Keputusan peperiksaan telah pun diumumkan minggu lepas. Dan semestinya minggu ini talian upu sentiasa sibuk 24 jam. Mana tidaknya, masa hanya berbaki lebih kurang 6/7 hari sahaja lagi untuk membuat keputusan. Masa inilah mahu membuat pertimbangan dan keputusan ke mana hala tuju selepas ini. Tak terkecuali juga kepada sahabat-sahabat lepasan diploma, (tak terkecuali Dq), yang sudah mengisi UPU, mungkin dah boleh menarik nafas kelegaan. Cuma, yang memohon untuk menyambung keluar negara..sekarang adalah masa untuk berfikir dan beristikharah

Bagaimana dengan ibu bapa kita? Sudah tentu, setiap ibu bapa mempunyai harapan, perancangan dan cita-cita untuk setiap anak-anaknya. Mana ada ibu bapa yang mengharapkan anaknya mencapai kegagalan dalam kehidupannya. Apapun, buat semua sahabat-sahabat mahupun adik-adik, pilihlah keputusan yang terbaik sambil jangan buat2 lupa bertanya pandangan ibu bapa kita. Sekiranya bertentangan keputusan kita dengan mereka, berbincanglah sebetulnya dengan mereka. Mungkin, mereka ada pemikiran mereka sendiri buat kita, dan kita juga perlu berterus-terang dengan mereka, apa yang sebenarnya yang kita minati dan cita-citakan. Berkongsilah dengan ibu bapa kita.

Ingat sahabat semua, kemana pun kita pergi, yang penting keberkatan dalam setiap amalan kita itu yang paling diutama. Dan, sebagai anak semestinya kita memerlukan keredaan ibu bapa dalam setiap tindak tanduk kita. Bukankah, redha Allah terletak pada redha ibu bapa. Apapun, berbincanglah sebaiknya dengan ibu bapa kita. Di sini saya sertakan beberapa panduan buat ibu bapa dan juga sahabat-sahabat dalam menentukan hala tuju masing-masing.

  • Menyesuaikan cita-cita, minat dan bakat

    Bagi anak yang memiliki cita-cita tertentu, pilihlah kursus yang bersesuaian untuk mencapai cita-cita berkenaan. Contohnya, jika sejak kecil anak menunjukkan minat berniaga, mempunyai bakat yang dibuktikan menerusi aktiviti di sekolah kursus yang sesuai ialah ekonomi atau pengurusan perniagaan. Seterusnya galakkan mereka menjadi peniaga berjaya selepas tamat pengajian.

  • Maklumat yang tepat dan terkini

    Carilah maklumat yang tepat sebagai bahan pertimbangan untuk memilih kursus. Rujuk kepada mereka yang berpengalaman dalam bidang ingin diceburi atau dapatkan maklumat daripada pelbagai media termasuk internet. Jangan biarkan peluang anak terlepas begitu saja disebabkan kegagalan mendapatkan maklumat mengenai kursus bersesuaian kelayakan mereka.

  • Lokasi dan kewangan

    Bagi ibu bapa yang mempunyai pendapatan lumayan, tidak menjadi masalah menghantar anak ke mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT) tanpa mengira lokasi dan faktor kewangan. Begitu juga bagi mereka yang mendapat tajaan pihak tertentu. Sebaliknya bagi kurang berkemampuan serta tidak berpeluang mendapatkan penaja, lokasi IPT adalah faktor perlu diambil kira untuk menjimatkan kos.

    Dalam keadaan seperti itu, pilihlah lokasi IPT berdekatan dengan tempat tinggal atau lokasi luar bandar yang memiliki kos sara hidup agak rendah. Pilihlah juga tempat kursus yang menawarkan yuran berpatutan.

    Namun, jika tiada pilihan seperti dinyatakan, elakkan wang sebagai faktor yang menghambat masa depan anak. Mungkin usaha lain perlu dilakukan misalnya membuat pinjaman kewangan mengikut kadar kemampuan untuk membayar balik.

  • Peluang mendapat tempat

    Jika anak mempunyai kelulusan cemerlang dalam SPM atau STPM, peluang mendapatkan kursus diminati amat cerah. Sebaliknya anak memperoleh pencapaian sederhana, peluang agak terhad kerana persaingan tinggi.

    Dalam keadaan seperti itu, bimbinglah dan nasihat anak supaya tidak terikat dengan satu pilihan bidang dan tempat kurus saja sebaliknya menyenaraikan beberapa pilihan alternatif. Lebih baik jika dapat menyenaraikan kursus dan tempat kursus yang layak dimohon mengikut kelulusan anak berdasarkan iklan diwartakan menerusi media dari semasa ke semasa.

  • Kerjaya masa depan

    Sebahagian besar ibu bapa dan anak mengharapkan peluang kerjaya yang cerah sebaik saja anak menamatkan kursus atau pengajian terutama bagi anak yang diamanahkan untuk membela nasib keluarga.

    Jika demikian keadaannya, sudah tentu kursus yang mampu menawarkan peluang pekerjaan bakal menjadi pilihan. Ia menuntut ibu bapa membuat sedikit tugasan mengkaji apakah peluang pekerjaan yang ada di pasaran dalam tempoh lima tahun dari sekarang.

    Namun, ada kalanya sesuatu keputusan itu tidak dapat memuaskan sesuatu pihak walaupun perbincangan dilakukan. Apa yang pasti, ibu bapa sentiasa mengharapkan kejayaan anak dalam setiap langkah diambil.

    Selepas berusaha, bersyukur dengan apa juga kursus yang diperoleh dan yakin dengan janji Allah seperti firman-Nya yang bermaksud: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 216)

    Firman Allah yang bermaksud: “Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 14)

    Buat sahabat-sahabat, mungkin panduan di bawah boleh membantu anda

  • Panduan memilih kursus atau bidang pengajian di IPT

  • Menyesuaikan cita-cita, minat dan bakat - Pilih kursus yang bersesuaian untuk mencapai cita-cita berkenaan.
  • Maklumat yang tepat dan terkini - Cari maklumat yang tepat sebagai bahan pertimbangan untuk memilih kursus.
  • Lokasi dan kewangan - Pilih lokasi IPT berdekatan dengan tempat tinggal atau lokasi luar bandar yang memiliki kos sara hidup rendah. Pilih juga tempat kursus yang menawarkan yuran berpatutan.
  • Peluang mendapat tempat - Bimbinglah dan nasihat anak supaya tidak terikat dengan satu pilihan bidang dan tempat kurus. Senarai beberapa pilihan alternatif.
  • Kerjaya masa depan - kaji peluang pekerjaan yang ada di pasaran dalam tempoh lima tahun dari sekarang.( http://aferiza.wordpress)

  • Semoga kalian berjaya membuat keputusan dan pilihan terbaik bersandar dan berpandu petunjuk Ilahi. InsyaAllah.

    0 ulasan: