20 Jun 2009


Bahang-bahang sudah mula terasa. Tak sampai dua minggu lagi pilihanraya MPPM akan berlangsung. Walaupun tidaklah terlibat sepenuhnya, namun menjadi pemerhati dari luar, memberi satu pengalaman baru.

Pilihanraya MPPM merasmikan tirai pembukaan semester baru semester musim panas, kemudian bagi kami di Mu'tah, pilihanraya bagi memilih saff kepimpinan baru PERMATA, dan barangkali diakhiri dengan AGM Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) negeri-negeri masing.

Bak kata pepatah, lain padang lain belalang. Apapun suasana yang dilalui, sebenarnya tidak jauh berbeza. Keperluan melantik ahli dan pemimpin yang bersesuaian untuk memikul amanah sangat penting bagi menjamin kelangsungan perjalanan sesebuah organisasi. Tidak kiralah besar atau kecil peranannya kepada masyarakat sekitarnya.

MPPM merupakan organisasi induk yang menaungi kesemua persatuan-persatuan zon dan badan kebajikan anak negeri di Jordan. Kalau di Mesir lebih dikenali dengan PMRAM. Oleh itu, tanggungjawab untuk memilih pemimpin yang betul-betul mampu memikul tugas yang berat ini seharusnya tidak boleh dipandang enteng oleh kita khususnya mahasiswa dan mahasiswi di Bumi Hasyimiah Jordan ini. Dalam menjana proses perkembangan kita sebagai penuntut ilmu, tidak dapat tidak, pilihanraya dan kepimpinan di alam kampus menjadi salah satu medium bagi menjana kematangan mahasiswa sebelum melangkah ke alam realiti apabila tamat belajar dan pulang ke tanah air. Mengurus organisasi, hikmah menghadapi ahli dan orang bawahan, kebijaksanaan membaca situasi juga ketepatan membuat keputusan yang baik menuntut pelbagai kesabaran dan kesungguhan kepada seseorang pemimpin.



Hakikatnya, kepimpinan itu merupakan suatu amanah dan tanggungjawab besar yang perlu dipikul oleh mereka yang diberikan amanah tersebut. Pemimpin merupakan orang yang akan melaksanakan tanggungjawab sebagai ’khalifah’ di kawasan yang ditadbirnya. Khalifah sebagaimana yang disebut oleh al-Imam al-Mawardi dalam kitabnya yang tersohor iaitu ’al-Ahkam al-Sultaniyyah’ ialah kewajipan melaksanakan dan menegakkan agama serta mengurus, mentadbir dan memakmurkan dunia ini dengan cara yang tidak bercanggah dengan agama.

Firman Allah :

إِنَّا عَرَضْنَا الأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَنْ يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الإِنْسَانُ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولا (72

لِيُعَذِّبَ اللَّهُ الْمُنَافِقِينَ وَالْمُنَافِقَاتِ وَالْمُشْرِكِينَ وَالْمُشْرِكَاتِ وَيَتُوبَ اللَّهُ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا (73

72. Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat (1) kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh,


73. sehingga Allah mengazab orang-orang munafik laki-laki dan perempuan dan orang-orang musyrikin laki-laki dan perempuan; dan sehingga Allah menerima taubat orang-orang mu’min laki-laki dan perempuan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

(Al-Ahzab, Ayat 72-73)


Amanah bukanlah sesuatu ’keseronokan’ yang hendak direbut dengan rakus dan tamak, tetapi ia merupakan tanggungjawab yang akan dipersoalkan di hadapan Allah di akhirat kelak. Justeru, setiap mereka yang berpotensi untuk dilantik menjadi pemimpin hendaklah sentiasa bermuhasabah diri agar tidak hanyut dibuai gelombang rakus dalam merebut jawatan tetapi menginsafi dengan amanah yang wajib dipikul apabila mendapat mandat daripada rakyat. Sehubungan dengan itu, Saidina Umar pernah berkata: ’Fahamlah terlebih dahulu (tanggungjawab dan amanah tersebut), sebelum kamu dilantik menjadi pemimpin’.

Juga, sabda Nabi saw dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari yang bermaksud: ”Sekiranya amanah itu disia-siakan, maka tunggulah kehancuran”. Lalu para sahabat baginda bertanya tentang bagaimanakah yang dikatakan bahawa amanah itu disia-siakan? Lalu nabi saw menjawab: ”(Amanah itu disia-siakan) apabila kamu menyerahkan sesuatu urusan kepada mereka yang tidak layak memikulnya, maka tunggulah akan kehancuran!”Dalam hadis nabi saw yang lain diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, baginda bersabda yang bermaksud: ”Setiap kamu adalah pemimpin, dan kamu bertanggungjawab kepada setiap perkara yang berada di bawah kepimpinan kamu, seorang imam (pemerintah) merupakan pemimpin, maka dia bertanggungjawab kepada sesiapa pun yang berada di bawah kepimpinannya…”.

Ciri-Ciri Pemimpin Islam

Beberapa ciri penting yang menggambarkan kepimpinan Islam adalah seperti berikut:
  1. Setia Pemimpin dan orang yang dipimpin terikat kesetiaan kepada Allah.
  2. Tujuan Pemimpin melihat tujuan organisasi bukan saja berdasarkan kepentingan kelompok tetapi juga dalam ruang lingkup tujuan Islam yang lebih luas.
  3. Berpegang pada Syariat dan Akhlak Islam. Pemimpin terikat dengan peraturan Islam, boleh menjadi pemimpin selama ia berpegang pada perintah syariat. Ketika mengendalikan urusannya ia harus patuh kepada adab-adab Islam, khususnya ketika berurusan dengan golongan oposisi atau orang-orang yang tidak sehaluan dengannya.
  4. Pembawa Amanah. Pemimpin menerima kekuasaan sebagai amanah dari Allah yang disertai dengan tanggungjawab yang besar. Al-Qur’an memerintahkan pemimpin melaksanakan tugasnya untuk Allah dan menunjukkan sikap baik kepada pengikutnya sebagaimana Firman Allah SWT:
“iaitu orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka, nescaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang ma’ruf dan mencegah perbuatan yang mungkar, dan kepada Allah-lah kembali segala urusan.” (Surah Al-Hajj, ayat 41).

Semoga pilihanraya yang bakal berlangsung dapat dijalankan dengan baik.

Buat akhirnya, hayatilah sedikit kisah berkenaan sifat Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Moga menjadi peringatan buat kita bersama.

Pada suatu hari berkirim suratlah baginda kepada ulama Tabi’in yang masyhur, Hasan al-Basri, bertanya kepada beliau dari hal sifat-sifat Imam (raja) yang adil. Maka telah menjawab Hasan Basri demikian bunyinya:

“Ketahuilah hai Amirul Mukminin, bahawasanya Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah menjadikan raja yang adil laksana tongkat tua yang teguh condong yang akan menauri, lemah yang akan membila. Dia menjadi tujuan dari segala orang yang ragu, memperbaiki segala yang rosak, menguatkan segala yang lemah, tempat mengadu bagi tiap-tiap yang teraniaya, tempat kembali dari tiap-tiap yang sengsara.”

“Imam yang adil ya Amirul Mukminin, ialah laksana seorang pengembala yang hati rahim kepada binatang pengembalaannya; dibawanya ke padang yang berumput subur, dijaganya jangan jatuh ke lurah yang curam, dijaganya dan dipeliharanya jangan ditangkap binatang buas, dipeliharanya jangan ditimpa dahaga dan kepanasan.”

“Imam yang adil ya Amirul Mukminin, laksana seorang ayah yang cinta akan anak-anaknya, diasuhnya semasa anak itu kecil, diajarnya setelah anak itu besar, dituntunnya di dalam mencari penghidupan, dikumpulkannya harta bersusah payah, untuk anaknya itu jika si ayah mati.”

“Imam yang adil ya Amirul Mukminin, laksana seorang ibu yang pengasih, dikandungnya anaknya dalam perutnya dengan susah payah, diasuhnya setelah anak itu lahir. Tidak tidur matanya malam, jika anaknya bangun, dia termenung jika dilihatnya anaknya duka, disusukannya; puas disusukan digendungnya. Mukanya berseri-seri jika si anak sihat, mukanya muram jika si anak sakit.”

