Semua amalan, bergantung kepada niat si pelaku.
Benar, kita takkan dapat membaca niat dan hati seseorang, namun biasanya(ghalib), apa yang diniat itulah yang terzahir di balik kelakuan seseorang.

Siapa yang tidak mahu menjadi mukmin yang hebat,
Siapa yang tak mahu menjadi mukmin soleh,
Siapa yang tak mahu menjadi muslim sejati,
Niat, beserta usaha pasti akan temui natijahnya..Cepat atau lambat, takdir sahaja yang menentukan.

Siapalah kita untuk mentafsir diri, menilai diri, hebatkah kita dengan keilmuan yang kita ada, matangnya kita dengan usia yang berlalu lebih dari oran lain (atau lebih mudah lebih makan garam)? Adakah ceteknya ilmu @ kurangnya faqih seseorang menyebabkan kita merasa kita sahaja yang betul, sampai satu pun alasan @ mungkin juga pendapat atau fakta yang diutarakan oleh orang lain langsung tidak diterima.

Saya ada mendengar corat coret rasa tidak puas hati seorang teman(mungkin bukan dia seorang) tentang seseorang.

Orangnya mungkin di pandangan mata khalayak, seorang yang mungkin hebat dari sudut keilmuan dan kealiman serta mungkin juga kematangan. Bila berbincang sukar sekali menerima pendapat. Bahkan ditentang keras oleh teman ini. Walaupun secara rasionalnya hujah teman saya betul dari segi logiknya. Berkali diterangkan tetap juga berkeras dengan pendekatan yang dibawa.

Saya terfikir, inikah sebenar jatidiri seorang pendakwah. Di depan khalayak, berteori hebat mengalahkan pemidato, namun dari sudut praktikalnya hanya yang betul-betul mengenali yang mengetahui betapa"hebatnya' teman ini.

Mungkin juga bila berlainan jantina menyebabkan konflik ini terjadi. Mungkinkah alasan yang diberi oleh kaum muslimat tidak akan didengar oleh muslimin atas sebab ini. Mungkin juga berdasarkan prinsip "Lelaki itu ketua ke atas kaum wanita" menyebabkan muslimat tiada tempat dalam bersuara( mungkin keadaan ini berlaku di sesetengah tempat sahaja).

Setiap orang ada hak untuk bersuara. Namun mungkin ada keadaannya perlu juga dibataskan. Dalam konsep kepimpinan sendiri, pemimpin perlu mendengar suara rakyat walaupun bukan semua suara rakyat akan diambil perhatian khusus, namun perlu juga pertimbangan dari pemimpin untuk mengetahui apa sebenarnya kehendak rakyat dalam kepimpinannya.

Juga dalam sistem syura (lebih tepat dalam situasi yang dihadapi sekarang, dengan nama lainnya mesyuarat), semua ahli syura mempunyai hak untuk menyatakan hujjah dan alasan tentang sesuatu isu. Dan perlu diingat, syura adalah untuk mencari kesepakatan dalam pemutusan sesuatu keputusan. Walaupun orang yang bercakap lebih rendah tarafnya, namun andainya hujahnya lebih rasional dan logik untuk diterima, patut disepakati dari cadangan biasa yang mungkin dikeluarkan oleh pemimpin tertinggi sendiri.

Mungkin juga kita perlu kembali telusuri sirah Rasulullah, sewaktu perang Khandaq di saat umat Islam getir dengan cubaan serangan dari seluruh tanah Arab(kalau tersalah, sila betulkan), nabi s.aw. dan sahabat duduk berkumpul(berbincang) tentang apakah strategi untuk menghadapi musuh Islam ini. Nah, sahabat dan nabi s.a.w buntu apa yang harus dilakukan. Ketika itu bangunlah seorang sahabat yang bernama Salman al-Farisi mengutarakan cadangan dengan menyatakan situasi di Parsi pernah menghadapi musuh dengan menggali parit. Nah sahabat ini mengatakan hujah yang rasional, dan lantas diterima untuk dilaksanakan. Bayangkan, Salman ini bukanlah termasuk di kalangan Kibaar as-sahabat seperti Abu Bakar mahupun Umar r.a, namun tetap juga pendapatnya didengar dan diraikan. Ambillah pelajaran dari sirah Rasulullah yang agung ini.

Saya mendengar, berkata, mentafsir dengan kekangan ilmu yang ada dan meneliti dengan secebis pengalaman yang tak seberapa.

Insan yang berkata lebih dekat untuk diuji kata-katanya.



1 ulasan:

Antara akhlak dan sifat nabi s.a.w. yang di jelaskan oleh Allah dalam al-Quran : "Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lembut terhadap mereka. sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu..." (hingga ke akhir ayat)- Ali-'Imran : 159 -