersalah, mohon pembetulan dari sahabat-sahabat.

0 ulasan: