2 Januari 2010

Alhamdulillah.
Allah masih mengizinkan saya.. Memberi kudrat untuk mengutip secebis ilmu dari lautanNya.

Hari ini, ada seminar Takhrij Hadis di PUSKMA. Rasanya terlalu singkat berbanding curahan ilmu yang perlu dihadam.. Pening juga nak faham.. Memandangkan sudah agak lama tidak membuka fakta asas yang telah dipelajari dahulu.

Walaupun saya mungkin tidak akan menelitinya lagi secara khusus selepas ini ( Insyaallah, jika Allah mengizikan pertukaran kursus akhir semester ini, nampaknya saya akan lebih banyak bermain dengan bahasa dan laras-laras bahasa sahajalah), saya amat mengharapkan semoga ilmu yang dipelajari hari ini tidak akan terhenti sahaja setakat itu..

Sesi pertama adalah mengenai pengenalan ilmu hadis. Bab ini merupakan kunci kepada skop-skop lain dalam pembelajaran hadis. Layakkah kita untuk mentakhrijkan hadis andai jenis dan martabat hadis pun tidak dapat dihadam dengan baik?

Kemudian, fasa meneliti ilmu takhrij hadis memang tidak dapat dilupakan.. Serta memberi satu keinsafan pada diri.

Saya terfikir, bagaimanalah keadaan ulama terdahulu. Tak terlawan rasanya sifat juhud mereka.
Bolehkan anda memikirkannya??..
Sekadar mengeluarkan sanad dan menilai rawi sebuah hadis pun sudah memakan masa dua jam (itupun sebenarnya tak sempat siap). Walhal semua kitab ada di depan mata. Menunggu untuk diselak teliti sahaja. Bercampur rasa ketegangan apabila hadis yang dicari tidak pula dijumpai.
Rupanya bukan senang hendak mentarjihkan sesuatu hadis hatta sanadnya sekalipun.. Kelu tidak terkata.

Bayangkan pula usaha ulama-ulama hadis terdahulu dalam menentukan martabat sesuatu hadis itu tanpa ada satu pun kitab-kitab sebagai rujukan. Bagaimana pula dengan penelitian terhadap rawinya sama ada siqah atau tidak?

Sahih Bukhari ditulis beberapa kurun sebelum kitab mengenai hal ehwal perawi hadis (rijal hadis) ditulis. Metod apakah yang digunakan Imam Bukhari dalam menilai hadis-hadisnya? Sungguh, sukar digambar dengan akal semata-mata.. Ribuan hadis bahkan mencecah ratusan ribu kemas tersemat dalam ingatan. Subhanallah.

Betapa hebatnya ulama-ulama silam. Mengembara ke seluruh pelusuk dunia semata untuk mencari dan menilai sesuatu hadis.
Kita pula bagaimana?

Mana lebih utama? Muhaddithin atau Fuqaha'?


Fuqaha' memang berkait rapat dengan golongan muhaddithin.
Muhaddithin menilai martabat sesuatu hadis manakal fuqaha' pula menilai serta mengelaskan hadis itu mengikut kefahaman yang sebenar untuk dijelaskan kepada orang awam.

Sebagaimana para muhaddithin boleh dianalogikan sebagai farmasi pengeluar ubat dan fuqaha' pula diibaratkan sebagai doktor yang menyalurkan ubat kepada pesakit mengikut kondisi rawatan yang perlu diterima(pendapat pembentang ketiga). Walau berbeza disiplin ilmu dan metod, kedua bidang sebenarnya saling melengkapi antara satu sama lain.. Beruntunglah bagi insan-insan yang dapat mengusai keduanya.

Tidak dapat dinafikan, walaupun akan menuntut di kuliyyah yang berbeza ( bidang lughah nanti sememangnya jauh beza dari ilmu syariah) saya merasakan perlu mencari ikhtiar untuk memastikan kemahiran ini dikuasai sepenuhnya. Amatlah rugi seandainya pengajian saya dalam ilmu hadis ini terhenti setakat ini sahaja..

Hari ini, cuma membekal sedikit asas. Untuk menjadi fakih, kita perlu berusaha lebih.. Menjadi luar biasa dalam keadaan biasa? Mungkinkah? Insyaallah semua itu dengan keizinanNya.

Semoga sahabat-sahabat yang menyertai seminar hari ini dapat memanfaatkan segala ilmu yang dicurahkan oleh pembentang-pembentang serta fasilitator kita pada hari ini.

Sedih rasanya, ada antara mereka sudah hampir sekali akan pulang ke Malaysia. Mudah-mudahan segala ilmu yang ditimba di sini dapat dicurahkan sebaiknya bila pulang ke tanah air nanti.

* Menanti kemunculan pengganti mereka yang akan mewarnai permusafiran taffaquh fiddin di sini..

Siapa lagi jika bukan generasi kita pula sahabat!

Mohon maaf jika ada fakta yang diutarakan ada khilafnya. Sesungguhnya saya bukanlah seorang yang alim mengenai ilmu hadis berbanding sahabat-sahabat lain yang sememangnya fakih dan berkecimpung di dalam bidang ini. Sekadar perkongsian dari apa yang dipelajari dari seminar hari ini.

0 ulasan: