2 November 2009

Masuklah ke rumah melalui pintunya. Gunakanlah kunci yang dikhaskan, supaya senang dan mudah untuk pintu terbuka.

Sedikit 'intro' dari saya. Alhamdulillah, hari ini berjaya melepasi imtihan awal ulum askari. Subjek wajib jamiah, yang paling kurang digemari( saya? taklah sampai begitu). Bukan kerana subjeknya, cuma kerana mereka tidak begitu faham dengan lahjah percakapan pensyarah yang kebanyakannya menggunakan bahasa ammi Jordan. Tambah lagi, 'doktor' semuanya pegawai tentera.. Kasihan pula pada teman-teman akhawat kerana terkejut hari ini exam. Ingatkan 11 haribulan. Inilah jadinya, bila pensyarah cakap tidak faham, mulut pun berat sangat nak bertanya. Lepas itu buatlah pandai-pandai faham sendiri.. Moga kisah hari ini dijadikan pengajaran.

Antara cabaran utama di belajar di bumi jazirah arab ini, tak kiralah di mana-mana pun mestilah pada bahasa. Kebanyakan institisi pengajian di jazirah arab menggunakan bahasa arab sebagai pengantar. Kerana bahasa merupakan kunci kepada sesuatu ilmu. Ditambah lagi kitab suci al-Quran sendiri juga diturunkan di bahasa Arab. Satu asbab juga kenapa kita sebagai umat Islam perlu menguasai bahasa Arab itu sendiri.

Ok,berbalik kepada kunci. Sebelum ini kunci (di Malaysia la) sebelum ke jazirah arab ini, adalah dengan membuat permohonan untuk mmenyambung belajar.. Kalau tidak mohon, macam mana kita nak sambung belajar kan.. Begitulah adat dunia. Antara syarat-syaratnya, mestilah menepati kelulusan yang dikehendaki dan mengikut segala prosedur yang telah di tetapkan..

Untuk itu, terima kasih dan kredit untuk SMUTEM DQ 09, Ustaz-ustaz penasihat serta semua ajk yang terlibat mahupun insan-insan yang banyak membantu secara rasmi atau tidak. Jika tidak berwasilahkan kalian, mana mungkin cita-cita murni kita semua untuk terus menyambung jhad ilmu akan berjaya.

Akhirnya, apabila sudah tersurat tempat kita di sini, maka pintu pagar untuk gudang, telah pun dibuka. Kini, berhadapan pula dengan pintu masuk pertama. Apa ya kuncinya?

Ilmu itu mempunyai wasilah bahasa untuk mendapatkannya. Jadi sekarang, dapatkan dan kuasailah bahasa dahulu. Jika bumi Timur Tengah, tentulah bahasa Arab perlu dikuasai. Caranya mungkin berbeza mengikut orang. Terpulanglah mahu menelaah kitab, atau belajar khusus dari guru mahupun melalui muamalah dengan orang arab. Tidak kira sama ada kita mengambil takhassus usulluddin, fiqh wa usul, lughah atau perubatan atau yang sewaktu dengannya di bumi Anbiya' ini. Kalaupun di Malaysia, ia bukan penghalang untuk menguasai bahasa arab, bahkan terkadang mereka lagi hebat dari orang yang belajar di Timur Tengah. Apapun, bahasa tetap menjadi kunci. Lagi indah kalau bahasa itu dipelajari sepenuhnya, gaya bahasanya, kegunaannya dan maknanya. ( mungkin juga ia satu asbab bagi saya).

Apa yang harus saya dilakukan? Alhamdulillah, Allah memberi saya wasilah untuk menguasai bahasa Arab melalui seorang sahabat Arab. Dia amat memahami bahawa terlalu sukar untuk menguasai bahasa dalam masa yang sekejap. Bukan sebab tiada kosa kata, cuma begitulah bila kita tidak mempraktikkanya dalam kehidupan seharian. Semuanya beku di dalam minda sahaja.

Tidak putus dia memberi tasyji' untuk saya yakin berbahasa arab. Inilah di antara rentetan perjalanan pembelajaran saya dengannya.

Kali pertama bertemu dengannya ketika saya duduk di sebelahnya dalam kelas madah bahasa Inggeris (madah wajib). Berseorangan, kerana teman-teman yang lain mengambil subjek lain. Dia menegur saya setelah tamat kelas dan dari situ detik persahabatan ini terus bermula.

Pada awalnya, kami hanya bertutur dalam bahasa Inggeris. Tapi biasalah, bila lama tak mempraktikkan, tergagap-gagaplah saya selama dua minggu apabila bermuamalah dengannya. Dia cuma tersenyum sambil membetulkan kesalahan saya.

Minggu ketiga, setelah merasakan penguasaan bahasa Inggeris semakin baik, saya mula bertatih mencampurkan sedikit demi sedikit bahasa Arab dalam pertuturan kami. Alhamdulillah, dia tidak putus memberi sokongan di samping memberi kosa kata arab yang baru. Dalam fatrah itu , syukur saya juga sudah mula menangkap sedikit kata-kata 'doktor' sewaktu kelas. (Mujur ambil madah sedikit sahaja semester ini). Sehingga kini, ( sudah masuk minggu keenam) kami sudah biasa bertutur dalam bahasa arab dan terkadang sahaja menggunakan bahasa Inggeris terutamanya bila saya sudah kehabisan kata dalam bahasa Arab. Sudah tentu sahabat saya, tidak akan lupa menerangkan kembali kalimah-kalimah itu dalam bahasa Arab.

Alangkah rugi sekiranya saya tidak mengambil peluang untuk memantapkan bahasa Arab dan Inggeris setelah Allah mengurniakan wasilah melalui seorang sahabat penutur natif bahasa arab, bahasa Al-Quran yang juga fasih berbahasa Inggeris (tak ramai orang arab fasih dan faham bahasa Inggeris). Dari awal lagi dia menekankan bahawa dia tidak menggalakkan saya belajar bahasa ammi, kerna baginya bahasa fushah itu lebih utama untuk dikuasai. Teringat juga pesanan ustaz dan ustazah di Pusat Bahasa Arab, Nilam Puri, " ambillah bahasa ammi sekadarnya, untuk memahami ilmu, tapi jangan jadikan ia tabiat. Perkasakanlah dan seeloknya gunakanlah bahasa fushah ".

Insyaallah, sekarang saya dalam proses kedua. Memantapkan bahasa Arab dengan nahu, sarf dan balaghahnya, serta tak lupa bahasa Inggeris dengan 'grammar'nya. Sampai bila mahu hentam cakap sahaja! Tambah-tambah lagi cabaran besar akan menanti saya di semester dua apabila saya sudah dapat mengambil madah bagi takhassus lughah.

Begitulah sedikit pengalaman saya belajar bahasa, mendapatkan kunci pintu rumah khazanah. Kenyataanya, saya sedar bahawa sesekali tidak mungkin kita akan mencapai dan menguasai sesuatu ilmu itu tanpa praktikalnya. Tidak kiralah, belajar agama (ini sewajibnya dipraktikkan) yang kesemua dasar ilmunya dalam bahasa arab, ilmu bahasa ataupun ilmu duniawi lain, tetap perlu pada amalinya.

العلم بلا عمل كالشجر بلا ثمر

Mohon teguran andai tersalah bicara...

0 ulasan: