Sebelum datang ke bumi Urdun, saya sering digasak dengan persoalan :

" Kenapa nak sambung ke Jordan?"
" Siapa yang taja?"
" Kenapa tak pergi Mesir je"

Wallahua'lam.. Entahla kenapa.. Semua orang tertanya. Kenapalah beria sangat mahu ke Jordan. Biarlah, semua jawapan itu hati sahaja yang menyimpannya. Takkanlah kita mahu berbuat sesuatu tanpa ada sebab. Mempertaruhkan segalanya untuk sebuah matlamat takkan berbaloi tanpa kita menetapkan asbab dan musababnya. Meninggalkan ma, abah, adik beradik serta keluarga untuk sebuah cita-cita.

Akhirnya Allah masih mahu mengizinkan saya menjejak kaki ke Dataran Mu'tah. Menghirup udara ma'rikah yang masih segar biarpun telah lebih seribu tahun berlalu. Menggali semula telaga ilmu yang hampir malap dalam warisan keluarga. Saya teruja dengan hebatnya moyang nenek, seorang tokoh ulama yang disegani di Kelantan dan Patani. Kagum dengan izzahnya moyang saya, salah seorang pengasas masjid kampung Tapang, Kota Bharu namun sedih hampir tiada yang mewarisi ketokohan dan keilmuan mereka setelah beberapa generasi berlalu. Kesedihan yang selalu membuai perasaan itu bertambah sayu tatkala kali terakhir saya menziarahi kubur keduanya di kampung ibu beberapa bulan sudah.

Lantas azam yang tersemat, semakin kukuh dengan rasa itu. Membuatkan saya masih lagi tegar untuk kukuh berdiri.

Kesempatan yang ada harus dipergunakan sepenuhnya. Bukan semata untuk menjengah tempat-tempat ziarah, tapi harus ada mauidzah yang harus dicerna. Cerna dengan minda dan rasa, bukan dengan kata semata.


Memulakan pengajian, tidaklah semudah dan seindah disangka. Seharian berputar di kawasan jamiah kesorangan hampir membunuh semangat. Siapa yang boleh diharapkan. Hanya diri sendiri dapat membuat pilihan.

Bila memikirkan pilihan, saya teringat akan pilihan terakhir yang dibuat sebelum melangkah ke bumi Jordan ini. Tukar takhassus- daripada Kuliyyah Syariah ke Kuliyyah Adab adalah merupakan satu noktah yang tidak pernah terjangka. Memisahkan saya dari sahabat-sahabat DQ yang lain. Membi`ahkan kehidupan yang baru.

Namun, bukan senang hendak menukar takhassus. Saya perlu menunggu sehingga satu semester untuk melabelkan diri sebagai 'budak adab' (kata senior). Satu cabaran. Takhassus Lughah di Mu'tah dikatakan antara yang paling mencabar di bumi Urdun ini. Ha, bagaimana? Masih tetap lagikah pendirian hamba ini.. Insyaallah.

Semoga baki semester ini dapat membantu saya membuat persiapan yang agak baik sebelum melangkah masuk ke Kuliyyah Adab. Semoga ia dapat menerima saya dengan baik kelak. Terima kasih buat sahabat yang telah memperturunkan beberapa judul kitab lughah yang perlu dihadam. Sekarang, tinggal mujahadah dan usaha bagaimana mahu menguasainya..

Begitulah.. sebuah catatan yang tidak seberapa. Saya masih lagi terlalu kecil di sini. Terlalu kosong dengan ilmu. Semoga Allah memudahkan jalan kita semua untuk memfakihkan diri sebelum turun ke medan juang di jalanNya yang sebenar. Amin.

* Salam juang untuk adikku, Abdullah al-Qusairy yang sedang menghadapi peperiksaan STAM 09. Insyaallah semoga Allah mempermudahkan jalan kepadamu dan mengurniakan rezeki kepadamu untuk bersamaku di Bumi Anbiya' ini kelak. Insyaallah. Chayok-chayok to Mumtaz.


0 ulasan: