28 Januari 2009

Alhamdulillah..
Berakhirnya daurah matan memberi satu kepuasan yang tidak terhingga walau pada awalnya dalam keterpaksaan..
Bertemu tamu, ustazah Hasliza dari Amman, dalam fatrah beliau menyambung Phd di sana, menyegarkan kembali bunga-bunga cinta itu..

Menghayati falsafah bahasa.. Membawa diri cinta hanya kepada yang Maha Pencinta..

Sesungguhnya, ini lah kali pertama saya mendapat jawapan yang jelas dan nyata kenapa perlu untuk belajar bahasa.. terutamanya bahasa Arab..

Menelusuri perjalanan hidup ustazah di dalam dunia bahasa arab membuatkan saya rasa kagum.. Kagum dengan prinsip dan falsafah yang dipegang oleh ustazah.

" Kenapa saya tetap terus dalam bidang lughah.. Walau sampai Phd.."

"Kerana saya teramat cinta pada Bahasa Arab"

" Apa tanda kita cinta akan bahasa Arab?"

"Antaranya, apabila kita melihat sesuatu tulisan dalam bahasa Arab kita akan rasa sesuatu kalau ada kesalahan dalam tulisan itu"

Wah, sejauh mana pula kita ini..

Ustazah juga ada menerangkan dengan jelas, apa rasionalnya syair dipelajari apabila mempelajari bahasa Arab. ( walaupun hakikat yang diakui sendiri beberapa pelajar lughah, mereka berasa tiada kepentingan syair itu dihadam dalam kursus ini.. lebih-lebih lagi apabila menghayati syair-syair sab'ah mu'allaqat/ ada pendapat mengatakan 'asyarah mu'allaqat (syair zaman jahiliyyah). Jangan marah ya sahabat-sahabat lughah!)


Bagi saya hal ini sama keadaannya juga dengan bahasa ibunda kita. Yang maruahnya semakin dicarik-carik..

Indahnya mendalami bahasa itu, apabila kita mengkaji asal-usulnya. Menghayati bait-bait puitis, menilai makna yang tersirat yang akhir membawa kita tenggelam dalam keasyikan memahami erti kehidupan dan mengenal Maha Pencipta..

Terlalu dalam kata-kata dalam mengungkap rasa..

Benarlah, Al-Quran itu bukan rekaan bahkan mukjizat teragung anugerahNya kepada kita untuk difahami, dihayati dan diamalkan isi kandungannya..

Ingin saya berkongsi contoh tatbiq ayat dua dari Surah Al-Fatihah yang diterangkan dengan panjang lebar oleh ustazah.

الحمد لله رب العلمين

  • penggunaan kalimah " الحمد " ; kenapa tidak digunakan kalimah "الثناء " walaupun maknanya sama iaitu pujian..
  • Kalimah " الثناء " biasa digunakan untuk memuji kepada benda yakni makhluk selain tuhan.. Sedangkan kalimah " الحمد " lebih sesuai baik penggunaannya dalam menyatakan segala pujian itu hanya untuk Allah, yang memberi dan mencakupi di atas semua nikmat yang kita kecapi selama ini.
  • Ayat ini dimulai dengan jumlah ismiah ( Ayat yang dimulai dengan اسم ( kata nama) lebih hebat makna dan penggunaannya daripada ayat yang dimulai dengan فعل ( kata kerja ) menunjukkan segala pujian itu hanya bagi Allah dulu kini dan selamanya.

Semoga daurah sepanjang dua hari ini mampu menyuntik kesedaran dan menjana momentum kita semua untuk menguasai dan mendalami ilmu alat yang menjadi asas pemahaman ilmu-ilmu yang lain. Ilmu qawaid dan bahasa membantu kita untuk menyelami isi kandungan Al-Quran dengan lebih terperinci serta membantu kita memahami dengan baik ratusan ribu kitab-kitab agama di bumi Anbiya' ini mahupun di tanah air sendiri.
Oleh itu, bukalah hati berilah peluang untuk diri untuk mencari, usah dipandang bahasa Arab ini hanya dengan sebelah mata..

Hanya jauhari yang mengenal manikam!

Buat akhirnya, hayatilah terjemahan petikan syair yang ditulis oleh Ilya Abu Madhi ( penyair ini bukan beragama Islam, akan tetapi falsafahnya mengenai kehidupan ini bolehlah diambil untuk iktibar bersama)


Falsafah Kehidupan ( Ilya Abu Madhi)

Wahai orang yang selalu mengeluh,
Bagaimanakah kamu hendak menghadapi hari esok,
Sedangkan kamu melihat duri dari tangkai bunganya.
Akan tetapi, lihatlah kepada embun yang menghiasi bunga itu, ia bersinar bagaikan mahkota!
Orang yang hatinya tidak cantik, sentiasa hidupnya diselubungi dengan masalah,
Dia tidak akan melihat kecantikan dari apa yang ada di hadapannya.

Berseronoklah kamu dengan pagi hari ini,
Selama mana kamu berada di waktu pagi ini,
Jangan takut, kerna hari ini pasti akan berlalu.

Soal begini, burung pun turut mengetahuinya!
Sangat memalukan, andainya kita tidak mengetahuinya,
Sang burung itu terus menyanyi, walau mengetahui di atasnya ada helang yang akan memburunya,
Masih lagi menyanyi walau umurnya hanya untuk beberapa tahun sahaja..

Adakah kamu masih mahu menangis?
Walhal kamu lebih lama usia dari burung itu..
Marilah berusaha untuk mendapatkan kegembiraan,
Sebagaimana burung-burung mencari dahan pokok tempat berteduh tatkala tengah hari memancar sinarnya...

* Syukur kepada Allah, memakbulkan doa saya supaya ada orang yang akan mengajar dan membacakan kepada saya matan ajrumiah dan kitab tuhfatussaniah. Allah memberi kesempatan melalui wasilah ini. Alhamdulillah..

0 ulasan: