Bismillahhirrahmani rrahim...

Bunga yang kembang dan cantik itu jarang yang wangi... Begitulah orang yang cantik jarang berbudi.."

Apabila si gadis dipuji dengan kata-kata, "Awak ni cantiklah", maka akan menguntumlah sekuntum senyuman dibibirnya dan berbungalah hatinya. Tersipu-sipulah ia. Ah... siapa yang tidak seronok bila dikatakan cantik dan lawa? Begitulah resam manusia, seronok bila dipuji kecewa bila dikeji.


Tetapi lain halnya bagi si mukmin yang merasa dirinya miskin dengan Tuhannya. Terasa kerdil tatkala berhadapan dengan pujian dan sanjungan manusia. Wanita yang cantik selalu ditimpa 'perasan' kerana sedar dirinya punya kelebihan. Kata orang, wanita cantik banyak mahunya. Diri rasa bangga, seisi dunia mahu digenggamnya. Kalau ia seorang gadis dirinya sanggup menjadi tukaran dengan wang yang beribu. Ada pula yang rela menjadi andartu. Hidup liar bak merpati, senang didekat dan ditangkap lari.

Jika ia seorang isteri yang sedar dan bangga dengan kecantikkannya maka suamilah yang menjadi mangsa. Si suami selalu melutut dan kalah dengan kehendak dan karenahnya. Lebih malang jika si suami pula suka akan kecantikan isterinya. Ia menyayangi isteri atas dasar kecantikannya. Jadilah suami laksana lembu yang dicucuk hidungnya. Ke mana diarah di situlah perginya, alangkah dayusnya dia. Si isteri yang cantik rupawan akan merajuk dan meragam seandai kemahuannya tidak tercapai, mengugut, merajuk hendak balik kampung atau minta cerai.

Alangkah indahnya jika si isteri tadi, kecantikannya digunakan untuk meniup semangat jihad ke lubuk hati mujahidin. Ketahuilah, keutamaan dan nilai diri seorang wanita sama ada cantik atau tidak adalah pada akhlaknya. Kalau ia seorang isteri, ketaatannya pada suami adalah akhlak yang indah. Wanita yang cantik tetapi tidak berbudi pekerti tinggi, lebih-lebih lagi isteri yang cantik yang derhaka pada suami adalah ibarat bunga raya. Cantik warnanya harumnya tiada. Sebaliknya wanita yang tidak cantik tetapi berakhlak mulia, taat suaminya, sentiasa mencari keredhaanNya, ibarat bunga cempaka. Tiada rupa tetapi harumnya memikat jiwa. Antara bunga raya dan bunga cempaka pastilah cempaka diminati orang. Kasihan si bunga raya, tidak dijual atau dipakai orang. Ibarat gadis murahan yang mempertontonkan kecantikan. Konon nanti ada yang berkenan tetapi tidak sedar diri jadi mainan. Wanita yang kurang cantik pula jika tidak berakhlak akan meyakitkan hati dan mata. Ibarat bunga yang tidak cantik tidak pula harum dan wangi. Maka tiadalah apa-apa tarikan dan keindahan padanya.

Usah bangga dan usah pula risau akan paras rupa untuk merebut kasih sayang manusia. Tetapi marilah berlumba-lumba untuk menjadi wanita yang bertaqwa dan berakhlak mulia. Nescaya disayangi Allah serta makhluk-makhlukNya. Seharusnya diri yang dikurniakan Allah dengan nikmat kecantikan sentiasa resah jiwanya. Bukan kerana takut luput kurniaan itu dari dirinya. Bukan jua kerana ada yang iri hati dan mahu menganiayai atau menandingi kejelitaannya. Resah adalah kerana menghitung-hitung pahala-pahala yang tinggal akibat pujian dan sanjungan manusia yang bakal menjerumuskan dirinya ke jurang neraka.

Mengira-ngira bagaimana untuk meruntuhkan gunung mazmumah akibat dari kecantikan diri yang dijulang bagaikan mahkota. Apa lagi jika kecantikan itu hidangan setiap insan, cantik indah tetapi hina terdedah. Menjadi mainan nafsu dan syaitan. Bersyukur dengan segala nikmat Tuhan. Baik buruk,cantik hodoh itu adalah pemberiNya. Yang berwajah cantik atau hodoh sama-sama perlukan persediaan. Akan tiba saatnya jua di mana yang berwajah cantik indah dikerumuni oleh cacing dan ditimbusi tanah di liang lahad yang gelap lagi sunyi. Tatkala itu bersandinglah manusia dengan kematian. Apakah baru di kala itu mahu diucapkan nikmat Iman dan Islam itulah sebesar-besar pemberian Tuhan? Baru sanggup berjuang, berkorban apa saja demi mendapatkannya? Sebelum segala-galanya terlewat sama-samalah kita daki anak-anak tangga menuju ke puncak taubat.


Asal manusia dari setitis mani yang hina. Sehina itulah pula dirimu wahai wanita. Kenangilah nasib diri di hari penghisaban. Segala pinjaman Tuhan itu, untuk apa digunakan. Lunakkan hati, tenangkan perasaan. Lihatlah ke seluruh penjuru alam. Di mana saja mata menjurus di sana ada tanda keagungan Tuhan. Dongakkan kepala ke langit biru, tundukkan wajah ke bumi yang hijau. Saksikanlah kilauan mentari, percikan cahaya bulan dan bintang. Langit yang dijadikanNya tidak bertiang, gunung-ganang tidak berpancang. Usah terlena dibuai keindahan, sesungguhnya pada segalanya itu terkandung pengajaran.

*perkongsian dari seorang teman ( via emel )

20 Jun 2010


Tahun ini sudah berlalu separuh,
Menggenapkan permusafiranku sembilan purnama,
Melayar impian dalam memburu cita..

Namun, sesekali disapa rindu,
Ku tatap foto-foto indah,
Biar rindu yang menebal,
Terubat bersulam tenang semangat,
Untuk kaki terus melangkah..

Abah jua ma yang diingati,
Anakmu ini bukanlah sehebat remaja-remaja harapan hari ini,
Bukan jua sebaik jua sesolehah impianmu ketika lahirnya aku,
Tapi inilah aku anakmu,
Masih terus berusaha dalam payah menelan cita dan rasa..

Masih mentah diri ini mengenal dunia,
Belajar erti hidup berusaha,
Kau menitipkan kata-kata,
Jadilah diri sendiri,
Usah bertopengkan orang lain..

Ya, benar katamu Abah,
Kita manusia sememangnya berbeza,
Namun tidak harus terpisah dek asbab itu,
Perlu berusaha,
Kerna Allah sekali-kali tidak akan mengubah nasib seseorang jika dia sendiri tidak berusaha..

Ma,
Wajah tenangmu itu menyimpan seribu rahsia,
Menjadi inspirasi aku,
Biar aku tetap tabah,
Walau apa jua halangan mendatang.
Kau mendepani hidup bersama abah,
Cekalnya, masih tak berubah,
Dalam doa tak putus buat kesejahteraan anak-anak tercinta..

Sesekali,
Imbauan tarbiyyah kecilku,
Datang mengusik hati,

Masakan ku lupa,
Pernah kita makan bersama nasi berulamkan budu,
Tatkala peritnya abah bekerja siang malam,
Membesarkan tujuh beradik..
Jua rotan dan kain sarung,
Buat pelentur kenakalan kami,
Buat si anak yang baru menjengah ke alam realiti dunia..

Harapan kalian selalu datang mengisi mimpiku,
Mengingati agar jangan sesekali terleka,
Kerna diri ini,
Masih banyak tanggungjawab,
Menanti untuk dilunaskan..

Tahun ini,
Cuti ini,
Terasa cemburu dek senyuman teman-teman,
Menanti masa pulang ke tanah air,
Jua menahan rasa yang selalu datang tiba-tiba,
Dalam mengongsi suka,
Keluarga sahabat datang bertamu di tanah dataran Syam..

Abah, jua ma yang selalu di ingatan doa,
Tak apalah, cukuplah suaramu pengubat,
Penawar buat ku yang jauh sekali boleh ditatap dengan mata.

*******

Ya Allah,
Ampunilah dosa kedua walidain ku,
Rahmatilah dan kasihanilah mereka,
Sebagaimana mereka mengasihani aku,
Sewaktu kecilku..

Ya Allah,
Redakanlah aku dan adik beradikku,
Dalam reda ma dan abah,
Menanti kejayaan hidup di dunia dan akhirat..

20 Jun 2009


Bahang-bahang sudah mula terasa. Tak sampai dua minggu lagi pilihanraya MPPM akan berlangsung. Walaupun tidaklah terlibat sepenuhnya, namun menjadi pemerhati dari luar, memberi satu pengalaman baru.

Pilihanraya MPPM merasmikan tirai pembukaan semester baru semester musim panas, kemudian bagi kami di Mu'tah, pilihanraya bagi memilih saff kepimpinan baru PERMATA, dan barangkali diakhiri dengan AGM Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) negeri-negeri masing.

Bak kata pepatah, lain padang lain belalang. Apapun suasana yang dilalui, sebenarnya tidak jauh berbeza. Keperluan melantik ahli dan pemimpin yang bersesuaian untuk memikul amanah sangat penting bagi menjamin kelangsungan perjalanan sesebuah organisasi. Tidak kiralah besar atau kecil peranannya kepada masyarakat sekitarnya.

MPPM merupakan organisasi induk yang menaungi kesemua persatuan-persatuan zon dan badan kebajikan anak negeri di Jordan. Kalau di Mesir lebih dikenali dengan PMRAM. Oleh itu, tanggungjawab untuk memilih pemimpin yang betul-betul mampu memikul tugas yang berat ini seharusnya tidak boleh dipandang enteng oleh kita khususnya mahasiswa dan mahasiswi di Bumi Hasyimiah Jordan ini. Dalam menjana proses perkembangan kita sebagai penuntut ilmu, tidak dapat tidak, pilihanraya dan kepimpinan di alam kampus menjadi salah satu medium bagi menjana kematangan mahasiswa sebelum melangkah ke alam realiti apabila tamat belajar dan pulang ke tanah air. Mengurus organisasi, hikmah menghadapi ahli dan orang bawahan, kebijaksanaan membaca situasi juga ketepatan membuat keputusan yang baik menuntut pelbagai kesabaran dan kesungguhan kepada seseorang pemimpin.



Hakikatnya, kepimpinan itu merupakan suatu amanah dan tanggungjawab besar yang perlu dipikul oleh mereka yang diberikan amanah tersebut. Pemimpin merupakan orang yang akan melaksanakan tanggungjawab sebagai ’khalifah’ di kawasan yang ditadbirnya. Khalifah sebagaimana yang disebut oleh al-Imam al-Mawardi dalam kitabnya yang tersohor iaitu ’al-Ahkam al-Sultaniyyah’ ialah kewajipan melaksanakan dan menegakkan agama serta mengurus, mentadbir dan memakmurkan dunia ini dengan cara yang tidak bercanggah dengan agama.

Firman Allah :

إِنَّا عَرَضْنَا الأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَنْ يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الإِنْسَانُ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولا (72

لِيُعَذِّبَ اللَّهُ الْمُنَافِقِينَ وَالْمُنَافِقَاتِ وَالْمُشْرِكِينَ وَالْمُشْرِكَاتِ وَيَتُوبَ اللَّهُ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا (73

72. Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat (1) kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh,


73. sehingga Allah mengazab orang-orang munafik laki-laki dan perempuan dan orang-orang musyrikin laki-laki dan perempuan; dan sehingga Allah menerima taubat orang-orang mu’min laki-laki dan perempuan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

(Al-Ahzab, Ayat 72-73)


Amanah bukanlah sesuatu ’keseronokan’ yang hendak direbut dengan rakus dan tamak, tetapi ia merupakan tanggungjawab yang akan dipersoalkan di hadapan Allah di akhirat kelak. Justeru, setiap mereka yang berpotensi untuk dilantik menjadi pemimpin hendaklah sentiasa bermuhasabah diri agar tidak hanyut dibuai gelombang rakus dalam merebut jawatan tetapi menginsafi dengan amanah yang wajib dipikul apabila mendapat mandat daripada rakyat. Sehubungan dengan itu, Saidina Umar pernah berkata: ’Fahamlah terlebih dahulu (tanggungjawab dan amanah tersebut), sebelum kamu dilantik menjadi pemimpin’.

Juga, sabda Nabi saw dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari yang bermaksud: ”Sekiranya amanah itu disia-siakan, maka tunggulah kehancuran”. Lalu para sahabat baginda bertanya tentang bagaimanakah yang dikatakan bahawa amanah itu disia-siakan? Lalu nabi saw menjawab: ”(Amanah itu disia-siakan) apabila kamu menyerahkan sesuatu urusan kepada mereka yang tidak layak memikulnya, maka tunggulah akan kehancuran!”Dalam hadis nabi saw yang lain diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, baginda bersabda yang bermaksud: ”Setiap kamu adalah pemimpin, dan kamu bertanggungjawab kepada setiap perkara yang berada di bawah kepimpinan kamu, seorang imam (pemerintah) merupakan pemimpin, maka dia bertanggungjawab kepada sesiapa pun yang berada di bawah kepimpinannya…”.

Ciri-Ciri Pemimpin Islam

Beberapa ciri penting yang menggambarkan kepimpinan Islam adalah seperti berikut:
  1. Setia Pemimpin dan orang yang dipimpin terikat kesetiaan kepada Allah.
  2. Tujuan Pemimpin melihat tujuan organisasi bukan saja berdasarkan kepentingan kelompok tetapi juga dalam ruang lingkup tujuan Islam yang lebih luas.
  3. Berpegang pada Syariat dan Akhlak Islam. Pemimpin terikat dengan peraturan Islam, boleh menjadi pemimpin selama ia berpegang pada perintah syariat. Ketika mengendalikan urusannya ia harus patuh kepada adab-adab Islam, khususnya ketika berurusan dengan golongan oposisi atau orang-orang yang tidak sehaluan dengannya.
  4. Pembawa Amanah. Pemimpin menerima kekuasaan sebagai amanah dari Allah yang disertai dengan tanggungjawab yang besar. Al-Qur’an memerintahkan pemimpin melaksanakan tugasnya untuk Allah dan menunjukkan sikap baik kepada pengikutnya sebagaimana Firman Allah SWT:
“iaitu orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka, nescaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang ma’ruf dan mencegah perbuatan yang mungkar, dan kepada Allah-lah kembali segala urusan.” (Surah Al-Hajj, ayat 41).

Semoga pilihanraya yang bakal berlangsung dapat dijalankan dengan baik.

Buat akhirnya, hayatilah sedikit kisah berkenaan sifat Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Moga menjadi peringatan buat kita bersama.

Pada suatu hari berkirim suratlah baginda kepada ulama Tabi’in yang masyhur, Hasan al-Basri, bertanya kepada beliau dari hal sifat-sifat Imam (raja) yang adil. Maka telah menjawab Hasan Basri demikian bunyinya:

“Ketahuilah hai Amirul Mukminin, bahawasanya Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah menjadikan raja yang adil laksana tongkat tua yang teguh condong yang akan menauri, lemah yang akan membila. Dia menjadi tujuan dari segala orang yang ragu, memperbaiki segala yang rosak, menguatkan segala yang lemah, tempat mengadu bagi tiap-tiap yang teraniaya, tempat kembali dari tiap-tiap yang sengsara.”

“Imam yang adil ya Amirul Mukminin, ialah laksana seorang pengembala yang hati rahim kepada binatang pengembalaannya; dibawanya ke padang yang berumput subur, dijaganya jangan jatuh ke lurah yang curam, dijaganya dan dipeliharanya jangan ditangkap binatang buas, dipeliharanya jangan ditimpa dahaga dan kepanasan.”

“Imam yang adil ya Amirul Mukminin, laksana seorang ayah yang cinta akan anak-anaknya, diasuhnya semasa anak itu kecil, diajarnya setelah anak itu besar, dituntunnya di dalam mencari penghidupan, dikumpulkannya harta bersusah payah, untuk anaknya itu jika si ayah mati.”

“Imam yang adil ya Amirul Mukminin, laksana seorang ibu yang pengasih, dikandungnya anaknya dalam perutnya dengan susah payah, diasuhnya setelah anak itu lahir. Tidak tidur matanya malam, jika anaknya bangun, dia termenung jika dilihatnya anaknya duka, disusukannya; puas disusukan digendungnya. Mukanya berseri-seri jika si anak sihat, mukanya muram jika si anak sakit.”

“Imam yang adil ya Amirul Mukminin, ialah laksana seorang yang berdiri di antara Allah dengan hamba-Nya, didengarnya Maha Tuhan dengan tenang, setelah itu diterangkannya bagaimana wajah-Nya kepada mereka. Dibimbingnya tangan umat supaya sama-sama ke hadrat Rabbi, memohonkan kurnia-Nya.”