“Imam yang adil ya Amirul Mukminin, ialah laksana seorang yang berdiri di antara Allah dengan hamba-Nya, didengarnya Maha Tuhan dengan tenang, setelah itu diterangkannya bagaimana wajah-Nya kepada mereka. Dibimbingnya tangan umat supaya sama-sama ke hadrat Rabbi, memohonkan kurnia-Nya.”

“Oleh sebab itu ya Amirul Mukminin, janganlah paduka sebagai budak yang dipercayakan oleh penghulunya kepadanya menyimpan hartanya dan memelihara kaum kerabatnya, lantas budak itu khianat akan amanat, dimusnahkannya harta benda itu dan disia-siakannya petaruh.”

“Kemudian itu ingatlah ya Amirul Mukminin akan maut dan apa yang akan kejadian sesudah mati. Ingatlah bahwa persedian paduka agaknya sedikit, orang yang akan menolong paduka tidak ada. Bersiaplah untuk menghadapi mati, dan untuk menghadapi zaman sesudah mati.”

“Ketahuilah pula ya Amirul Mukminin, bahawa paduka akan tinggal dalam sebuah rumah yang tidak serupa dengan rumah yang paduka diami sekarang. Lama sekali paduka akan mengeluh di sana, dan tidaklah seorang juga yang akan menemuinya, hanya tinggal seorang diri dalam kesunyian."

"Oleh sebab itu berkemaslah dari sekarang dan bersiaplah. Kerana perkemasan dan persiapan yang disediakan lebih dahulu, itulah hanya yang akan menolong di sana kelak, iaitu pada waktu lari padanya manusia daripada saudaranya dan ibunya daripada ayahnya dan isterinya, daripada anaknya sekalipun.”



“Ingatlah ya Amirul Mukminin, ingatlah dengan hati-hati, akan suatu masa kelak yang akan dibongkar segala isi kubur, akan dikupas segala isi dada, segala rahsia pada hari itu akan terbuka. Semuanya tertulis dalam kitab, baik besar mahupun kecil semuanya dihitung.

“Maka sekarang ya Amirul Mukminin, ingatlah dengan saksama, sebelum ajal sampai janji mendatang, sebelum hukum putus angan berhenti:

Jangan paduka menghukum atas hamba Allah dengan kebodohan, jangan paduka bawa mereka ke jalan aniaya, jangan diangkat orang-orang yang takbur menjadi pegawai, memerintah orang yang lemah. Sebab m
ereka menjatuhkan perintah dengan sesuka hati dan semahu-mahunya saja. Kelak padukalah yang akan menanggungjawab atas dosa mereka, dan yang bertali dengan itu, dikumpulkan dengan dosa paduka sendiri.

Janganlah paduka terpedaya oleh tipuan orang-orang yang menelah nikmat kesusahan paduka. Mereka makan segala yang enak-enak di dunia, supaya paduka menelan segala kesusahan di akhirat.

Jangan paduka berbesar hati lantaran mempunyai kekuatan pada diri ini, tetapi fikirkanlah kekuatan untuk dari jiwa yang akan dicabut, pada waktu mana seluruh badan paduka diikat oleh rantai kematian, atau berdiri di hadapan Allah, dikelilingi oleh sekalian Malaikat. Nabi-nabi dan Rasul-rasul. Pada waktu mana seluruh wajah makhluk, menghadap kepada Yang Hidup dan Yang Kekal!”

“Adapun patik sendiri ya Amiru Mukminin, meskipun nasihat patik ini tidak sebagus nasihat-nasihat orang-orang yang lebih muda daripada patik pada zaman dahulu, namun patik amat cinta kepada tuanku dan amat ikhlas. Oleh sebab itu pandanglah isi surat patik ini, laksana ubat yang diberikan oleh seorang kecintaan kepada kecintaannya yang sakit. Meskipun agaknya pahit, moga-moga di dalam kepahitan itu ada tersimpan kesihatan dan afiat.”

Dipetik dari Lembaga Hikmat, karya Hamka


Rujukan :

1. Laman Web ILuvIslam
2. http://lacottageputraperdana.wordpress.com

Maklumat mengenai pilihanraya MPPM

JPR MPPM 2010

0 ulasan: