13 Julai 2010

Pagi di musim soifi.

Memang agas panas. Walaupun angka jam hampir menjejaki angka lapan, bahang terik matahari jelas terasa.

Dia melangkah ke kelas bahasa Arab 101 dengan pantas. Tidak perlu risau, masih ada lima minit lagi. Namun, hati terasa gusar. Entah apa yang melingkari hatinya..

Pensyarah memulakan kelas dengan menanda kehadiran pelajar. Semuanya senyap mendengar nombor yang disebut oleh doktor seraya menjawab.

"Naam"

Halaman buku pembelajaran dibuka. Hari ini belajar tentang hamzah. Ada dua jenis. Satu hamzah wasal dan satu lagi hamzah qata'.

Tiba ke kalimah " Ibrahim ", doktor bertanya.

" Haza hamzah qata' aw la? "

Seisi kelas menjawab,

"Qata' "

Betullah, ini nama khas. Isim alam..

Lantas doktor melanjutkan sebuah cerita, tarbiyah dan ujian yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim beserta anaknya. Dia memasang telinga. Mendengar dan cuba memahami setiap butir patah kata yang dituturkan oleh pensyarah Bahasa Arabnya itu.

"Allah memberi sesuatu ujian itu, sesuai dengan kemampuannya. Allah tahu Nabi Ibrahim mampu melalui ujian, juga anaknya Ismail a.s mampu mengharungi satu perintah yang berat. Begitu juga kita"

Dia termenung sejenak.

Benar, takkan sia-sia Allah mengujinya saat itu. Walau di kala itu, terasa berat sekali bahu untuk memikul dan menghadapi satu ujian, pasti di akhirnya akan ada kesudahan.

Allah tahu dia mampu, sebab itu dia diuji dengan cara ini..

Alhamdulillah, Allah memberi peringatan dengan cara yang tidak diduga..


.....................................xxxxx..........................................


Itu cerita minggu lepas..

Hari ini, bahang mentari seperti biasa memanaskan bumi ma'rikah..

Sesekali dia rasa muak dengan karenah remaja-remaja Arab yang baru meningkat matang.. Sedih jua, sedikit sebanyak mencemar suci debu-debu padang pasir yang berterbangan tatkala ditiup angin.

Pelajaran bahasa Arab, masih lagi berkisar tentang hamzah. Bab terakhir, bagaimana menulis hamzah di bahagian hujung kalimah.

Pintu kelas diketuk. Rupanya masih ada yang lambat.

Dengan riak selamba, si lambat berjalan masuk ke dalam kelas..
Doktor memandang langkahnya sampai ke kerusi..

" Anakku, ingatkah kamu suatu hadis nabi ini.

Mafhumnya :
Rasulullah s.a.w bertanya kepada sahabat-sahabatnya r.anhum, "Apakah perkara yang paling cantik bagi seorang perempuan". Masing-masing menjawab, " Pada wajahnya ", ada juga yang menjawab " rambutnya", ada yang menjawab dengan bermacam-macam jawapan..

Kemudian Rasulullah s.a.w mengajukan soalan yang sama kepada anakandanya, Fatimah."Apakah perkara yang paling cantik bagi seorang perempuan". Maka jawab Fatimah, " Malu ".

Soalan itu juga ditanyakan kepada Ali r.a. Maka jawab Ali r.a, " Malu, ya Rasulullah ". Maka jawab Rasulullah, " Telah benarlah kata-kata Fatimah "

Dia menarik nafas. Berfikir, betapa sudah banyak sifat malu yang sudah tercabut dari diri-diri muslimah.

"Ya Allah, janganlah Kau cabut sifat malu ini dari diri ini.."

Dalam diam dia berkali-kali melafazkan doa.

“Sesungguhnya sopan santun dan keimanan adalah saling berkaitan, jika salah satunya dikeluarkan, yang satu lagi juga akan hilang serentak.”
(Hadis Riwayat Baihaqi)


Ilmu alat dan adab serta akhlak, berbeza namun indahnya jika terangkum bersama.

* Sumber hadis tak dapat disahihkan. Andai pembaca ada informasi, sudi-sudikanlah berkongsi dengan penulis. Harap maaf.

0 ulasan: