30 Mei 2010

Umur kami tidak jauh beza. Hanya setahun berbeza, dia lebih muda dari saya.

Namun itu tidak menjadi penghalang untuk kami untuk duduk bersama setiap kali dia bersama keluarganya bersama pulang ke kampung saban tahun, terutamanya hari raya. Mudah, rumah kedua neneknya hanya selang serumah.

Malah, ayah long seringkali menjadi tempat rujuk adik beradiknya untuk apa-apa urusan. Maklumlah, anak lelaki sulung dalam keluarga abah.

Seronok mengenang zaman kami membesar bersama. Sama-sama mengira duit raya, teman berkongsi cerita selain pada kakak-kakaknya, yang tidak boleh lupa, menjadi kuli basuh pinggan setiap kali kenduri ( sepupu perempuan lain semua dah besar-besar, dah kahwin, dan ada anak ). Dia anak bongsu, itulah teman maklong ke mana-mana.

Bila sudah dewasa, berlainan persekitaran yang mencorak diri masing-masing, sedang diri ini mula mengenal jati diri, dia pun membawa pemikiran sendiri. Tapi bukan jua penghalang untuk kami sesekali duduk berdua berkongsi cerita..

Ya, satu-satunya teman bicara yang sebaya..

Sehinggalah, tatkala mahu berangkat ke tanah Syam ini pun, diadakan kenduri untuk kami berdua. Dua tema berbeza, namun satu niat.. Jua malam terakhir sebelum terbang, masih terngiang-ngiang pesanannya di corong telefon, supaya bawa bekal biskut raya buat pengubat di perantauan.

Rupanya.. itulah pesanan terakhirnya yang boleh ku dengar. Kenduri itulah kali terakhir untuk ku tatap wajahnya..

Siapa sangka, Allah merancang apa yang kita tidak ketahui. Dia yang mentakdirkan segala-galanya. Siapa kita untuk menolak takdirNya.. Musibah yang menimpanya di Korea hampir dua bulan setengah yang lalu menjadi asbab musabah. Dari detik itu, hanya doa mengiringi agar dia akan kembali sihat, menjalani hidup seperi biasa, meneruskan perjuangan ilmu di Tanah Kepulauan Korea sana.

Dia diterbangkan pulang.. namun masih tak mampu untuk membuka mata menatap, walau ibu dan ayahnya sendiri, walau mok dan mek datang menjenguk. Biar siapa jua yang datang, dia tak pernah mampu untuk membalas.. Hanya mesin hayat penyambung hidup..

Ku tahu hati ayah long, hati mak long, hati adik beradiknya.. Namun, siapa yang mampu menolak takdirNya..

Hari Rabu yang tenang, pagi 26 Mei 2010 dia pergi jua tanpa sempat mengucap salam perpisahan yang terakhir. Dalam tatapan semua ahli keluarga abah, kecuali abah dan cik Pah.. Mujur abangku yang sulung belum balik.. Mewakili keluarga kami menghantarnya ke perjalanan terakhir.. Ya Allah, semoga reda kedua ibu bapanya mengiringi pemergiaan dia ke alam abadi.

Ya Allah, rahmatilah rohnya. Moga dia tenang bersama kaum mukminin di alam baru. Menanti kami, siapakah yang akan menyusul kelak.. Semua insan pastikan merasai saat itu. Tak kira bila, di mana, dan ketika; maut pasti datang menjemput kita..

"dan setiap ummat mempunyai ajal. Apabila ajalnya tiba,mereka tidak DAPAT MELEWATKAN DAN MEMPERCEPATKAN walau sesaat pun"

(Al-A'raf,34)

*Al-Fatihah buat arwah sepupuku, Nur Nazihah binti Abdul Manan yang telah kembali ke rahmatullah minggu lepas..

Perginya kaum kerabatku buat kali ketiga tanpa sempat mataku menatap mereka buat kesekian kali.

Ya Allah, panjangkanlah umur kedua ibu bapaku, serta kedua nenekku, jua seluruh kaum kerabatku dalam amalan dan hidup yang di redaiMu.. Di jalanMu yang lurus dan benar.. Aamin

1 ulasan:

Innalillah...Alfatihah utuk arwah...Dalam kesedihan kelhilangan, jangan lupa untuk membina kekuatan. Kerana kita tidak lagi akan mempunyai teman sepersis dia sebagai pengganti.

Itulah yang ana belajar apabila menerima berita kematian org2 tersayang...

Terutama apabila menyedari hakikat diri ini yatim sewaktu umur 9 tahun.

Apapun, moga Arwah dirahmati Allah...