“Oleh sebab itu ya Amirul Mukminin, janganlah paduka sebagai budak yang dipercayakan oleh penghulunya kepadanya menyimpan hartanya dan memelihara kaum kerabatnya, lantas budak itu khianat akan amanat, dimusnahkannya harta benda itu dan disia-siakannya petaruh.”

“Kemudian itu ingatlah ya Amirul Mukminin akan maut dan apa yang akan kejadian sesudah mati. Ingatlah bahwa persedian paduka agaknya sedikit, orang yang akan menolong paduka tidak ada. Bersiaplah untuk menghadapi mati, dan untuk menghadapi zaman sesudah mati.”

“Ketahuilah pula ya Amirul Mukminin, bahawa paduka akan tinggal dalam sebuah rumah yang tidak serupa dengan rumah yang paduka diami sekarang. Lama sekali paduka akan mengeluh di sana, dan tidaklah seorang juga yang akan menemuinya, hanya tinggal seorang diri dalam kesunyian."

"Oleh sebab itu berkemaslah dari sekarang dan bersiaplah. Kerana perkemasan dan persiapan yang disediakan lebih dahulu, itulah hanya yang akan menolong di sana kelak, iaitu pada waktu lari padanya manusia daripada saudaranya dan ibunya daripada ayahnya dan isterinya, daripada anaknya sekalipun.”



“Ingatlah ya Amirul Mukminin, ingatlah dengan hati-hati, akan suatu masa kelak yang akan dibongkar segala isi kubur, akan dikupas segala isi dada, segala rahsia pada hari itu akan terbuka. Semuanya tertulis dalam kitab, baik besar mahupun kecil semuanya dihitung.

“Maka sekarang ya Amirul Mukminin, ingatlah dengan saksama, sebelum ajal sampai janji mendatang, sebelum hukum putus angan berhenti:

Jangan paduka menghukum atas hamba Allah dengan kebodohan, jangan paduka bawa mereka ke jalan aniaya, jangan diangkat orang-orang yang takbur menjadi pegawai, memerintah orang yang lemah. Sebab m
ereka menjatuhkan perintah dengan sesuka hati dan semahu-mahunya saja. Kelak padukalah yang akan menanggungjawab atas dosa mereka, dan yang bertali dengan itu, dikumpulkan dengan dosa paduka sendiri.

Janganlah paduka terpedaya oleh tipuan orang-orang yang menelah nikmat kesusahan paduka. Mereka makan segala yang enak-enak di dunia, supaya paduka menelan segala kesusahan di akhirat.

Jangan paduka berbesar hati lantaran mempunyai kekuatan pada diri ini, tetapi fikirkanlah kekuatan untuk dari jiwa yang akan dicabut, pada waktu mana seluruh badan paduka diikat oleh rantai kematian, atau berdiri di hadapan Allah, dikelilingi oleh sekalian Malaikat. Nabi-nabi dan Rasul-rasul. Pada waktu mana seluruh wajah makhluk, menghadap kepada Yang Hidup dan Yang Kekal!”

“Adapun patik sendiri ya Amiru Mukminin, meskipun nasihat patik ini tidak sebagus nasihat-nasihat orang-orang yang lebih muda daripada patik pada zaman dahulu, namun patik amat cinta kepada tuanku dan amat ikhlas. Oleh sebab itu pandanglah isi surat patik ini, laksana ubat yang diberikan oleh seorang kecintaan kepada kecintaannya yang sakit. Meskipun agaknya pahit, moga-moga di dalam kepahitan itu ada tersimpan kesihatan dan afiat.”

Dipetik dari Lembaga Hikmat, karya Hamka


Rujukan :

1. Laman Web ILuvIslam
2. http://lacottageputraperdana.wordpress.com

Maklumat mengenai pilihanraya MPPM

JPR MPPM 2010

7 Jun 2010

Sedikit pengenalan ringkas tentang novel Kombat 1511 H, karya Faisal Tehrani. Terbit tahun 2004

Pada tahun 2087 M, Presiden Amerika Syarikat, Richard Nosirname mengisytiharkan perang ke atas Gabungan Tentera Pemuda Islam pimpinan Jeneral Syarifah Nusaybah. Dalam tempoh yang singkat kemudiannya tentera bersekutu pimpinan Amerika telah menceroboh wilayah paling suci umat Islam dengan alasan memerangi para militan dan teroris.

Jeneral Syarifah Nusaybah yang baru sahaja merekrut komander kesebelas dari hadas Nusantara iaitu Komander Muhammad Ameen meminta 11 ahli sidang komandernya bersiap sedia untuk menghadapi kombat paling sengit dalam sejarah kemanusiaan. Perang meletus dengan penggunaan teknologi masa hadapan di luar jangkaan. Tentera cyborg bertempur dengan berani, Sarcos diaktifkan, pesawat Mikraj yang canggih terbang di udara Washington, bio-bots lipas mengepak gagah di ruang udara Moscow, pancaran laser bersimpang siur di langit Amerika Syarikat adalah antara gambaran perang yang tidak terfikirkan.

Apakah yang sebenarnya berlaku dalam tahun 2087M bersamaan 1511H itu? Berjayakah sidang komander Gabungan Tentera Pemuda Islam mempertahankan kota-kota suci Islam dari jatuh ke tangan musuh? Apakah nasib yang bakal menimpa pahlawan-pahlawan Islam masa hadapan ini?


Lampiran 2

SIDANG KOMANDER GABUNGAN TENTERA PEMUDA ISLAM


Jeneral Syarifah Nusaybah Syed Abdullah

Seorang hartawan dan pemimpin gerakan sufi yang dipercayai membakar semangat remaja-remaja Islam seluruh dunia untuk menentang barat dengan apa juga cara termasuk penguasaan ekonomi, pemasaran budaya dan sastera Islam, kerja-kerja sosial dan pembangunan persenjataan.


Komander Syed Habib Syed Mohamad

Strategis perang Gabungan Tentera Pemuda Islam. Orang kanan Jeneral Syarifah Nusaybah.


Komander Salim Badar

Ketua perisikan Gabungan Tentera Pemuda Islam. Jeneral Nusaybah pernah menanggung pembedahan plastik yang merubah wajahnya sama sekali.


Komander Emrullah Ozer

Beliau pernah terselamat dari lapan belas kali cubaan bunuh sebelum menghilangkan diri.


Komander Bilal Kaya

Jurucakap gerakan kesufian pimpinan Jeneral Nusaybah. Bilal dikatakan anak seorang jutawan berpengaruh yang memiliki dua belas pelabuhan di seluruh dunia.


Komander Mohammad Abbas

Seorang jurutera, Mohammad juga pernah belajar menggunakan senjata secara rahsia di Mesir. Beberapa hari sebelum diekstradisi ke Amerika Syarikat beliau berjaya melepaskan diri dari tahanan dan dipercayai terbunuh dalam usahanya melarikan diri tersebut.


Komander Abu Bakar

Berasal dari Cameroon. Memulakan karier sebagai pramugara di syarikat penerbangan Cameroon. Abu Bakar meneruskan kerjaya dan kehidupan biasa sebelum menghilangkan diri di Paris.


Komander Abdullah Abu Tholib

Komander Abdullah pernah dibicarakan di Indonesia kerana dituduh melindungi gerakan teroris tetapi dilepaskan kerana kekurangan bukti. Dipercayai keluar melancong ke Irian Jaya dan tidak pulang sejak itu.


Komander Imraan Abdul Aziz

Imraan merupakan peguam kepada taifa Jeneral Nusaybah. Gambar beliau sering menghiasi majalah-majalah utama antarabangsa. Setelah Jabatan Pertahanan Amerika menyenaraikan beliau sebagai pengganas, Imraan menghilangkan diri.


Komander Syarifah Zinnera Syed Mohamad

FBI dan CIA mengambil masa 15 tahun untuk membuktikan beliau adalah cucu Hajah Nusaybah. Seorang wonder child kerana kebolehannya bertutur dalam 5 bahasa ketika berusia 10 tahun. Memasuki Universiti Oxford ketika berusia 15 tahun dan memiliki sarjana dalam bidang fizik dari universiti tersebut. Setelah dipercayai terlibat secara aktif dengan gerakan kesufian Hajah Nusaybah, Zinnera mulai diburu CIA dan Mossad.


Komander Ali Halimah

Anak angkat Jeneral Nusaybah. Khabar angin mengatakan beliau adalah sejenis robot ciptaan cyborg lady tetapi tidak ada bukti benar mengenai hal tersebut.


Komander Muhammad Ameen Muhamad

Merupakan seorang Imam di sebuah masjid di luar Subang. Anak yatim piatu, kawan-kawannya mendakwa Muhammad Ameen pernah terbang ke udara ketika bemain sepak raga dengan mereka. Beliau hilang dari persekitaran biasanya seminggu sebelum kempen perang Presiden Nosirname bermula.

*Ada berani kita realisasikan imaginasi ini???
Insyaallah.

*Rujukan : Kombat 1511H, Faisal Tehrani
Laman web iluvislam

7 Jun 2010

"Jurucakap Kementerian Luar Israel, Yigal Palmor berkata, pihaknya akan terus mengepung Gaza selagi parti pemerintah Hamas tidak menghentikan kezaliman selain mengiktiraf negara rejim Zionis itu" Utusan Malaysia 7/6/2010

Dunia sepatutnya bukan sekadar membuat kenyataan dan mengutuk tentang kekejaman Israel tetapi bertindak dalam bentuk apa sahaja, asalkan matlamat akhirnya Israel akan tunduk menghormati undang-undang antarabangsa dan membebaskan Palestin.


Mungkin tiba masanya kita perlu memikirkan usaha melatih ahli-ahli badan bukan kerajaan dan sukarelawan Malaysia dalam aspek keselamatan diri dan mengguna senjata. Insiden Mavi Marmara adalah contoh perlunya persediaan mental dan fizikal untuk rakyat kita ketika berhadapan dengan suasana yang cemas dan mengancam nyawa.

Malaysia antara negara yang bersungguh-sungguh membantu rakyat Palestin. Kita berharap, insiden yang terjadi dalam misi bantuan kemanusiaan ke Gaza tidak melemahkan semangat sukarelawan sebaliknya membuak-buakkan lagi semangat sukarelawan lain untuk ke Palestin. Inilah jihad yang perlu ada dalam diri kita. Utusan Malaysia 7/6/2010

Alhamdulillah..Kesedaran yang mula bertapak..

Mengingatkan saya sebuah novel yang selalu diuliti ketika di Malaysia dahulu .

Kombat 1511H (Dua kali beli. Naskhah pertama hilang ( oRang Pinjam ) ) Karya penulis kegemaran saya, Faisal Tehrani.. ( mengagumi uslub penulisan dan prolifiknya dalam berkarya)

Novel yang mengutarakan unsur jihad dan kebangkitan generasi baru melawan diktator dunia.
Perang fantasi masa hadapan, berlatar belakangkan tahun 2087 Masihi.

Sedikit into.

Pada tahun 2087 M, Presiden Amerika Syarikat, Richard Nosirname mengisytiharkan perang ke atas Gabungan Tentera Pemuda Islam pimpinan Jeneral Syarifah Nusaybah. Dalam tempoh yang singkat kemudiannya tentera bersekutu pimpinan Amerika telah menceroboh wilayah paling suci umat Islam dengan alasan memerangi para militan dan teroris. Jeneral Syarifah Nusaybah yang baru sahaja merekrut komander kesebelas dari hadas Nusantara iaitu Komander Muhammad Ameen meminta 11 ahli sidang komandernya bersiap sedia untuk menghadapi kombat paling sengit dalam sejarah kemanusiaan. Perang meletus dengan penggunaan teknologi masa hadapan di luar jangkaan. Tentera cyborg bertempur dengan berani, Sarcos diaktifkan, pesawat Mikraj yang canggih terbang di udara Washington, bio-bots lipas mengepak gagah di ruang udara Moscow, pancaran laser bersimpang siur di langit Amerika Syarikat adalah antara gambaran perang yang tidak terfikirkan. Apakah yang sebenarnya berlaku dalam tahun 2087M bersamaan 1511H itu? Berjayakah sidang komander Gabungan Tentera Pemuda Islam mempertahankan kota-kota suci Islam dari jatuh ke tangan musuh? Apakah nasib yang bakal menimpa pahlawan-pahlawan Islam masa hadapan ini?

Di sini, bukan saya ingin memfokuskan pada susur jalan cerita, cuma pemikiran yang cuba dibawa oleh Encik Faisal dalam novel ini.

Bagaimana persediaan generasi pejuang ini dalam menghadapi kehebatan teknik musuh.

1) Syarifah Nusaibah, Muhammad Amin- mewakili sahabat-sahabat mujahidin, diasuh/dibentuk untuk dijadikan pejuang dan pemimpin,.. Dilatih dan dirancang untuk mendjadi pemimipin. Bagi saya pengisian untuknya banyak menerapkan aspek syariatullah.

2) Zinnera, Isteri kepada Emrullah. Komander sayap kiri. Seorang saintis yang mengetuai barisan saintis mencipta alat-alatan canggih untuk kegunaan mujahidin.

Takkan nak lawan peluru berpandu dengan pedang.. Logik ke. Hukum alam.. maknanya kita hancurlah.


"Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan). "
(Al-Anfal, ayat 60)


Senjata yang mungkin tidak terfikirkan lagi hari ini.. Mujahidin Cyborg, sang lipas penyerak gelombang radar, sang lebah membawa racun pembunuh kepada musuh yang sukar dijangkau dengan senjata, menggerudi cair besi-besi dan benteng pertahanan..

Semuanya usaha untuk melawan. Menyatukan kedua aspek penting yang membawa kepada keseimbangan dan kejayaan.

Benar, musuh hebat dengan sunnatullah, namun itulah cabaran yang harus kita tempuhi.

Namun, melengkapi sepenuhnya syariatullah bukan asbab penentu kemenangan. Muslim juga perlu hebat dari segi sunnatullah juga. Itulah yang ditakuti oleh Zionis dan musuh-musuh Islam hari ini.

Semoga akan ada di kalangan kita yang merealisasikan imaginasi ini. Pakar perubatan, pakar fizik, pakar kejuruteraan dan saintis muslim harus berusaha ke arah ini. Bukan semata mengharap kemajuan teknologi dari musuh-musuk kita. Sampai bila kita harus bergantung kepada mereka.

Hakikatnya, mereka..

Takut melihat kebangkitan muslim dari sudut persenjataan.
Takut akan tentera bawah tanah Hamas, atau mujahidin di negara-negara muslimin lain.
Takut dengan roket dan senjata kuno yang mereka ada.
Takut dengan ubat-ubatan yang akan merawati mujahidin.
Takut juga dengan pisau-pisau dapur Mavi Marmara

Sebab mereka tahu mujahidin takkan berhenti selagi belum mencapai mati syahid.

Itulah cita-cita kita semua, Insyaallah. Berperanan menyumbang walau di mana-mana posisi.

* Cuba menghayati konsep dan teori Syariatullah dan Sunnatullah yang baru sahaja difahami dengan jelas sewaktu PERTAMA 10 lalu, di bumi syuhada' Mu'tah. Terima kasih ustaz Hasrizal memberi pencerahan yang memang cerah. Ibarat bulan mengambang di malam yang gelap gelita.

6 Jun 2010

Siapa berani merealisasikan imaginasi ini?

"Pimpinan Ikhwan Muslimin, Mesir, Jordan, Syria dan Yaman sebulat suara mengistiharkan jihad ke atas Israel."

"Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir pula berpandangan sedikit berbeza dan lebih macro dalam memandang isu Israel-Palestine [baca Israel-Islam]. Beliau berpandangan, Islam dan Muslim perlu lebih proaktif dalam isu Israel. Boikot dan Kutukan tidak salah.

Boleh dan bagus. namun lebih bagus kalau kita mampu mengatasi abang besar Israel
yang sentiasa menjadi pembantu setia Israel dalam menaja kezaliman ke atas dunia Islam. Adalah lebih penting untuk Malaysia khususnya untuk mengatasi US supaya kita mampu mengatasi Israel." link hasanhusaini

"Tragedi terbaharu di perairan antarabangsa di luar pantai GAZA dalam isu serangan ke atas kapal misi keamanan ke GAZA membuktikan tentera Yahudi dan negara haram Israel tidak pernah peduli tentang undang-undang dan kemanusiaan. Lantas semua mengutuk kekejaman komando tentera Yahudi itu."ghulamwan<

Itu yang saya petik dari blog sahabat-sahabat yang mengulas sedikit sebanyak tentang isu saudara kita, tak jauh di seberang Laut mati sana sahaja. ( Karak, antara mantiqah yang paling dekat dengan sempadan Palestin-Jordan)

Kita tahu.. mereka sudah tidak kenal erti kedamaian. Perjanjian hanya mainan. Melengahkan masa atas air mata penderitaan orang lain.. Tak kenal.. kecuali dengan senjata..

Adakah itu juga jalan kita untuk melawan mereka.. Bukan Yahudi Zionis semata, bukan Illumnati semata.. Kita harus melawan setiap kezaliman yang dipertaruhkan ke atas kita. Bayangkan sudah berapa lama kaum Muslimin dipenyek-penyek, ditendang sesuka hati..

Lemah, lagi melemahkan diri sendiri. Sesat tambah menyesatkan orang lain. Sudah berkurun penyakit ini membarah dalam umat Islam. Jarum yang menusuk umat Islam tak pernah putus. Bermula dengan golongan munafiq di zaman Rasululullah, kaum murtaddin di zaman Abu Bakar, pembunuhan Saidina Umar oleh Majusi, Perpecahan umat Islam kepada Khawarij, Syiah dan lain-lain aliran selepas era Khalifah Usman, akhirnya terus memusnahkan umat Islam sedikit demi sedikit. Peperangan antara para sahabat bukan satu perkara yang biasa. Perang Jamal misalnya.

Musuh bertepuk tangan lagi. Senang kerja. Era perang Salib berlarutan hampir 200 tahun ( kalau tak salah saya) kembali menyatukan Ummah. Tapi itu pun tidak lama. Selepas perginya perwira Salahuddin berpecah lagi..

Jangan kita pernah lupa, daulah Islam pernah diperintah oleh 3 Khilafah berlainan pada satu masa. Kerajaan Abbasiah di tengah Jazirah Arab, Kerajaan Mamluki di Afrika (Mesir) dan kalau satu kerajaan Islam lagi di India. (3 kerajaan Islam besar yang mendokong satu misi). Namun mengiktiraf antara satu sama lain.

Jalan mereka untuk menghapuskan Islam takkan pernah putus.


وَلَنْ تَرْضَى عَنْكَ الْيَهُودُ وَلا النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَى وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ اللَّهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلا نَصِيرٍ

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang dan reda kepada kamu sehinggalah kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)". Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu. " ( Al-Baqarah , 121)

Duri-duri yang sentiasa menusuk pejuang-pejuang Islam.

Calar duka yang paling dalam tentunya runtuhnya Daulah Uthmaniah. Tiada lagi payung yang menaungi umat Islam.. Setelah satu persatu tanah naungan Islam jatuh ke tangan penjajah. Memisahkan antara negara. Mewujudkan semangat kebangsaan ( negara bangsa ) antara mereka hingga tinggallah sempadan-sempadan negara yang ada pada hari ini. Bukan lagi daulah ummah.



(Peta terakhir daulah Uthmaniah)

Jazirah Arab juga tak terkecuali. Perancangan halus British dan Perancis memisahkan negara-negara Arab, merampas tanah Palestin untuk penduduk haram Yahudi juga takkan hilang dari sejarah. Penduduk Arab memberontak, British mencucuk bantuan dengan syarat negara Islam mesti dinegarakan.. Yakni disempadankan.. Hasilnya..Arab Saudi satu negeri, Jordan satu negeri, Palestin satu negeri. Berdaulat punya kekuasaan sendiri. Setuju, kerna mereka beroleh kuasa. Tanpa sedar sudah terjerat. Umat Islam lebih sayangkan kuasa dari kesatuan.

Di tanah air juga tak terkecuali. Dasar pecah dan perintah menjadikan 14 buah pemerintahan berbeza. Tanah Melayu pernah bersatu.. Bila?? Kesultanan Melayu Melaka itulah buktinya. Dilanggar Portugis, dirempuh British dengan ancaman. Semua itu luka dan calar-calar yang takkan pernah hilang. Sampai sekarang. Walaupun sejarah yang ada dalam buku sejarah bukanlah suatu sejarah.. Diputar, diubah mengikut rasa.. Takut manusia akan bangkit kalau tahu kisah sebenar.

Bilakah ummat Islam mahu bangkit dari tidur yang terlalu lena. Dah beratus tahun berlalu.

Ada hikmahnya Freedom Fortilla meredah lautan Ghazzah awal minggu ini..

Rupanya ada yang masih tidak tidur. Alhamdulillah. Yang masih mamai-mamai, segerakanlah untuk menyedarkan mereka.

Nyata, sebenarnya musuh Islam sebenarnya takut akan kebangkitan sejarah. Kebangkitan umat Islam. Angkatan Bantuan Kemanusiaan dikatakan angkatan bersenjata. Nyata mereka lebih takutkan tentera berpisau, berbatang kayu.

Takutkan bekalan ubat-ubatan, juga bantuan kerusi roda.. Kenapa? Sebab mereka tahu, jihad umat Islam takkan terhenti selagi nyawa belum berakhir.

Tentera cintakan mati vs tentera sayang dunia..

Mustahilkah untuk kita hari ini melahirkan jundi-jundi sebegini. Jundi-jundi sebaik tentera Salahuddin dan Al-Fateh. Setulus Sahabat-sahabat Rasulullah??

Di samping kita cuba melahirkan tentera-tentera perubahan Islam, la budda mesti bersiap sedia meningkatkan teknologi pertahanan persenjataan. Tak dinafikan, mereka jauh terkedepan dari kita. Soal teknologi, persenjaataan, perisikan, semuanya di tangan mereka. Masih amat jauh umat Islam ketinggalan.

Soalnya, mampukah kita?? Satu cabaran buat cerdik pandai, cendekiawan, agamawan masa kini..

(bersambung..)

5 Jun 2010

Soalan demi soalan..
Musim menuai ilmu ni memang terkadang perit dan getir..
Ada juga menyambar bagaikan petir..

Jangan risau,
Jawapannya dah ada dalam kitab..
Cuma baca ke tidak..
Hafal ingat ke tak..
Melekat ke tak ilmu tu jadi praktikal..

Doa, ibadah jangan lupa..
Mungkin juga tolong orang, husnuzzan, Qiamullail, Sedekah, Taat ibu bapa..
Jadi bonus point melonjak mata..
Tapi ingat, jangan niat sekarang semata..
Nun sana, masih jauh jalan kita..
Akhirnya bukan di sini la saudara..

Soalan dunia ni memang senang saja..
Boleh diteka.. boleh diusaha..
Macam mana pula alam pertama setelah perginya nyawa..

Baca sudah,
Amal sudah,
Sebarkan pun sudah..
Masih adakah Reda Allah buat penambah???

Itulah kita..

Hari-hari mengadap soalan..
Sampai tak terjawab, hanya ditelan...
Bertanya mungkin senang..
Namun, jawab tak semestinya seperti ditelah..
Mungkin soalan jua kembali sebagai jawapan..

Question.. and...Answer

Fikir sebelum bertanya.. Fikir jua sebelum menjawab.
Ada soal jawabnya sekarang..
Mungkin jua jawapannya..
Tunggu ya!!!

Hanya kesabaran sahaja menjadi peneman jiwa..

* Tahniah kepada yang dah habis Imtihan. Yang tak habis lagi.. mari sama-sama kita berusaha sedaya upaya untuk baki-baki madah yang masih dalam debar..

>> Nusus Jahili dah lepas.. Masih pening dengan syair.. Perang jiwa masih belum berakhir.<<<

Biitaufiq wan najah dalam meniti hari-hari terakhir Imtihan..

1 Jun 2010


Sudah dua hari kebimbangan..

Adakah Allah mengizinkan mereka untuk berpijak di tanah Ghazzah setelah belayar melalui lautan Mediterranean melalui Kepulauan Cyprus.

Dan pagi semalam si Laknatullah angkuh itu terus menembak..


..........XXXX.......

> 5 Jun 2010

Kapal kedua Rachel Corrie hampir dapat meneruskan misi. Kali ini tiada serangan ganas. Namun masih jua belum dapat dapat sampai terus ke Ghazzah.. Angkuhnya Zionis itu meniadakan undang-undang, atau dengan kata lainnya, undang-undang di tangan sendiri.

Mengaku perairan antarabangsa di lautan Ghazzah itu mereka yang punya!!

Tak pernah surut angkuhnya walau berabad berlalu..

Tak sabar menunggu New World Order.. Apa jua halangan pasti akan dimusnahkan. Ya.. dimusnahkan. Dihancurkan.. walau siapa jua mereka.

Masih terus mengikuti perkembangan.. (al-jazeera, dan beberapa media antarabangsa)..

Kekangan minda untuk mencanai idea..

...................................,>>>><<<<<<.....................................

Merealisasikan khayalan yang hanya khayalan. Energi sebenarnya. Memberi semangat. Lihat sahaja sirah, ada catatannya. Pembukaan Konstantinople 29 Mei 1453 M ( Islambul > Istanbul ) itu tak lekang dari sejarah kita.

Imaginasi akan terhasil dengan adanya usaha. Berangan sahaja tidak menjadi.. Kata-kata sahaja takkan membuahkan hasil.

Itulah yang dipegang mereka berkurun-kurun lamanya. Illuminati, Zionis atau New World Order, Haikal semuanya hanyalah imaginasi yang cuba direalitikan.

"Imagination is Important than Knowledge"

.....................................xxxxx.......................................


Kebangkitan 'hijau' mula bertunas di seluruh dunia.. Sedikit demi sedikit setelah hampir beratus tahun diperosok dalam sampah kehinaan.

Sebabnya, umat Islam sendiri yang mereliasasikan imaginasi musuh-musuh Islam. Rela menjadi tali barut, lebih enak makan rasuah dan judi juga sedap makan darah saudara seIslam sendiri. Semuanya sebab hidup hanya untuk kesenangan sendiri. Dan musuh-musuh kita bertepuk tangan. Biar mereka menghancurkan generasi mereka sendiri.

Itulah yang kita hadapi hari ini. Tak jauh.. Tanah air sendiri buktinya..

Bila sibuk-sibuk berbicara tentang Freedom Fortilla jangan lupa JUDI BOLA masih melekat 'halal'nya di tangan Kumpulan Berjaya ( terhutang budi ke hutang darah ).. APCO tu dah melekat dalam halkum??? Takkan ku relakan harta saudara seIslam ku dilumur najis noda. 77 juta tu.. Selamatkan Palestin ke, bantu rakyat termiskin (atas nama tanggungjawab... nama parti tak diterima) lagi berbaloi dan berkat rasanya.

Itulah.. menggapai imaginasi dari luar kerangka dunia realiti sendiri.

Yakinlah pejuang kebenaran.. Sebagai mana mereka (musuh yang mahu melihat kehancuran Islam dan mahu mereka menundukkan dunia dengan kebijaksanaan, kemodenan dan kepakaran mereka) kita juga ada ada misi melahirkan imaginasi yang jauh lebih hebat dan besar dari mereka. Cuma belum zahir jelas. Yakinlah hal itu.


Cabaran ini yang menjadikan kita kental, kuat dan yakin atas jalan yang kita hadapi. Insyaallah, akan lahir nanti ( kita merancang dan sedang merealisasikan ke arah itu ) jundi-jundi terbaik sebagaimana yang pernah dilahirkan oleh Rasulullah ribuan tahun lampau..

Bersama kita menggapai imaginasi, melumat ilusi yang sedang bermain dalam fikiran tanpa sebarang amal atau tindakan..

Bukalah mata umat Islam dunia.. Masa untuk bertindak dah bermula..

Turki.. Siapa lagi mahu menyusul..

Duhai Hosni Mubarak, lebih rela makan daging dan hirup darah Ummat Palestin dari dimakan peluru Yahudi..