3 Januari 2010


Coretan ini saya tujukan khas buat sahabat-sahabat Muslimah yang saya kasihi keranaNya.

Isu yang nampak kecil, sering dipandang remeh. Namun, ia jugalah yang akan menjerat kita.

Sudah masuk kali ketiga kes ini ( gangguan seksual) berlaku. Juga setiap kali ia terjadi, bermacam-macamlah pesanan yang dititipkan. Masih jua malas mengambil endah. ( Eh, ini hati batu ke apa?)

Atau memang kalian sendiri mahukan ia terjadi?

Mungkin ada yang berfikir.

"Bukan aku yang kena"
"Kenapalah syabab suka sangat tegur pasal akhawat. Dia sendiri pun sama je. Dua kali lima sahaja"

Semalam, syabab menegur lagi. Aduh.. tebalnya muka. Bersalah juga ada. Diri sendiri seolah tidak berperanan membasmi.

Sukakah kita, andai hal ehwal peribadi kita diteliti orang bahkan lebih mengaibkan ia datang dari kaum berbeza gender.

Saudariku...

Kita ini tolabul ilmi. Bukan sebarang ilmu saudariku. Ilmu ini yang membezakan kita sama ada kita ini taqlid atau beramal kerana faham. Bukan sebarang.. Lebih-lebih lagi ilmu agama. Juga tak terkecuali bidang ilmu yang lain.

Menutup aurat.

Kerana apa saudariku kita berhijab. Menjaga seluruh inci diri dari pandangan mata manusia?
Suka-suka sahajakah? Atau sebab ia menjadikan kita lebih cantik?

Lupakah kita pesanan berharga dari Al-Quran,
" Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka ( daripada memandang yang haram ), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkann kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara perempuan mereka atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kami sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya.
( An- Nur, ayat 30).

"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya ( semasa mereka keluar ); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal ( sebagai perempuan yang baik-baik ) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan ( ingatlah ) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
( Al-Ahzab, ayat 59)

Ambillah iktibar dari kisah-kisah yang melanda sahabat-sahabat kita. Masing-masing sudah ma'ruf akan tuntutan menutup aurat dengan sempurna. Tidak perlulah diajar kembali secara khusus.

Islam tidak pernah mahu menyusahkan umatnya. Sekalipun ia bukan menyekat naluri kita untuk berhias. Namun, biarlah berpada-pada, kena dengan situasi yang kita lalui. Tidak salahkan untuk meninggalkan yang harus untuk mencari yang terbaik demi keredaanNya.

Apa guna cantik sahaja luaran, namun batinnya busuk, sebusuk bangkai.

Berpenampilan cantik tidak salah, cuma penyalahgunaan erti cantik itulah yang sering berlaku.
Berfesyen? Tidak salah. Hanya harus dikawal biar bersyariat dari terlalu mengikut nafsu.

Cukuplah kita berhias sekadar-sekadarnya sahaja.

Terutama sekarang.. Musim sejuk yang mencabar ini semestinya bukan alasan.

Pilihlah pakaian yang sesuai apabila keluar dari rumah. Tiada guna berbaju kurung atau berjubah labuh serta bertudung litup mahupun berpurdah, tetapi tetap tidak segan memakai jaket tebal ketat membalut tubuh ( macam sarung nangka pun ada nampaknya ). Awasi juga tingkah laku dan kata. Mungkin tanpa disedari, ada mata-mata galak memerhati dari jauh.

Ingatan buat muslimahku yang berniqab

Purdah itu adakah menutup muka sahaja, atau perlu sejalan dengan tuntutan syariat yang lain?
Ingat-ingatkanlah kembali saudariku, apa niat awal ketika terdetik hati untuk memakainya. Jelaskah kefahaman kita ketika itu dan sekarang.

Mungkinkah ia hanya satu fesyen mahupun 'uruf yang diikut. Ke sebab seronok tengok orang pakai? Moga-moga tidak ada yang memakainya hanya untuk menutup aib sendiri.
Di tangan kitalah jawapannya. Tepuk dada tanyalah iman.

"Tutup aurat wajib qat'i, purdah pula khilaf. Buatlah yang terbaik wahai akhawat seislam".
"Pakai purdah, tapi akhlaknya.. Masyaallah.

Mudah-mudahan kita bukan akan menjadi asbab kemudaratan dan fitnah kepada orang lain. Berusahalah untuk saling menasihati, mengingati dan yang paling penting berjuang mengislah diri ke arah yang lebih baik.

Kita mampu untuk mengubahnya, saudariku!

Didik jiwa dengan iman,
Moga diri tetap berseri,
Nafsu memang selalu sejalan,
Tahu-tahulah kita membawa diri.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ana setuju dengan pandangan anti...
kadang-kadang bila dah terjadi macam ni pun masih lagi tak sedar... ade lagi yang tak berfikir panjang...

bila kita tegur, dituduh kita macam-macam...
bila kita nasihat, dikata kita belakang-belakang...
hmm, bukan mahu menuduh atau mengungkit...

cuma mahukan kita semua sedar, kalau ditegur, dinasihat tidak diterima...
hanya merugikan diri sendiri sahaja...

kalau kalam dari manusia tidak mahu diendah @ didengari, nah! Rasakan peringatan dari TUHAN!!!

Moga-moga muslimah yang berada di luar sana insaf & semoga kita semua dipelihara dari sebarang perkara yang tidak diduga...

aminn... selamat berjuang & selamat menempuh nihaie...