30 Disember 2009


Catatan pada hari-hari akhir 2009.

Tahun ini terlalu banyak peristiwa.. Sama ia satu sejarah atau tidak. Kenangan terus memburu. Bukan untuk menyesali, cuma sesekali perlu difikir biar masa mendatang tidak mengulangi.

25 Disember sudah lepas. Lahir lagi generasi baru MPR iaitu generasi MPR 09.
Rupanya sudah tiga tahun program ini melewati saya..

Sejak dari tahun 80-an ia mengasuh generasi karyawan.. Lihatlah sekarang, kebanyakan karyawan yang mendominasi arena penulisan tanah air dari golongan ini..

Namun, sejauh mana saya mengambil taujih dan ibrah dari mereka?
Saya mendoakan kejayaan teman dari jauh, sambil bertanya akan diri. Sampai bila mahu menyepi.. Melayar rasa di laman blog ini.. Memang ada natijahnya.. Namun kepuasan memberi itu lebih nyata andai saya juga turut ada bersama-sama mereka, sahabat seperjuangan karyawan.

Semua orang makruf, karyawan juga boleh menjadi satu wasilah kepada perkembangan ilmu, bahasa dan tamadun malah yang lebih penting menjana momentum dai kerna tidak semua kata akan didengar oleh para mad'u. Lihat sahaja, tidak sedikit ulama menulis dalam jalur bahasa puitis untuk mentafsir apa yang mereka rasa dan alami..
Imam Syafii.. Jalaluddin ar-Rumi..
Saya akui semua mampu untuk menulis. Menulis untuk meluah rasa. Melaporkan, menceritakan. Semuanya boleh. Namun untuk menghurai dengan seni, berapa ramai yang mampu.

Mengolah kembali suatu cerita, agar hadafnya difahami memang memerlukan ketekunan. Menulis juga perlu ada gaya, biar pembaca tidak akan terasa bosan dengan apa yang difokuskan terutama dalam isi yang berat dan sensitif.

Hari ini, terlalu banyak bahan remeh dijadikan subjek. Menyebabkan kita sudah keliru untuk mencari mana satu bacaan terbaik. Menghiburkan memang ada, namun untuk membangun minda jarang sekali.. Setakat ini hanya beberapa buku sahaja yang menepati kriteria itu. Cantik gaya bahasanya, serius isunya tetapi cantik diolah mengalun mengikut situasi dan emosi.

Tentulah ianya banyak terhasil dari orang yang terdidik serius dalam seni penulisan. Sama ada generasi pendidik awal atau mantan-mantan terkemudian. Juga satu kesyukuran, golongan yang ada asas kefahaman din semakin diterima hingga saya sudah rasa tidak segan bersama.

Sama sahaja dengan da'i yang lantang suaranya, karyawan yang faham perlu seiringan. Barulah usaha mengislahkan mujtama' akan berjaya..

Dalam usia tiga tahun bergelar mantan, saya sudah terlalu rindu untuk kembali bersama-sama mereka. Terasa terkadang tumpul juga mata pena buat saya berfikir banyak kali. Menajam kembali sedikit demi sedikit dalam rusuh sunyi malam hari jarang sekali dimanfaat untuk mengumpul momentum.

Teringat pula detik-detik awal menjelajahi dunia ini..
Saya mula serius ketika akhir Tingkatan Empat. Biasalah, baru hendak berfikir matang akan perjalanan kehidupan. Selalu saya berteman pen kertas, tak kira walau ke mana arah tuju. Tangan ini sememangnya tak mahu duduk diam. Sesekali menghayati syair-syair puitis dalam buku Teks Kesusateraan buat jiwa saya tenang. Namun pertandingan menulis yang kadang-kadang dianjurkan ketika itu, saya pandang sebelah mata.

Teruja dengan majalah Tunas Cipta yang dijadikan koleksi, terasa mahu pula nama tertulis di situ. Lantas, dua buah puisi dikirim buat pertama kali. Tidak pula berharap besar, sekadar mahu melepas geram. Lagipun, kosentrasi menghadapi SPM menghilangkan serba sedikit keterujaan itu.

Hari itu, hari terakhir SPM. Lega rasanya. Saya tidak terus pulang ke rumah. Lusa ada jamuan akhir kelas.. Sedihnya.
Saya buka majalah Tunas Cipta Disember 2005 yang masih panas. Membelek helaian demi helaian. Tiba pada satu halaman..
"Macam kenal je puisi ni!"
Tengok bawah.. Melonjak rasa hati.
Nama saya!
"Alhamdulillah.. "
Kepuasan yang dirasai sukar digambar. Sahabat yang ada di sebelah hanya tersenyum. Hanya saya yang merasa. Saya kira mungkin itulah kegembiraan yang lahir dari karyawan, ataupun mungkin seribu perasaan berbeza akan dirasai. Bergantunglah pada tujuan dan niatnya.

Bagi seorang budak mentah seperti saya, begitulah. Abah dan ma hanya tersenyum sambil sedikit kesal. Nama abah asyik salah saja dieja!

Bertatih-tatih dalam sunyi berlalu hampir setahun. Tambah pula taklifat di Taman Al-Quran, di celah-celah kehijauan perbukitan jauh dari kota mengasingkan saya dari ilusi. Rupanya impian lama dimakbulkan tuhan. Syukur Alhamdulillah.


Pertama kali menjelajah bandar Kuala Lumpur, menimbulkan kegerunan akan program yang bakal disertai. Tapi Khairunnisa dan Fatimah Talib, tak putus mengingati. Jangan lupa diri sudah bila di sana.

Bertemu kami di halaman Menara DBP kemudian ke Port Dickson selama lima hari dan akhirnya kembali semula ke DBP memenuhkan minda dengan berbagai-bagai falsafah yang memerlukan penelitian dan praktikal. Terima kasih buat semua ajk pelaksana dan mentor yang dihormati atas pengorbanan kalian. Sungguh optimis kalian pada kami! Selepas ini terserahlah mahu berkembang dengan cara apa. ( Mentor kumpulan saya ialah ustaz Zaid Akhtar. Teringat lagi masa itu saya sempat catitan beliau untuk Novel Impian di Jaring (masa itu novel ustaz belum keluar lagi, masih dalam proses), sebagai salah satu contoh praktikal dalam melatih skil penulisan).

Apa yang saya perhatikan, ilmu dan pengalamanlah yang sebenarnya membentuk jati diri seorang karyawan. Ditambah rasa dari dalam diri, tercernalah idea-idea yang akan membangun cerita. Bukan mudah untuk menjumpai jati diri dalam menulis. Hakikatnya, saya masih lagi mencari dan akan terus mencari..

Berkarya, tidaklah sesenang dicita. Jua bukan sesukar disangka. Insyaallah, berkali-kali mencuba pasti ada hasil. Semoga kita semua mendapat manfaat.

Akhir kata,

"Karyawan Islam membina ummat dengan jati diri haq dan ilmu yang sahih"

*Mohon sahabat-sahabat doakan semoga penerbitan antologi pertama kami, (mantan MPR 06), "Kafe Filosof Fikir" dipermudahkan urusan. Insyaallah akan menemui khalayak pada bulan Februari 2010. Semoga ada manfaatnya bersama. Moga ia akan menjadi pemankin kepada kami semua terutamanya saya untuk lebih serius walau jauh di perantauan ini..

0 ulasan: