Semalam, kami warga SMUTEM didatangi beberapa orang adik kecil semester 1 ( Irsyad). Mahu mencari kepastian dalam beberapa hal. Tidak mahu menghampakan harapan mereka, kami pun membuka ruang diskusi. Mulanya mahu menghuraikan kekusutan yang melanda mereka, melarat ke isu-isu yang serius yang sesetengahnya bukan mudah untuk dihurai dengan kata-kata. Lagipun info yang ada dalam kepala ini amatlah terhad.

Zaman kita dengan junjungan besar nabi kita s.a.w telah berlalu hampir 1400 tahun lebih. Terlalu lama dan jauh jarak masa yang berlalu. Dari zaman para sahabat seterusnya ke zaman tabi' tabiin akhirnya terus kepada kita, terlalu banyak kesimpulan dan ijtihad yang berlaku. Malah, fatwa-fatwa terus berkembang seiring perjalanan masa yang terlalu panjang ini.

Ulama-ulama' pada zaman dahulu bertungkus-lumus dan cekal mengharungi samudera cabaran dalam mengislahkan diri dan masyarakat telah menjumpai pelbagai khazanah ilmu yang ditinggalkan oleh nabi s.a.w dan para sahabat. Hasilnya, terlalu banyak kajian dan kitab-kitab yang ditulis, fatwa, pendapat dan ijtihad yang pelbagai mula didapati sesuai dengan tahap kefaqihan ilmu masing-masing.

Hari ini, terlalu banyak fahaman dan fikrah yang menjadi pegangan di antara kita. Masing-masing mempunyai hujah yang tersendiri. Bagi saya, terpulanglah kepada anda semua membuat penilaian masing-masing untuk mengamalkan apa sahaja kefahaman masing-masing. Asalkan ianya jelas tidak bercanggah dengan norma serta batas kehendak syariat Islam yang sebenar. Bukan yang kebatilan yang ditutupi bayang-bayang kebenaran. Kajilah dahulu akan sesuatu perkara. Banyakkan bertanya ilmuan dan ulama yang betul dan benar. Bukan mencari hujah yang hanya membawa keuntungan diri sendiri sahaja.

Hakikatnya sekarang kita terlalu malas hendak mengkaji mana satu yang terbaik harus kita ikuti. Ramai yang hanya mahu mengikut bulat-bulat tanpa meneliti apa kesahihan dan kebenaran. Apapun, Islam itu dasarnya tetap tetapi ada yang boleh difleksibelkan. Jadi, kukuhkan dahulu asas-asas ketetapan dan disamping itu kajilah ia dari sumber-sumber yang benar-benar muktabar.

Ulama-ulama dahulu berijtihad memudahkan ummat mengamalkan Islam. Sekiranya ijtihad mereka betul bagi mereka dua pahala, berijthad dan betul ijtihadnya. Sekiranya salah, tetap juga mendapat pahala di atas kesungguhan mereka berijtihad. Apapun, untuk menjadi mujtahid, bukan senang. Tidak banyak ulama yang mampu mencapai taraf mujtahid lantaran terlalu ketat sayarat-syaratnya.

Oleh itu, jika nak dibandingkan dengan kita yang terlalu keras menghukumkan ulama-ulama begitu dan begini, cuba fikirkan adakah tahap ilmu kita sudah terlalu tinggi dan setaraf dengan mereka untuk menghukumkan mereka semua sebegitu.

Ini adalah pandangan saya. Masih banyak kelompangannya. Mohon tunjuk ajar dari sahabat-sahabat yang terlebih arif..

0 ulasan: