Aku sudah jemu dan muak,
Mengadap warkah berita dari media,
Semuanya palsu semata,
Hanya mengharap senyum dari penguasa sahaja..

Entahlah,
Bila mahu menjadi penghebah jujur,
Memandu masyarakat ke jalan benar,
Jika tidak,
Pasti kebangkitan Natrah kan kembali meledak bumi.

Bukannya penguasa memuta kata,
Wira bisu berwarkah pena,
Mencerna, menggegar dunia,
Menginformasi marhaen, hamba sahaya,
Telus benar hanya mahu semua merasa.

Apakah pena yang tersalah,
Adakah silap perakam suara,
Mahupun video kamera merubah rencana,
Atau otaknya sudah tak kenal,
Mana satu kebenaran,
Sehingga selalu memutar onar.

Seronokkah merubah dunia,
Dengan khabar palsu dan remah sahaja?
Oh, inikah yang diwariskan,
Dari zaman berzaman,
Padanlah tidak berkembang.
Mahukan bangsa, bukan agama.

Biasalah, kalau agama dituruti,
Habislah bankrup barangkali.
Bila la si penyebar karut mahu insaf menyembah kebenaran.
Kerananya, semua merana jiwa dan raga.

Telus dan jujurlah menghadap dasawarsa!!!!!!!

* Catatan ini lahir hasil dari kemuakan diri mengadap media-media saban hari. Bangkitlah kewartawanan yang adil, telus, yang penting ada jati diri agamanya..

Malam sunyi itu,
Rupanya ada rahsia tersembunyi,
Malaikat berselawat gembira,
Mengiringi perjalanan kekasih di malam hari.

Di masjidil Aqsa,
Kekasih mengimami sekalian nabi,
Menyuci diri sebelum mengadap,
Bertemu Pencipta Agung.

Di hadapan Rabb,
Anugerah teristimewa,
Dihadiahkan, tanda cintaNya yang tak pernah putus.

Lantas sebelumnya, kekasih menyaksi mauizah dan nasihat,
Pulang membawa tanda,
Hingga mengejutkan seisi jahiliah,
Pegun akan mukjizat kemuliaan kekasih.

Berabad lama sudah berlalu,
Permusafiran ajaib saban kali menjenguk hamba,
Namun, sejauh manakah titis ibrah itu,
Kembali meniti di dada-dada hambaNya...

"Bagaimana kalau kita cuba guna tangga"

Terbayang satu idea. Aku sudah tidak sabar menunggu.

"Boleh juga. Jom, kita jumpa maintaner minta tangga"

Kami bersiap. Semoga usaha ini akan membuahkan kejayaan. Setelah mendapatkan sebuah tangga, kami dengan gembiranya pulang ke asrama.

Di belakang bilik (yakni di halaman asrama) kami meletakkan tangga. Aku mulai memanjat tangga. Anjang memegang tangga kemas-kemas.

"Alamak, tak sampai pulak"
Teringat pula pada ketinggian aku yang tidaklah setinggi mana. Tanganku hanya mampu mencapai benteng di bawah tingkap. Macam mana nak panjat ni..Anjang sedari awal tidak mahu naik.

"Tunggu K.Ika la esok,"ujarnya.Aku menggelengkan kepala tidak meyetujui cadangannya. Alang-alang sudah berusaha, biar sampai pintu bilik terbuka.

Anjang cuba menghubungi Izan. Dia agak tinggi berbanding kami. Namun, apabila memanjat tangga, hampa kerana tangannya juga tidak sampai ke tingkap.

"Esok je la. Tunggu K.Ika," ujar anjang lagi.
Aku memandang Izan dengan wajah kecewa. Aduh, apa lagi yang harus dibuat. Sebenarnya aku ada satu lagi idea. Tapi, benar-benar memerlukan keberanian. Rasanya diri ini belum cukup berani. Tapi aku sedar, kemahuan akan mengatasi segalanya, walaupun rasanya ia agak mustahil.

Aku nekad. Mempertaruhkan keberanian untuk sebuah misi. Apa misi itu? Aku meninggalkan anjang dan Izan di bawah.

Seketika kemudian, kepalaku terjengul di tingkap. Anjang sudah dapat mengagak apa yang bakal aku lakukan. Tapi tidak berani untuk mendongakkan kepala melihat aksi 'stunt' aku.

Perlahan-lahan aku dengan bantuan beberapa adik berjalan meniti benteng tingkap. Aku lihat ke bawah.. Apa akan terjadi jikalau aku jatuh.. Tangan yang memegang dinding pula semakin licin..

Adakah misi ini akan berjaya?

Demi bilik SMUTEM yang penuh kenangan itu...

(bersambung...)

Semalam..
Menaiki bas terakhir buat saya gusar.
Apapun. tuhan masih lagi memberi keizinan kepada saya melepas rindu buat keluarga.
Masa bersama sudah tidak lama.. berbaki lebih kurang sebulan sahaja lagi.

Pilihanraya Manek Urai pun sudah berakhir.
Pemimpin pun sudah dipilih.
Jadi, wahai pemimpin, laksanakanlah amanah yang sudah dimandatkan rakyat.

Al-'amalulillah syi'aruna..

Hari ini, 14 Julai 2009, menyaksikan pertentangan sengit antara dua pihak. UMNO vs PAS. Kita tunggu malam ini keputusannya..

Selamat mengundi kepada ma, di Kampung Manek Urai Lama, mek di Kampung Sungai Sok, Ayah Ngah dan Mak Ngah serta warga dun Manek Urai. Ingat, pemimpinlah yang akan menentukan nasib rakyatnya.

"Apabila diberikan amanah kepada bukan ahlinya, maka nantikanlah kebinasaan"

Semoga para pengundi tidak tersalah membuat pilihan.

* Apa yang dijanjikan Tan Sri Muhyidin, sehingga jalan lebuhraya Kuala Krai Gua Musang menjadi sesak. 3 jam diperlukan untuk melintasi kawasan yang biasanya dilepasi dalam masa 10 minit sahaja. Pertama kali, naik bas ke Kuala Lumpur sampai pukul 9 pagi.. (sumber berita: Kak Fatanah, mangsa kejadian :) 12 Julai 2009, malam)

Tahniah buat teman-teman aqrab yang telah mendaftar hari ini. Selamat menjadi mahasiswa dan semoga terus berusaha memartabatkan budaya keilmuan ini.


*Pss: Doakan kami di SMUTEM juga.. Semoga kami pun dapat sambung belajar juga :)

Kita hamba tuhan,
Sering meracau dalam sedar,
Lantang dalam lena,
Sedangkan apa yang termaktub belum lagi termaklum.

Hamba selalu hebat berkata,
Itu dan ini,
Walaupun yang dibicara belum sahih kebenarannya,
Tetap jua berkata-kata,
Entah bila mahu berhenti,
Mungkin mati sahaja baru keras mulut ternganga.

Wahai hamba,
Ingatlah katamu bukan sekadar suara sahaja,
Ada doa, ada noda ada juga sengketa,
Berhatilah kita.

Yakin, takkan terjadi tanpa usaha,
Kata, tiada guna tanpa doa,
Akal tidak hebat andai tidak diguna,
Menikmati dan memikir ciptaan Tuhan.

Berfikir dipandu wahyu,
Beramal dipandu ilmu dan iman,
Berkata biar bebas dari nafsu.

Semuanya, Tuhan sudah ingatkan,
Cuma hamba Tuhan ini yang selalu lupa.

Takziah, saya ucapkan buat kekanda K.Erni yang ayahnya kemabil ke rahmatullah jam empat petang tadi. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Amin.


* Buat k.Erni, diharap kuat dan bersabar dalam menempuhi ujian yang amat berat ini. Benarlah, apa yang terjadi 2 minggu ini adalah percaturanNya semata.

Dua hari lepas, penamaan calon untuk PRK Dun Manek Urai menyaksikan 2 parti bertanding. Antara calon PAS, Mohd. Fauzi Abdullah, 50 dengan calon daripada Barisan Nasional (BN), Tuan Aziz Tuan Mat, 39.

Syukurlah, penamaan calon khabarnya berjalan lancar. Menurut laporan akhbar, hampir semua pemimpin tertinggi parti kedua-dua pihak turun padang mengiringi calon. Memang pilihan raya itu suatu isu panas, antara maruah dan perjuangan. Sambil meneliti laporan undi bagi dua siri pilihan raya lepas, ternyata kedua-dua parti mempunyai peluang dan saingan yang begitu hebat.

Ketika tahun 2004 lepas, di mana BN (anak orang kampung nenek) telah memenangi DUN Manek Urai mengalahkan Ustaz Zamzuri Mat Lazim ( bekas pengetua sekolah ma, SMU (A) Falahiah, Sungai Sok). Masa itu Allahyarham Pak Su Wil sakit tidak dapat bertanding. Majoritinya sedikit sahaja, 53 undi. Manakala pada pilihan raya 2008 menyaksikan Allahyarham Pak Su Wil kembali memenangi Dun tersebut juga dengan majoriti yang kecil, dalam seratus undi lebih.

Saya kembali menyoroti kembali kenangan pada kata-kata seorang warga kampung Manek Urai ketika itu. (dia merupakan mak cik penjual nasi, yang kami sekeluarga amat baik rapat dengannya..(hari-hari sarapan pagi di situ dulu :) ).

"Kito tidok kisoh sapo pun jadi calon, mudo ke tuo ko, yang penting kita kena sokong parti Islam"

Teguh betul pendiriannya. Teringin saya hendak mengunjunginya kembali di samping menemani ma yang akan mengundi di Kampung Manek Urai Lama pada 14 Julai ini, namun hasrat itu terpaksa saya pendamkan. Ada juga kawan mengajak untuk berkampung di sana minggu ini, namun memikirkan maslahah mafsadahnya.. tak apalah, saya mendoakan dari jauh, dari Bilik SMUTEM ini.

Semoga pilihanraya pada kali ini berjalan lancar tanpa sebarang provokasi dari segi material mahupun kata-kata. Moga bersih dari segala kekotoran. Apapun, berita tiga orang orang kuat sebuah parti di kampung nenek menerima lebih dua puluh ribu seorang bulan lepas membuat saya terfikir. Tidak ada cara lainkah manusia untuk bertanding dengan adil dan bersih sebersihnya...

Bersih dari fitnah dan rasuah. Sama-sama menuju keamanan dan kesejahteraan. Insyaallah.

Matahari di luar bilik sedari tadi mulai garang memancar. Bahangnya semakin memuncak bila waktu mula menapak ke tengah hari. Kami mula berfikir bagaimana mahu membuka pintu bilik yang berkunci. Izan dan Atiyah, adik Persijilan 09 yang baru dikenali semalam turut membantu. Malangnya semua usaha yang kami buat menemui kegagalan. Kekecewaan jelas terpamer di wajah mereka-mereka yang membantu.

Kebetulan atau ianya sudah ditakdirkan? Hanya Tuhan sahaja yang mengetahui perasaan kami ketika itu. Pintu memang tidak boleh dibuka. Nampaknya kena tunggu hari Isnin juga baru boleh buka pintu itu. Apa boleh buat.

Tengah hari itu, kami makan nasi tengah hari yang telah ditempah. Tebal muka jugalah untuk makan tanpa dibayar, tapi adik-adik ini memahami keadaan kami. Sambil itu kami mula berkira-kira tentang perancangan untuk dua hari ini. Kebetulan bilik SMUTEM yang kami jadikan stor barangan tidak berkunci. Maka dengan itu bersinarlah sedikit harapan buat kami.

Malam itu, Zawani menelefon anjang menjemput kami makan bihun sup di bilik SMUTEM 2( segan lagi pada adik-adik). Kalaulah bilik SMUTEM 1 ini tidak berkunci, tidaklah kami menggunakan bilik yang penuh barang-barang. Alhamdulillah, begitulah kadang-kadang rezeki kita berwasilahkan orang lain. Jadi, pengajarannya janganlah kedekut.

Dua hari cuti itu akhirnya berlalu juga. Walaupun ianya agak menyeksakan, kami cuba juga menempuhinya dengan penuh kesabaran.

Hari Isnin menjelang juga. Membuahkan harapan yang besar agar bilik SMUTEM terbuka malam ini. Anjang cuba menelefon penyelia banat dengan harapan beliau ada di dQ. Setelah membuat panggilan, ku lihat wajahnya muram.

"Kenapa anjang?"
"Kak Ika tak ada. Encik Zainudin pun cuti juga. Esok baru ada."

Aku terdiam. Adakah kami harus menunggu lagi untuk hari esok. Telefonku..Hati ini mulai bimbang kalau-kalau ada mesej @ panggilan penting masuk. Takkan nak menunggu sahaja tanpa bertindak..

(Bersambung...)

Mataku sedang ralit menatap skrin laptop sambil tangan pantas menekan papan kekunci. Suhu udara terasa sedikit berbahang. Maklumlah, hari baru mencecah tengah hari. Sambil perut mula menyanyi minta diisi. Mujur juga makanan tengah hari sudah ditempah dengan seorang adik sijil 09 yang keluar pagi tadi. Keadaan asrama agak sunyi bermula semalam. Maklumlah, cuti pertengahan sem diploma sudah pun bermula. Ada yang tidak pulang terus kerana menyertai program Bakti Huffaz di Kedah. Anjang pula dari tadi entah ke mana menghilangnya.

Sambil menulis dan mencari maklumat, fikiranku mula menerawang. Ahli SMUTEM banat sudah mula berkurang. Masih terngiang-ngiang suara Lina dan Hana' ketika kami berempat berkampung di sini. Tapi apakan daya, mereka punya tanggungjawab yang lebih besar yang harus ditunaikan. Mengingatkan itu, aku menjadi bertambah sedih. Anjang pun telah mendapat tawaran ijazah USIM-DQ. Nampaknya, akan berkurang lagi ahli. Tinggallah aku seorang diri menjaga bilik SMUTEM yang penuh kenangan itu.

Tiba-tiba..
Pintu bilik dibuka. Anjang menerpa masuk dengan wajah cemas.
"Yang, ada bawak anak kunci SMUTEM ke sini tak?
"Mana ada. Bukan ke ore letak kat tempat biasa"
"Alamak!"
"Kenapa anjang"
"Anjang tertekan kunci tombol. Ingatkan yang ambil"
Aku menelan air liur. Habislah. Apa yang mahu dibuat. Memang aku tidak mengambil kunci bilik sewaktu ke sini tadi.
"Habislah. Anjang, semua barang ada dalam tu,"aku menjawab.
"Gano kita ni?"
"Mm, tak polah dulu. Rileks anjang. Mudah-mudahan ada cara untuk kita buka balik pintu tu"

Aku mengalihkan pandangan kembali ke arah laptop sambil menarik nafas. Gusar, apa yang harus kami buat. Baru pagi tadi kami bercadang hendak ke UIA Gombak melawat Lina, Hana', Zuraida dan Fatimah. Nampaknya, keadaan tak mengizinkan. Apa ikhtiar yang perlu dibuat sekarang. Anjang pun nampaknya tengah berfikir juga. Aku teringat telefonku. Ku cari di sekitar bilik, tidak ada.

"Anjang, telepon yang pun kat dalam bilik SMUTEM"
"Lost contact la demo untuk dua hari ini nampaknya. Mujur anjang bawa telefon anjang ke sini tadi."
"Risau juga kalau family telefon atau panggilan penting masuk"
"Dah nak buat gane. Doa-doalah tak ada apa-apa"
"Mujur juga urusan Kak Syabitah selesai awal pagi tadi."

Aku teringat seorang pemohon SMUTEM datang menyelesaikan urusan visa beliau pagi tadi. Mujurlah. Kalau tidak, sia-sia sahajalah dia datang dari jauh dari Melaka bersama keluarganya.

Hari ini baru hari Sabtu. Kalau nak kunci, kena tunggu hari bekerja. Menunggu hari itu, mampukah kami bertahan untuk dua hari ini tanpa sebarang keperluan..

(bersambung...)


Semalam ketika berbual bersama sahabat yang jauh datang dari Johor, kami bincangkan kembali soal sms yang kami terima selepas maghrib tadi.

Seorang senior dq telah meninggal dunia. Baru bulan lepas dikejutkan juga seorang siswa ex-dq di Mesir meninggal dunia akibat kemalangan. Kehilangan mujahid muda yang sukar dicari ganti. Membuat kami berfikir dan insaf.

Bayangkan ketika kita sedang berseronok, ajal datang menjemput kita.

Bayangkan juga kita mati tanpa membawa bekal yang secukupnya. Hutang masih belum terbayar, amanah tidak sempurna dilunas.

Ataupun, suatu ketika kita mendapat berita tentang kehilangan sahabat seukhuwwah dan seperjuangan kita.. yang kita sama-sama menangis, cekal mengharungi onak samudera cabaran.

Apakah situasi kita pada masa itu..

Sperti mana kata-kata yang pernah diucapkan Saidina Umar r.a,
"hisablah dirimu sebelum kamu dihisab".
Renung-renungkan..

Al-Fatihah buat semua umat muslimin yang ikhlas berjuang di jalanNya.

PENENTUAN ARAH KIBLAT

PENGENALAN

Secara umumnya, arah kiblat ditentukan dari sesuatu arah yang dirujukkan. Misalnya arah utara atau arah selatan. Oleh itu, untuk tujuan ini arah atau tanda rujukan perlulah diketahui terlebih dahulu sebelum boleh digunakan untuk menentukan arah kiblat. Sejak zaman dahulu lagi manusia telah menggunakan pelbagai cara untuk menentukan arah kiblat dan pada zaman sekarang ianya telah dimajukan dengan menggunakan formula dan alatan tertentu.

KAEDAH TRADISIONAL DALAM PENENTUAN ARAH KIBLAT

MENGGUNAKAN PETUNJUK ALAM

a) Buruj bintang

Sejak zaman dahulu lagi, manusia telah menggunakan bintang sebagai petunjuk arah.

Perkara tersebut ada dijelaskan di dalam al-Quran sebagaimana berikut:

Dan (ia mengadakan) tanda-tanda panduan jalan, dan denganbintang-bintang (pada waktu malam) mereka

dapat mengetahui arah yang hendak dituju[1].

i. Bintang Qutbi(Polaris)

Bintang yang sesuai untuk tujuan penentuan arah utara ialah bintang Qutbi yang terletak bertepatan dengan paksi putaran bumi. Keadaan ini menyebabkan bintang-bintang lain secara ketara beredar mengelilinginya. Bagi pemerhati di Malaysia, bintang Qutbi yang dapat dilihat sepanjang tahun ini terletak rendah di ufuk sebelah utara. Di negeri Pantai Timur Malaysia seperti Kelantan dan Terengganu, bintang Qutbi boleh dilihat berada 40°- 60° di atas ufuk.

Bintang Qutbi berada di dalam buruj Ursa Minor (al-Judah), ianya dikenali melalui buruj Bajak/ Timba/ Senduk (Ursa Major/Plough). Buruj Bajak ini dapat dilihat di langit malam pada bulan Mei hingga Oktober.[2] Untuk mengetahui kedudukan bintang Qutbi, terlebih dahulu dicamkan dahulu bentuk buruj Bajak. (Lihat gambar rajah 1)

Rajah 1 : Bentuk Bajak/Biduk/Senduk dan kedudukan bintang Qutbi/Polaris

Setelah dikenal pasti buruj Bajak, arah kiblat ditentukan berdasarkan perbezaan sudut antara bintang Qutbi dengan arah kiblat. Bagi negeri-negeri Nusantara, perbezaan ini berada di antara nilai 68° hingga 75°.[3] Justeru penentuan arah kiblat dilakukan dengan mengukur secara sudut jari bagi nilai perbezaan berkenaan ke arah kiblat. ( lihat rajah 2 dan 3)


Rajah 2 : Pengukuran sudut menggunakan jari

Rajah 3 : Pengukuran arah kiblat dari bintang Qutbi


[1] Surah An-Nahl (16) : 16

[2] Temubual bersama Ahmad Asyraf bin Azhar, Pengerusi Persatuan Falak Syarie Maahad Muhammadi Lelaki Sesi 2007, pada 9 Oktober 2008, jam 10.00 malam bertempat di rumah Dr Muhammad Rowi di Kota Bharu.

[3] Persatuan Falak Syarie Maahad Muhammadi Lelaki (2004), “Hisab Arah Kiblat”,(Sukatan Pembelajaran Ilmu Falak Syarie 2004 Maahad Muhammadi Perempuan), hal. 3

Semalam, kami warga SMUTEM didatangi beberapa orang adik kecil semester 1 ( Irsyad). Mahu mencari kepastian dalam beberapa hal. Tidak mahu menghampakan harapan mereka, kami pun membuka ruang diskusi. Mulanya mahu menghuraikan kekusutan yang melanda mereka, melarat ke isu-isu yang serius yang sesetengahnya bukan mudah untuk dihurai dengan kata-kata. Lagipun info yang ada dalam kepala ini amatlah terhad.

Zaman kita dengan junjungan besar nabi kita s.a.w telah berlalu hampir 1400 tahun lebih. Terlalu lama dan jauh jarak masa yang berlalu. Dari zaman para sahabat seterusnya ke zaman tabi' tabiin akhirnya terus kepada kita, terlalu banyak kesimpulan dan ijtihad yang berlaku. Malah, fatwa-fatwa terus berkembang seiring perjalanan masa yang terlalu panjang ini.

Ulama-ulama' pada zaman dahulu bertungkus-lumus dan cekal mengharungi samudera cabaran dalam mengislahkan diri dan masyarakat telah menjumpai pelbagai khazanah ilmu yang ditinggalkan oleh nabi s.a.w dan para sahabat. Hasilnya, terlalu banyak kajian dan kitab-kitab yang ditulis, fatwa, pendapat dan ijtihad yang pelbagai mula didapati sesuai dengan tahap kefaqihan ilmu masing-masing.

Hari ini, terlalu banyak fahaman dan fikrah yang menjadi pegangan di antara kita. Masing-masing mempunyai hujah yang tersendiri. Bagi saya, terpulanglah kepada anda semua membuat penilaian masing-masing untuk mengamalkan apa sahaja kefahaman masing-masing. Asalkan ianya jelas tidak bercanggah dengan norma serta batas kehendak syariat Islam yang sebenar. Bukan yang kebatilan yang ditutupi bayang-bayang kebenaran. Kajilah dahulu akan sesuatu perkara. Banyakkan bertanya ilmuan dan ulama yang betul dan benar. Bukan mencari hujah yang hanya membawa keuntungan diri sendiri sahaja.

Hakikatnya sekarang kita terlalu malas hendak mengkaji mana satu yang terbaik harus kita ikuti. Ramai yang hanya mahu mengikut bulat-bulat tanpa meneliti apa kesahihan dan kebenaran. Apapun, Islam itu dasarnya tetap tetapi ada yang boleh difleksibelkan. Jadi, kukuhkan dahulu asas-asas ketetapan dan disamping itu kajilah ia dari sumber-sumber yang benar-benar muktabar.

Ulama-ulama dahulu berijtihad memudahkan ummat mengamalkan Islam. Sekiranya ijtihad mereka betul bagi mereka dua pahala, berijthad dan betul ijtihadnya. Sekiranya salah, tetap juga mendapat pahala di atas kesungguhan mereka berijtihad. Apapun, untuk menjadi mujtahid, bukan senang. Tidak banyak ulama yang mampu mencapai taraf mujtahid lantaran terlalu ketat sayarat-syaratnya.

Oleh itu, jika nak dibandingkan dengan kita yang terlalu keras menghukumkan ulama-ulama begitu dan begini, cuba fikirkan adakah tahap ilmu kita sudah terlalu tinggi dan setaraf dengan mereka untuk menghukumkan mereka semua sebegitu.

Ini adalah pandangan saya. Masih banyak kelompangannya. Mohon tunjuk ajar dari sahabat-sahabat yang terlebih arif..